Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

2 Dis 2008

Lambang Salib Pada Jersi Malaysia?

Didik remaja elak terjebak kancah zina


Seorang bapa mengeluh penuh kehibaan dan kesedihan tatkala mengetahui anak remaja perempuannya terjebak dengan zina dan hamil empat bulan. Wajah ibu dan ayah menggambarkan kepiluan, di mana hendak diletakkan muka apabila maruah dicemari perlakuan anak. Malangnya, zina atau seks sebelum nikah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat Islam hari ini.

Islam memberi ingatan bahawa malapetaka dahsyat bakal menimpa generasi muda yang terhasil akibat perlakuan zina. Syahwat seksual dan zina adalah seperti dadah dan kegilaan harta material, boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika anak Adam punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Demikian juga perihal nafsu syahwat, penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawat. Sebelum menjadi lebih parah kerana zina akan merosakkan keturunan manusia, Islam hadir dengan kaedah sad al-zara ei' (menutup pintu) supaya segala kebejatan zina dihindari dan dijauhi. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah al-Isra', ayat 32) Larangan zina yang digunakan dalam al-Quran seperti, "Jangan kamu mendekati zina" bukan "'Jangan melakukan zina", menegaskan bukan hanya perzinaan dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah perlakuan itu perlu dijauhi. Contohnya, memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara (rayuan atau pujukan), bergaul bebas antara lelaki dan wanita atau berdua-duaan dengan bukan mahram.

Kecelakaan penzina turut dirakamkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur dalam neraka mengganggu ahli neraka kerana sangat busuk." (Hadis riwayat al-Bazzar). Antara sifat orang mukmin ialah menjaga kemaluannya daripada zina kerana perbuatan itu termasuk dalam dosa besar di samping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh. Etika berpakaian juga harus dititik-beratkan. Pakaian Muslimah wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang daripada dorongan berahi kerana aurat yang tidak ditutup dengan sempurna mengundang rogol atau zina.

Hari ini seakan menjadi aliran kebanyakan pakaian generasi muda (ada juga yang berumur) terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti itu patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala yang dikira boleh membawa kepada perzinaan seperti rumah pelacuran, disko dan rumah urut perlu dicegah atau ditutup. Jika tidak, berlaku perkara yang tidak diingini.

Merujuk buku Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam Jilid 2, dinukilkan bahawa Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj memberi gambaran seksa bagi lelaki penzina. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kemudian aku melihat beberapa lelaki memegang daging gemuk yang bermutu, di sebelahnya terdapat daging kurus yang sudah busuk. Mereka memakan daging busuk itu dan meninggalkan daging gemuk yang bermutu. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang meninggalkan wanita yang sudah dihalalkan oleh Allah terhadap mereka (isteri) dan pergi kepada wanita yang diharamkan oleh terhadap mereka." (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Rasulullah SAW turut memberi gambaran seksaan wanita yang membawa masuk lelaki bukan kalangan anak dan suami mereka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Kemudian aku melihat beberapa wanita yang digantung dengan payu dara mereka. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah wanita yang membawa masuk lelaki yang bukan daripada kalangan anak, suami mereka (bukan mahram)." (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Ibnu Ishak berkata: "Jaafar bin 'Amru berkata kepadaku dari Qasim bin Muhammad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah terlalu murka terhadap wanita yang membawa masuk ke atas 'kaum' (rumah tangga suami), lelaki yang bukan daripada kalangan mereka, kemudian dia memakan harta dan melihat aurat mereka."

Wahai anak muda, ingat pesan orang tua, "Jika ingin melakukan sesuatu yang tidak baik, jangan fikir sekali, fikir dan perhalusi 1000 kali; Hari ini orang tidak nampak dan tahu apa yang kita lakukan, tetapi Allah Maha Mengetahui. Jadikan diri kita mukmin sejati yang tahu di mana kebaikan perlu dilakukan dan keburukan perlu dijauhi."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang rasa gembira dengan amalan baik dan rasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin sejati." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Akhirkata, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya) ; mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan- NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. " (Surah al-Tahrim, ayat 6).

Semoga kita dan keluarga kita dilindungi Allah SWT hendaknya, aamiin.

Aksi tunjuk alur bontot, buah dada punyai nilai berita/gambar?

Mereka bukan atlet negara ini. Mereka pun bukan pemenang sebarang pingat dalam Sukan Olimpik di Beijing atau di Athens.

Tetapi wanita-wanita ini mendapat liputan besar-besaran dalam akhbar arus perdana negara ini, termasuk akhbar harian berbahasa Melayu. Gambar-gambar mereka terpampang besar dalam akhbar.

Sebabnya? Ini adalah kerana ahli sukan ini seperti pemain bola tampar pantai dari beberapa negara Barat, hanya memakai coli dan seluar dalam sehingga ada yang ternampak alur bontotnya. Gimnasnya pula hebat dengan aksi 'kangkang dan terkoyak'nya.

Nampaknya gambar-gambar inilah yang gemar 'dimainkan' dan selalu ditonjolkan oleh karyawan meja sukan (editor sukan dan pembantu-pembantuny a) yang saya percaya kebanyakannya beragama Islam. Ertinya, nilai gambar itu bukan kerana atletnya dapat emas, perak atau gangsa, tetapi keberanian mereka dedah alur bontot atau lipatan punggung atau besar kangkangannya!

Kita berasa amat hairan sekali kerana karyawan meja sukan ini tidak langsung mempunyai rasa sensitiviti terhadap agama. Kita tertanya-tanya sama ada karyawan ini solat atau tidak. Jika mereka menunaikan solat dalam erti kata sebenar-benarnya, tentu hati mereka akan berontak. Mereka akan lawan habis-habisan jika pihak yang lebih berkuasa mahukan gambar itu disiarkan.

Dengan tersiarnya gambar-gambar tidak senonoh ini berulang kali, apakah ia bermakna kebanyakan karyawan (pekerja) dalam media massa termasuk persuratkhabaran sebenarnya sudah mati cahaya keIslaman mereka? Apakah mereka tidak peduli akan perasaan pembaca? Mungkinkah yang penting bagi mereka asal surat khabar laris sudahlah, lebih banyak surat khabar laku, lebih besar peluang mereka untuk mendapatkan bonus besar pada hujung tahun.

Hal yang sama juga berlaku karyawan akhbar di meja lain terutama hiburan dan wanita.

Mereka tidak takut untuk menyiarkan gambar-gambar artis dengan pakaian keterlaluan. Mereka tidak ada rasa malu langsung menyiarkan gambar artis wanita Melayu/Islam yang sengaja menunjukkan alur payu dara, menayangkan paha gebu atau yang lebih daripada itu.

Gambar wanita sengaja dibesarkan sehingga kadang-kadang muat semuka akhbar bersaiz besar (broadsheet) . Kadang-kadang artis itu bukanlah 'top', baru muncul sebuah dua drama, tetapi aksi sungguh dahsyat.

Di sini penulis hanya memperkatakan senario yang berlaku kepada akhbar harian arus perdana kerana akhbar ini dilanggani dan dibaca oleh hampir setiap lapisan dan peringkat umur masyarakat - daripada kanak-kanak sampailah golongan veteran.

Penulis tidak akan membincangkan akhbar tabloid mingguan dan majalah picisan kerana senarionya lagi teruk dengan pihak penerbit, pengarang dan penulis seolah-olah tidak peduli bahan disiarkan - daripada gambar separuh lucah kepada cerita tahyul dan 'rencana agama' menyesatkan semata-mata untuk melariskan jualan dan mengaut keuntungan.

Berbalik kepada akhbar arus perdana tadi, apakah sebenarnya yang menyebabkan karyawan akhbar kita semakin terhakis tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim sejati.

Bagi kebanyakan karyawan yang bekerja di syarikat-syarikat akhbar besar, mereka berkelulusan tinggi, sebahagian besar daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi.

Jadi setakat mana nilai kehidupan mereka ini sehingga sanggup mengetepikan hukum-hakam agama, ataupun mereka sendiri tidak tahu perbuatan mereka itu salah di sisi agama?

Apakah karyawan-karyawan akhbar ini tidak sedar, hasil pendapatan mereka daripada 'memperagakan gambar-gambar tidak senonoh' itulah yang akan dijadikan modal untuk diberi makan kepada anak isteri.

Tidakkah mereka tahu setitik darah yang dihasilkan daripada sumber pendapatan haram, mereka telah mendedahkan anak isteri ke jurang neraka yang bahan bakarnya adalah batu-batan dan manusia sendiri.

Seorang rakan selalu mengulangi ungkapan ini yang katanya adalah petikan kata-kata hikmah Sayidina Ali: "Kalau manusia itu memikirkan untuk memuaskan apa yang ada antara mulut dan perutnya, nilai orang itu sama dengan apa yang keluar daripada perutnya."

Kita juga berasa hairan kerana akhbar-akhbar kita tidak sekata dalam mempamerkan bahan untuk bacaan umum. Jika dalam ruangan agama dalam sesebuah akhbar itu, dikatakan dengan penuh semangat supaya wanita-wanita menutup aurat tetapi dalam akhbar yang sama dalam ruangan sukan disiarkan gambar wanita menutup 'anu'nya saja.

Demikian juga dalam ruangan artis dan hiburan, yang kerap disiarkan adalah 'wanita yang sudah patah tulang belakangnya' (asyik membongkok saja untuk mempamerkan 'aset'nya).

Sekali-sekala dalam ruangan agama, penulis begitu hebat memperkatakan bahana judi, tetapi dalam akhbar yang sama juga disiarkan keputusan 'empat nombor ekor'.

Kita berasa amat hairan dengan perkembangan ini - adakah ruangan agama itu sebagai medan berdakwah kepada orang luar sedangkan karyawan akhbar berkenaan sendiri tidak dapat didakwah. Atau adakah pengarang-pengarang kita yang hebat-hebat itu bagaikan ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul?

Sebagai akhbar yang ditatap sekalian ahli keluarga, karyawan akhbar sewajarnya memahami bahawa bahan yang disiarkan perlu sesuai untuk semua. Akhir-akhir ini, akhbar-akhbar kita terlalu mementingkan nilai komersial sehingga tidak mempedulikan sensitiviti pembacanya.

Akhbar-akhbar semakin berani melaporkan aksi sulit di atas ranjang, membicarakan perlakuan seks secara terbuka dan menyiarkan gambar-gambar keterlaluan.

Nampaknya editor-editor akhbar semakin tidak mempedulikan 'taboo' (pantang larang) dalam masyarakat apatah lagi yang menyalahi agama. Seolah-solah yang dipentingkan adalah jualan (sale) sehingga perhitungan lain diketepikan sama sekali.

Tahukah tuan puan editor, apa yang dibuat oleh remaja (mungkin anak-anak tuan puan sendiri) jika mereka terangsang dengan apa yang akhbar tuan puan siarkan? Jika mereka melakukan maksiat, tidakkah tuan puan rasa berdosa?

Tidak takutkah tuan puan apa yang menunggu tuan puan dalam kubur nanti? Tidakkah tuan tahu balasan perlakuan dosa orang yang dididik akan berterusan sekalipun tuan sudah berada ribuan tahun dalam kubur. Sama seperti saham mengajar orang berbuat baik, saham mengajar orang berbuat jahat akan tetap diterima secara berterusan?

Kepada pengarang-pengarang akhbar, di sini ingin saya menyatakan bahawa kadang-kadang saya terpaksa mengoyakkan muka surat tertentu dalam akhbar tuan puan sebelum saya membawa pulang akhbar berkenaan untuk tatapan anggota keluarga.

Insaflah wahai diri sendiri dan tuan puan kerana 'masa penentuan' itu tersangat dekat - lebih-lebih ramai sahabat kita dalam dunia persuratkhabaran meninggal dunia dalam usia 40-an. Jadi tunggu apa lagi? Bertaubatlah