Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

28 Feb 2009

Sakit mental tanpa sedar

Berita mengenai lebih 270,000 rakyat Malaysia menghidapi skizofrenia, sejenis penyakit mental tanpa menyedarinya sedikit sebanyak mengejutkan kebanyakan kita. Malah mungkin ada yang tertanya-tanya kini sama adakah kita sendiri sebahagian dari pengidap penyakit ini.

Ramai yang beranggapan penyakit mental akan mengakibatkan seseorang dilihat berperangai aneh dan bertindak di luar batasan.

Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis.

Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif.

Kumpulan kedua ialah penyakit yang bukan psikosis atau neurosis. Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita.

Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini.

Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsesif kompulsif.

Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian.

Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.

Akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat.

Tetapi persepsi di kalangan masyarakat turut memainkan peranan dalam membantu mereka yang mengidap penyakit ini apatah lagi jika ada di antara kita yang terlalu bergantung kepada bomoh, sinseh dan perantara untuk menyembuhkan mereka.

Bagaimanapun dengan kemajuan dalam bidang sains perubatan kini, penyakit mental seperti skizofernia dan lain-lain boleh dipulihkan sepenuhnya jika dikesan dari awal.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membahayakan pesakit dan mereka akan menjadi lebih ganas dan boleh membunuh diri atau membunuh anggota keluarga ataupun jiran mereka.

Antara rawatan yang sering digunakan bagi merawat penyakit-penyakit ini ialah psikoterapi dan kaunseling, rawatan psikotropik, rawatan tingkahlaku dan rawatan elektrokonvulsif

Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar.

Rawatan psikotropik menggunakan berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik dan digunakan untuk rawatan penyakit mental.

Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis.

Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik.

Rawatan tingkahlaku pula memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi merupakan satu contoh rawatan jenis ini.

Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.

Mungkin ada di antara kita yang melihat penyakit ini sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mungkin berlaku kepada dirinya. Namun dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia, kemungkinan untuk seseorang untuk menghidap penyakit ini, kini semakin tinggi.

Ditambah dengan keadaan dunia sekarang dimana lebih ramai orang akan kehilangan pekerjaan pastinya ia sedikit sebanyak akan memberi kesan dari segi psikologi dan mental terutama bagi mereka yang berkeluarga.

Dunia sekarang menuntut penggunaan wang sebagai perantara dalam memenuhi keperluan dan kesan akibat kegawatan ekonomi ini sedikit sebanyak akan menjejaskan pemikiran dan perlakuan kita.

Bagaimanapun kita seharusnya perlu sentiasa berfikiran positif dan anggaplah segala apa yang berlaku kepada kita sebagai satu ujian dalam hidup.

Sesungguhnya tiada ubat yang lebih mujarab bagi semua insan selain menyerah dan mengadu nasib kepada tuhan yang maha esa dalam menentukan perjalanan hidup kita di bumi ini.

27 Feb 2009

Bantah guna perkataan ‘Allah’

Oleh RADZI MD. ZIN, HASNURUL MOHAMED dan ZUHAYATI YAZID
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Tokoh Maal Hijrah itu menegaskan Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan berbeza dengan agama lain.

“Mengapa hendak bertolak-ansur sangat dalam hal ini? Kalau ikut enakmen jabatan agama islam negeri pun memang tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia hari ini mendesak kerajaan membatalkan semula pewartaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah pewartaan tersebut mampu mencetuskan kegelisahan di kalangan orang Islam.

“Keputusan itu juga dilihat melanggar arahan Jemaah Menteri yang dibuat pada 19 Mei 1986,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainul Rijal memberitahu, mahkamah sepatutnya tidak membenarkan penggunaan kalimah tersebut bagi digunakan oleh orang bukan Islam, tambahan lagi 10 buah negeri telah menggubal undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Enakmen tersebut memperuntukkan adalah menjadi kesalahan menggunakan kalimah tersebut untuk kegunaan orang bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Zainul Rijal memberitahu, mahkamah tidak sepatutnya mengatasi keputusan Jemaah Menteri dan undang-undang yang diperkenankan oleh raja Melayu.

‘‘Hal ini seolah-olah ingkar dengan titah perintah raja yang melibatkan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Di PULAU PINANG pula, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya terkejut dengan keputusan KDN membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama Kristian.

Beliau, yang bimbang dengan perkembangan itu, menggesa KDN membuat penelitian sedalam-dalamnya berhubung perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti agama suci itu dan umat Islam di negara ini.

“Bagi saya ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat terutama yang beragama Islam.

“Dalam kes penerbitan Herald – The Catholic Weekly, perkara tersebut masih menjadi perdebatan. Kenapa warta ini boleh dikeluarkan?’’ soalnya.

Lebih menghairankan Shabudin, mengapa isu itu dibangkitkan pada masa sekarang walaupun agama Islam sudah diangkat sebagai agama rasmi.

Individu-indivdu Terkaya di Malaysia


Syed Mokhtar

Robert Kwok

Ananda Krishnan
Malaysian Business mendapati jumlah kekayaan dimiliki 40 individu terkaya Malaysia telah susut RM75.6 bilion(43%) kepada RM96.30 bilion setakat 16 Januari 2009.


Malaysian bussiness juga mendedahkan bahawa separuh dari mereka merekodkan penurunan 50% kekayaan dengan hanya 14 orang bergelar bilionair, berbanding 19 orang billionair pada tahun lepas.



Muka baru dalam senarai 40 individu terkaya Malaysia adik beradik dari kumpulan YTL, Datuk Yeoh Soo Min dan Datuk Yeoh Soo Keng juga balu pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong iaitu Puan Sri Lee Kim Hua.


Senarai 10 teratas dan nilai kekayaan :


1.Tan Sri Robert Kuok (Raja gula-Kuok Brothers Sdn Bhd) - RM26.6 bilion


2.T. Ananda Krishnan (Maxis) - RM20.1 bilion


3.Tan Sri Teh Hong Piow (Public bank) - RM8.15 bilion


4.Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Corporation) - RM7.4 bilion


5.Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) - RM4.5 bilion


6. Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) - RM3.5 bilion


7.Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (MMC corporation Berhad) - RM3.2 bilion


8.Tan Sri Vincent Tan (Berjaya Group) - RM1.8 bilion


9.Tan Sri Tiong Hiew King (Kumpulan Rimbunan Hijau) - RM1.6 bilion


10.Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Corp) - RM1.4 bilion

Jeli babi

25 Feb 2009

625,987 guna bahasa Melayu

Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) mendedahkan 625,987 murid tidak menjawab kertas soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad (gambar) berkata, keputusan UPSR tahun lalu menunjukkan hanya 159,234 murid daripada 511,875 murid tahun enam menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris manakala 352,641 murid menjawab dalam bahasa Melayu sejak pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

‘‘Bagi Matematik pula, 238,153 murid daripada 511,499 yang menduduki peperiksaan itu menjawab dalam bahasa Inggeris manakala 273,346 menjawab dalam bahasa Melayu.

‘‘Ia menunjukkan seramai 625,987 murid tidak memahami untuk menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,’’ katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, kajian juga telah dilakukan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada 50 pensyarah dari tujuh buah universiti dalam negara.

Katanya, kajian yang dibuat terletak di bawah penyeliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Menurutnya, hasil kajian menunjukkan beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar gagal mata pelajaran Sains dan Matematik melebihi 50 peratus.

Tambahnya, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menunjukkan kejatuhan bagi pelajar Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

‘‘Kajian yang dibuat di 70 buah sekolah menengah dan 90 buah sekolah rendah di seluruh negara juga menunjukkan berlakunya kemerosotan dalam mata pelajaran tersebut.

‘‘Ia menunjukkan PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar,’’ katanya

Menurut Hassan, ia jelas menunjukkan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar sebaliknya membebankan pelajar.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk Bahasa Inggeris di setiap sekolah.

Tambahnya, wakil kerajaan perlu ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk memantau sistem yang digunakan dalam P&P bahasa tersebut.

‘‘Sistem P&P untuk Bahasa Inggeris perlu diubah dan diperkemaskan terlebih dahulu supaya menjadi bahasa kedua yang dikuasai pelajar bukannya mengajar bahasa tersebut dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

‘‘Selain itu, jadikan negara-negara Eropah sebagai model di mana mereka mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda, tetapi menggalakkan pelajarnya menguasai pelbagai bahasa,’’ katanya.

Serangan virus CurseSMS ke telefon bimbit



Awas! penghantaran SMS dan MMS mungkin mengundang risiko.

AWAS pemilik telefon bimbit kerana terdapat virus yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS) berleluasa sekarang dikenali sebagai Curse of Silence atau CurseSMS.

Virus ini akan membawa kepada serangan penafian servis dan ia ditemui baru-baru ini oleh Tobias Engel dan didedahkan pada Chaos Communication Congress ke-25.

Serangan ini melibatkan SMS yang dicipta dengan niat untuk dihantar kepada sasaran berpotensi.

Penerimaan SMS tersebut menyebabkan peranti yang menjadi sasaran tidak lagi dapat menerima mesej SMS atau MMS.

Bergantung kepada versi sistem operasi telefon mudah alih yang menjadi sasaran, peranti tersebut mungkin memerlukan pelarasan semula di kilang untuk berfungsi seperti sedia kala.

Bagaimanapun, Fortinet baru-baru ini mengumumkan bahawa Pasukan Penyelidikan Keselamatan Sedunia FortiGuard telah mengeluarkan versi baru peralatan FortiCleanUp untuk membantu para pengguna pulih daripada serangan virus itu.

FortiCleanUp merupakan siri peralatan percuma yang beroperasi dalam telefon mudah alih yang dikuasakan oleh SymbianOS S60 dan direka bentuk untuk menyingkir dan memulihkan peranti dari 'perisian jahat' tertentu dan perisian lain yang berkaitan.

Fortinet menyediakan lesen percuma kepada peralatan baru FortiCleanUp yang membantu memulihkan telefon bimbit yang diserang oleh CurseSMS itu.

Peralatan FortiCleanUp untuk Curse of Silence akan mengimbas secara automatik dan menyingkirkan mesej SMS atau MMS berniat jahat yang menghalang telefon bimbit tersebut untuk beroperasi dengan baik.

Peranti yang mudah terdedah kepada serangan ini termasuklah telefon mudah alih Nokia yang menggunakan SymbianOS S60 Edisi kedua dengan Feature Pack 2 dan 3, Edisi ketiga, serta Edisi ketiga dengan Feature Pack 1.

Ini termasuk telefon bimbit lain dari siri 'N' hingga N95 dan dari siri 'E' hingga E90, selain dari model-model yang lebih lama seperti 6680.

Untuk perlindungan lengkap yang sebenar, pasukan FortiGuard mengesyorkan pemasangan FortiClient Mobile Fortinet ke peranti-peranti telefon bimbit.

Perisian keselamatan ini menyediakan ciri agen keselamatan bersepadu termasuk firewall peribadi, IPSec VPN, antivirus, antispyware dan anti-spam SMS.

Agen perlindungan FortiClient dipekuasa dengan langganan servis keselamatan FortiGuard untuk membantu melindungi peranti-peranti dari ancaman bersepadu terkini.

FortiClient Mobile menyediakan timbang ringan, ciri agen keselamatan bersepadu dan kini disediakan untuk Microsoft Windows Mobile dan sistem operasi SymbianOS S60.

Untuk maklumat selanjutnya bagi khidmat nasihat ini atau senarai lengkap telefon bimbit Nokia yang disasarkan oleh Curse of Silence / CurseSMS, sila layari: http://www.fortiguardcenter.com

/advisory/FGA-2008-31.html.

Awasi pembunuh senyap

Oleh HENG KIANG SOON

Sejak kebelakangan ini, senario politik negara dihangatkan dengan pilihan raya kecil yang diadakan berturut-turut, dengan yang terbaru kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang bakal ditentukan tarikh pengundiannya.

Selain kerusi Bukit Selambau yang dikosongkan atas peletakan jawatan ahli DUN kawasan itu, kawasan Kuala Terengganu dan Bukit Gantang pula didatangi pilihan raya kecil setelah ahli Parlimen kawasan itu meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung. Pilihan raya kecil Batang Ai pula terpaksa diadakan oleh sebab ahli DUN di kawasan itu meninggal dunia diserang strok.

Akhir-akhir ini, kes serangan penyakit jantung dan angin ahmar (strok) di kalangan orang politik mahupun sanak-saudara di sekeliling kian kerap didengari, seakan-akan kini musim penyakit itu.

Walaupun tiada statistik rasmi berkenaan dengan isu ini, namun hakikatnya angka kematian akibat penyakit jantung, strok dan komplikasi diabetes di negara ini melonjak naik setiap tahun.

Faktor luaran seperti tekanan hidup dan perubahan gaya hidup berikutan kemelesetan ekonomi juga merupakan faktor risiko yang menggugat kesihatan rakyat.

Maka, tidak kira orang politik atau rakyat jelata, kita harus lebih peka pada gejala penyakit yang timbul dan perlu menerima pemeriksaan dan rawatan awal.

Dalam dua puluh tahun kebelakangan ini, bidang perubatan telah mengetengahkan istilah metabolic syndrome atau sindrom metabolik untuk mencegah penularan penyakit kronik secara lebih berkesan.

Sindrom metabolik telah dikemukakan oleh Prof Gerald Reaven dari Universiti Stanford pada tahun 1988 dan menarik perhatian pengkaji dalam dunia perubatan. Sindrom ini terdiri daripada sekumpulan faktor risiko yang membawa kepada penyakit arterosklerosis, diabetes, strok dan penyakit kronik yang lain.

Mengikut kriteria Pertubuhan Diabetes Antarabangsa, untuk dikelaskan dalam sindrom metabolik, seseorang itu harus mempunyai kegemukan abdomen berserta dengan sekurang-kurangnya dua daripada petanda yang berikut, iaitu tekanan darah yang meninggi, tahap glukosa darah yang meningkat, tahap trigliserida darah yang meningkat atau tahap kolesterol HDL darah yang menurun.

Kajian menunjukkan bahawa individu bersindrom metabolik membawa risiko yang sama seperti menghisap dua kotak rokok setiap hari dan juga mempunyai tiga kali ganda risiko diserang sakit jantung dan strok, malah lima kali ganda risiko dihinggapi penyakit diabetes.

Sindrom metabolik dapat menerangkan banyak fenomena penyakit, misalnya mengapakah orang yang kelihatan sihat sahaja tiba-tiba mati secara mengejut. Kenapakah tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung selalunya datang sekali gus semacam dalam satu pakej, bagaimanakah kegemukan meningkatkan risiko diabetes, dan sebagainya.

Jika pada masa dahulu, kegemukan, tekanan darah tinggi, paras glukosa yang tinggi dan sebagainya selalu dilihat sebagai faktor-faktor yang berasingan, namun kini konsep sindrom metabolik telah menghubungkaitkan kesemua faktor itu dan menghasilkan satu perspektif baru yang lebih luas dan berkesan dalam pencegahan penyakit.

Sebagai contoh, tahap glukosa darah yang meningkat biasanya dilihat sebagai punca kepada diabetes. Namun, kurang diberi perhatian bahawa sakit jantung yang meragut nyawa sebenarnya bermula daripada masalah glukosa darah.

Apabila glukosa darah bertambah, lebih banyak hormon insulin akan dirembeskan oleh pankreas untuk membawa glukosa berlebihan memasuki sel badan.

Apabila kepekatan glukosa dan juga insulin yang beredar dalam saluran darah semakin tinggi, ditambahi dengan tekanan darah yang meningkat, kemungkinan besar lapisan dalam permukaan saluran darah akan terluka bagaikan dicalar. Seterusnya, plak akan terbentuk apabila badan mengambil tindakan untuk membekukan darah.

Dengan permukaan yang berplak, akan mula terkumpul kolesterol, lemak, sel-sel mati dan sebagainya di bahagian itu dan terbentuk gumpalan yang semakin membesar. Pada waktu itu, individu itu selalunya tidak lagi terasa apa-apa yang tidak kena pada badannya.

Malapetaka akan menimpa dalam keadaan badan tertentu, contohnya ketika tekanan darah meninggi secara mendadak. Dalam tekanan darah yang tinggi, gumpalan itu mungkin akan tertanggal dari permukaan dalam saluran darah dan terbawa-bawa dalam pengaliran darah.

Bayangkanlah sebiji bola ping pong yang terjatuh ke dalam kolam simpanan air besar, terbawa ke dalam paip air yang besar dan akhirnya sampai di paip air kecil rumah kita, pastinya akan menyumbatkan paip air rumah dan menyebabkan bekalan air ke rumah terputus.

Keadaan yang sama terjadi apabila gumpalan tersebut menyumbatkan pembuluh darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan serangan jantung yang membawa maut.

Sindrom metabolik bagaikan pembunuh senyap yang mengamuk dan membunuh tanpa disedari atau tidak diawasi gejalanya. Oleh itu, sindrom ini harus diberi perhatian yang serius dalam penjagaan kesihatan.

Kita bersyukur kerana Kementerian Kesihatan dan badan-badan berkenaan banyak berusaha untuk menyebarluaskan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran rakyat tentang penyakit kronik di negara ini.

Namun, kajian dan kempen kesedaran berasaskan konsep sindrom metabolik masih belum lagi banyak diusahakan. Pada pengetahuan penulis, banyak negara luar termasuk negara serantau telah menubuhkan badan seperti persatuan pencegahan sindrom metabolik.

Terdapat juga universiti di luar negara yang menubuhkan unit atau institut pengajian sindrom metabolik. Sehubungan itu, dalam konteks Malaysia, lebih banyak tenaga pakar dalam bidang ini patut dilatih atau diupah.

Unit kajian dan pencegahan yang khas untuk menangani sindrom metabolik juga harus ditubuhkan untuk merancang strategi pencegahan jangka masa panjang yang pastinya dapat menyumbang pada peningkatan tahap kesihatan rakyat secara lebih berkesan.

Pada tahap individu, kita memang dapat memperoleh pelbagai maklumat tentang penjagaan kesihatan dalam era teknologi maklumat ini tetapi yang penting, praktiskan pengetahuan kesihatan kita dalam kehidupan seharian.

Gaya hidup yang sihat seperti pemakanan yang seimbang dapat mencegah sindrom metabolik dan juga akibat buruknya.

Sir William Osler yang terkenal sebagai Bapa Perubatan Moden pernah berkata. "Kita semua adalah orang yang berdosa dalam soal pemakanan, oleh sebab hanya sebahagian kecil daripada apa yang kita makan memberi khasiat kepada badan, yang selebihnya menjadi bahan buangan yang membazirkan tenaga".

Marilah kita memeriksa cara pemakanan kita selalu dan mengamalkan pemakanan seimbang untuk menjauhi pembunuh senyap dalam kelembapan ekonomi masa ini.

Heng Kiang Soon ialah ahli pemakanan.

Contohi kegemilangan Islam Andalusia

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

PEMBINAAN negara maju hendaklah berteraskan kepada al-Quran dan al-Sunah serta nilai-nilai asas universal yang baik yang tidak bertentang dengan kedua-duanya agar sesuai dengan konsep baldatun tayyibah wa rabbun ghafur (negara yang baik dan mendapat berkah dari Allah).

Demikianlah salah satu daripada resolusi 'Seminar Baldatun Tayyibah: Model Andalusia' anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Selangor di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Negeri itu diisi dengan pembentangan lima kertas kerja ditutup dengan ucapan penangguhan oleh Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Menurut Pengarah seminar, Rumaizi Ahmad, seminar tersebut cuba mengupas tentang tamadun Islam Andalusia dan kaitannya dengan pembinaan sebuah negara maju zaman moden berdasarkan konsep baldatun tayyibah wa rabbun ghafur sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dalam Surah Saba' ayat 15.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PUM Cawangan Selangor berkata, banyak teladan yang boleh dipelajari daripada sejarah kegemilangan tamadun Islam di Andalusia yang kini merupakan negara Sepanyol dan Portugal.

Justeru adalah sangat tepat pada masanya bagi sebuah negeri seperti Selangor ini untuk mencontohi dan meneladani Andalusia.

Kata Rumaizi, walaupun zaman yang dirujuk telah berlalu berabad lamanya namun Andalusia tetap relevan.

Ini kerana sehingga kini tidak ada negara baik di Barat mahupun Timur, waima negara Islam sendiri yang mampu mencapai seperti apa yang dicapai oleh empayar Islam Andalusia itu.

"Perkara ini tidak mustahil untuk dilakukan berikutan kedudukan demografi politik dan pola penduduknya mempunyai persamaan dengan realiti Selangor dan negara kita amnya yang multi-etnik dengan pelbagai kepercayaan agama.

"Kita boleh mempelajari bagaimana masyarakat yang pluralistik (terutama antara Islam, Kristian dan Yahudi) di Andalusia boleh hidup secara harmoni dan saling bekerjasama membangunkan sebuah tamadun yang amat memberikan sumbangan besar kepada era renaissance di Eropah kemudian hari di bawah pemerintahan yang berteraskan Islam," katanya.

Pembentangan kertas kerja dimulakan dengan tajuk 'Selangor Maju: Mengapa Andalusia?' oleh Pengerusi PUM Cawangan Selangor, Zamri Shafik.

Ia diikuti kertas kerja oleh Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, 'Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan', 'Faktor-faktor Kejayaan Andalusia' oleh Felo Penyelidik, di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Dr. Khalif Muaamar, 'Perkembangan Fiqh dan Usul di Andalusia' oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, UKM, Hasnan Kasan dan 'Peranan dan Kewarganegaraan Bukan Islam di Bawah Kerajaan Islam Andalusia' oleh pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim.

Sebanyak tujuh resolusi dihasilkan dalam seminar ini. Antaranya: "Dalam ruang lingkup keadilan dan kedaulatan undang-undang serta perlembagaan; menyuburkan dan meluaskan dialog dan perbincangan antara kaum dan agama demi memupuk toleransi bermasyarakat atas asas kesefahaman, keharmonian dan saling hormat-menghormati.

"Di samping menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang; mengukuhkan institusi ilmu, menyebarluaskan ilmu pengetahuan dan dakwah Islamiah serta mengangkat martabat ilmuwan khususnya ulama dan cendekiawan di semua peringkat; dan membentuk kebudayaan dan kesenian masyarakat yang menjurus kepada mendidik jiwa dan membentuk keperibadian".

Seminar tersebut menghimpunkan para ulama, cendekiawan Muslim, aktivis pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa pemimpin politik termasuk dari luar Selangor.

Resolusi seminar itu nanti bakal diserahkan kepada Menteri Besar Selangor untuk dijadikan panduan asas membangunkan negeri sesuai dengan status Selangor Negeri Maju.

Namun apa yang penting, pihak penganjur diharapkan dapat membuku kertas-kertas kerja yang dibentangkan sepanjang seminar ini.

Ini kerana pada faktanya Andalusia, sebuah empayar yang dirakam betul dan tepat apabila pemimpinnya yang bijaksana mampu menjadikan Kota Kordoba (Cordova) memiliki hampir 600 masjid, 900 tempat mandi umum, 50 hospital dan pelbagai lagi perkembangan tamadun yang berada di puncak gemilang.

Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin tersebut mesti dicontohi oleh para pemimpin yang ada hari ini agar kepimpinan mereka itu tidak dipersoalkan di akhirat kelak.

Andalusia, bukan menjanjikan fenomena untuk umat Islam berkhayal dan mimpi, pada mereka ada sejarah yang meminta umat sekarang mencontohi mereka. Begitu juga kegemilangan Madinah, Bani Umaiyah, Bani Abbasiah hatta kegemilangan Islam di Melaka dan di Aceh.

Jika semua sejarah ini diambil pengajaran, wajarkah umat Islam berwajah yang rata-ratanya memilukan? Ini jika kita menyebut mengenai pelarian Islam Rohingya sehinggalah yang paling lama menunggu kedamaian, Palestin!

Hebat sangatkah 'Slumdog Millionaire'?


APAKAH kehebatan 'Slumdog Millionaire'(SM) sehingga diangkat sebegitu rupa di majlis anugerah dan Oscar? Banyak persoalan akan terjawab seandainya kita mengambil masa menonton filem ini yang semakin banyak diperkatakan dan diistilahkan sebagai kontroversi di kampung halamannya sendiri.
Meskipun membolot lapan Oscar di majlis berprestij Anugerah Akademi ke-81 semalam, penduduk setinggan Mumbai di mana filem ini diinspirasikan masih tersinggung dengan perkataan 'dog' yang digunakan dalam tajuk filem ini.
Sebilangan mereka merasakan amat pedih gelaran 'Anjing setinggan jadi Jutawan' itu digunapakai sebagai tajuk filem. Mungkin pengarah Danny Boyle ingin menyedapkan tajuk cerita dan secara sinis menamakan golongan tidak bernasib baik itu sebagai 'anjing setinggan.'
Jujurnya, memang patut pun penduduk setinggan di Mumbai merajuk, sensitif dan mengheret filem ini, aktor Anil Kapoor, komposer terkenal A.R Rahman dan semua pekerja filem ini ke mahkamah kerana telah menyinggung perasaan kaum setinggan.

Sebilangan penduduk setinggan di Mumbai merasakan amat pedih gelaran 'Anjing setinggan jadi Jutawan' itu digunapakai sebagai tajuk filem.
Tapi realitinya, apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah sebuah kebenaran dan realiti kehidupan masyarakat India yang sanggup menipu saudara sendiri, kawan dan siapa saja untuk hidup.
Filem ini mengisahkan kehidupan dua beradik yatim piatu, Salim dan Jamal Malik juga Lathika yang hidup susah sejak kanak-kanak lagi setelah kematian kedua ibubapa.
Kesusahan yang menghimpit mereka menjadikan mereka tabah, lebih agresif dan tidak berhati perut semakin meningkat dewasa.
Jamal memilih hidup sebagai gangster di bawah Javed. Jamal yang sanggup berbuat apa saja untuk hidup, berbeza pula dengan Salim yang lebih berpijak pada bumi nyata.

Tunggak kejayaan filem 'Slumdog Millionaire' yang terdiri daripada Irrfan Khan, Dev Patel, Frieda Pinto dan aktor terkenal Bollywood Anil Kapoor.
Jamal sanggup meniduri Lathika di hadapan Salim dan kemudiannya membuat rundingan pula menjual Lathika sebagai perempuan simpanan Javed walaupun dia tahu, adiknya Salim menaruh hati pada Lathika.
Walaupun terpisah, Salim masih teringatkan Lathika....
Perjalanan hidup Salim, Jamal dan Lathika menjadi lebih menarik apabila ianya digarap sebegitu rupa dan diselang seli dengan soalan program 'Who Wants To Be A Millionaire' yang dihoskan oleh Anil Kapoor di mana pesertanya adalah Salim.
Ketika duit terkumpul mencecah 10,000 ribu rupees, Anil telah menelefon pihak polis untuk menangkap Salim kerana fikirnya Salim telah menipu.

Pengarah filem 'Slumdog Millionaire' Danny Boyle begitu teruja dengan kemenangan filemnya di Anugerah Akademi ke 81.
Di sinilah setiap episod sedih yang dilalui oleh Salim dan abangnya terbongkar. Setiap soalan yang ditanya di dalam program itu berkait dengan pengalaman hidup Salim. Sukar untuk dipercayai?
Bagi Salim, tidak perlu menjadi genius untuk menang program itu kerana apa yang terjadi sudah suratan hidupnya.
Garapan setiap adegan dibuat dengan begitu cantik sekali hingga tidak terputus jalan cerita.
Setiap babak terakam kemas dalam kotak minda hingga terbayang hingga kini seperti kisah Salim/Jamal menipu pelancong di Taj Mahal, dikejar fanatik Hindu setelah melihat ibunya dibakar hidup-hidup oleh kaum fanatik ini, kanak-kanak yang dibutakan dan dicungkil matanya agar boleh meminta sedekah sambil menyanyi.
Plot filem ini berkembang dengn cukup menarik apabila setiap isu sosial yang dihadapi oleh kaum setinggan dikupas satu demi satu.
Kanak-kanak dieksploitasikan untuk mencari habuan, polis yang zalim, cuai dan penuh korupsi juga kisah rakyat India yang mendewakan aktor mereka.
Salim, misalnya ketika masih kanak-kanak sanggup memboloskan diri ke lubang najis, apabila tandas tariknya dikunci dari luar, hanya untuk mendapatkan satu autograf Amitabh Bachchan. Adegan ini begitu jijik sekali tetapi kemungkinankah ianya berlaku?Tidak cukup untuk menguatkan kedewaan pelakon mereka. Datang pula Jamal mencuri autograf itu untuk dijual bagi mendapatkan sedikit 'laba'.
Begitu sekali pengamatan pengarah dan penulis skrip filem atau kaca mata orang Barat melihat kesengsaraan hidup masyarakat India.
Setiap unsur penipuan dipaparkan dengan realistik sekali. Begitu juga dengan dakyah halus yang cuba diselitkan seperti adegan Jamal bersembahyang kemudiannya melakukan rompakan - seolah-olah agama kita menghalalkan keganasan dan rompakan yang meragut nyawa manusia tidak berdosa.
Kemungkaran arak dan perempuan dipaparkan seolah-olah 'direstui' oleh agama Islam.
Menonton 'Slumdog Millionaire' akan membuat kita rasa sedih, sayu, insaf dan cemas. Tidak mustahil ramai terguris, tambahan kalau jiwa halus yang sensitif.

Paparan 'the ugly Indians' jelas menyokong hujah ini tapi seperti kebanyakan perkara, hakiki satu kehidupan akan membuat ramai yang berasa hati dan tersentak.
Filem ini dikatakan kontroversi kerana ia menyatakan kebenaran dan seperti yang kita maklum 'the truth hurts'.

23 Feb 2009

Yahudi pendatang di Tanah Arab


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

DI Zaman Pra Islam iaitu di Semenanjung Arab dikatakan terdapat lebih 20 kabilah yang terdiri daripada puak-puak Yahudi. Ini menjadikan terdapat sejumlah besar penduduk di semenanjung itu terdiri daripada kaum Yahudi selain daripada bangsa-bangsa Arab yang lain.

Tetapi adakah puak-puak Yahudi ini merupakan penduduk asal Tanah Arab dan membentuk negara bangsa Yahudi mereka di situ? Pastinya mereka sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, Yahudi merupakan kaum yang terpaksa migrasi dari satu tempat ke suatu tempat yang lain, mencari bumi mana yang sudi menerima mereka.

Jika kita menyingkap sejarah asal usul kaum ini, mereka juga dikenali juga sebagai Bani Israel bermaksud bangsa yang berketurunan Israel.

Fakta mengenai Israel yang mesti kita ketahui bahawa Israel berasal dari perkataan Ibrani yang bermaksud 'orang yang berjalan di malam hari'.

Iaitu satu gelaran yang diberikan kepada Nabi Yaakob a.s, iaitu nabi kesepuluh lahir selepas Nabi Adam a.s. Nabi Yaakob dikatakan selalu mengembara dengan memulakan perjalanannya di waktu malam, manakala berehat semasa siangnya dan membuat persediaan untuk meneruskan perjalanan pada waktu malam berikutnya.

Gelaran itu menjadi asal usul kepada kaum yang lahir daripada anak-anak Nabi Yaakob yang seramai 12 orang itu, yang turut dikenali dengan gelaran "Al Asbaath."

Antara anak-anak baginda itu ada yang diangkat sebagai nabi seperti Nabi Yusuf bagi meneruskan syariat Allah yang diperturunkan kepada nabi-nabi terdahulu, iaitu Nabi Ishak, Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim.

Nabi-nabi lain yang lahir dari keturunan ini, termasuklah Nabi Ayyub, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zulkifli, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.

Sehinggalah sejarah bangsa ini melewati 587 (atau 586) Sebelum Masihi akibat penempatan mereka di Jerusalem diserang dan dihancurkan oleh Raja Nebuchadnezzar iaitu raja Kaum Chaldea dari Babylon (Iraq).

Peristiwa ini merupakan kali pertama orang Yahudi dihalau keluar dari Israel (Jerusalem) dan ada sebilangan yang ramai daripada mereka ditawan dan dibawa ke Babylon.

Serangan ini tidak sahaja menghancur dan memusnahkan negara mereka malah termasuk juga haikal (kuil-kuil) Yahudi. Namun mereka terpaksa juga meninggalkan Jerusalem mencari penempatan lain untuk meneruskan kehidupan.

Melarikan diri dan perjalanan mencari dunia baru itu akhirnya, menyaksikan ada kalangan mereka sampai di bahagian utara Hijaz dan apabila diterima baik oleh penduduk asal Arab di situ, pendatang Yahudi terus menetap di kawasan-kawasan utara semenanjung Tanah Arab itu.

Lebih ramai Yahudi yang melarikan diri ke kawasan tersebut sehingga mereka berjaya membentuk penempatan Yahudi yang besar iaitu di Yathrib (nama lama bagi Madinah), Khaibar dan Taima.

Mereka kemudiannya membuka lebih banyak perkampungan-perkampungan Yahudi, benteng dan kubu bagi tujuan mempertahankan diri daripada serangan musuh.

Pendatang-pendatang Yahudi itu kemudiannya mula menyebarkan agama mereka di kalangan penduduk-penduduk Arab yang berada di persekitaran mereka, sehinggalah kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Sebagaimana yang kita sedia ketahui, Yahudi berjaya membentuk satu komuniti yang kuat terutama di Yathrib. Kabilah-kabilah Yahudi yang berjaya membentuk pengaruh yang kuat dan terkenal, termasuklah Kaibar, Mustaliq, Nadir, Quraizah dan Qainuqa.

Jadi telah berlaku asimilasi agama dan kaum yang jika sebelum ini agama Yahudi itu dianuti oleh bangsa Israel itu sahaja. Namun mereka nampak ada kepentingan, jika agama Yahudi itu tersebar di kalangan penduduk asal atau orang Arab itu sendiri kerana menyedari status mereka yang sebenarnya berasal daripada kaum pendatang.

Fenomena ini menyebabkan ada pihak yang menyebut terutama di kalangan bangsa Arab, Yahudi dan Islam itu sebenarnya saling bersaudara. Walaupun berbeza agama tetapi sebenarnya kedua-dua kaum ini masih mampu untuk hidup berpakat dan berjiran tanpa ada sebarang prejudis kaum atau perkauman.

Tetapi bagaimana dikatakan agama Yahudi itu menjadi hak anutan kepada bangsa-bangsa Yahudi sahaja, tidak bangsa lain yang ada di muka bumi ini? Adakah anda mengetahui fakta sejarah mengenainya?

Pakar Sejarah terkenal, Harun Yahya (Adnan Oktar) dalam bukunya, Kaum-kaum Yang Pupus (Terbitan Saba Islamic Media, 2004) menulis Kitab-Kitab Perjanjian Lama (Taurat) seolah-olah menggambarkan Nabi Ibrahim seperti menerangkan dua individu berbeza.

Seorang dikenali sebagai Abraham dengan versi mereka sendiri dan seorang lagi Ibrahim sebagaimana kisahnya diceritakan dengan benar dan tepat seperti terkandung dalam al-Quran.

Menurut Harun, tidak ada satu cerita atau kisah Nabi Ibrahim yang dilemparkan ke dalam api dan tindakannya memecahkan berhala-berhala kaumnya, Kaum Namrud disebut dalam Kitab Perjanjian Lama (Taurat).

Secara umum kitab itu hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai moyang kepada kaum Yahudi sahaja.

"Ternyata para pemimpin kaum Yahudi telah menggunakan pandangan Perjanjian Lama ini untuk mengetengahkan konsep "agama bangsa".

Mereka mempercayai bahawa bangsa mereka adalah terpilih oleh tuhan, justeru mereka mempunyai keagungan yang tiada tandingan berbanding bangsa-bangsa lain.

"Mereka dengan sengaja meminda kandungan Kitab Suci mereka sendiri dan menokok tambah serta memadamkan sesetengah kandungan demi kepentingan kepercayaan mereka," kata Harun.

Sementelah bagi penganut dan pengikut Kristian pula berpendapat Nabi Ibrahim yang dianggap sebagai moyang kaum Yahudi tetapi menurut mereka Nabi Ibrahim bukan seorang Yahudi tetapi seorang Nasrani.

"Mereka tidak mengendahkan konsep bangsa seperti Yahudi itu dan mengambil pendirian mereka sendiri, yang telah menyebabkan berlaku perselisihan antara kedua-dua agama itu," katanya.

Perselisihan ini telah disebut dalam al-Quran, iaitu; Wahai ahli-ahli Kitab! Mengapa kamu berani bertengkar mengenai agama Ibrahim, pada hal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada zaman Ibrahim; patutkah kamu berdegil sehingga kamu tidak mahu menggunakan akal?....Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah juga baginda seorang Kristian. (Ali Imran: 65 - 68)

Turut disebutkan juga terdapat agama lain yang menjadi anutan kalangan penduduk Arab selain, Nasrani, Yahudi pada zaman sebelum keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW.

Iaitu agama Majusi (menyembah api) iaitu kalangan penduduk Arab yang tinggal berdekatan atau berjiran dengan negara Parsi, negara asal agama ini. Agama ini juga dikatakan bertapak di Iraq, Bahrain dan kawasan-kawasan persisiran Teluk Arab yang berdekatan dengannya.

Atau anda pernah mendengar agama Sabiah? Agama ini juga merupakan satu lagi bentuk agama yang dikatakan menjadi anutan kepada sebahagian kecil penduduk Arab di Tanah Arab. Iaitu kaum Ibrahim al Kaldaniy dan juga dikatakan ramai penduduk Syam yang mempercayai agama ini. Namun akibat kehadiran dan kemaraan agama Nasrani dan Yahudi menyebabkan agama ini lemah dan semakin pupus.

Mereka yang menganut agama ini menggantungkan kepercayaannya kepada perjalanan bintang dan falak, berkeyakinan bahawasanya segala sesuatu itu, gerak dan diam, berjalan dan berhenti, semua itu berkait dengan bintang-bintang.

Mungkin ada menariknya kita ikuti corak kehidupan masyarakat Arab Jahiliah dengan lebih dekat lagi. Ikuti keluaran akan datang, bagaimana yang dikatakan dalam kejahilan itu mereka sebenarnya bertamadun seperti dalam bidang kesusasteraan, sehinggakan dinding-dinding Kaabah menjadi saksi kehebatan masyarakat Arab Jahiliah bersastera

Hikmah memberi hadiah


Hadiah diambil dari kata bahasa Arab, dan definisinya, pemberian seseorang yang sah memberi pada masa hidupnya, secara kontan tanpa ada syarat dan balasan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian 'athiyyah dan seumpamanya. Tapi suami zaman sekarang tak macam Nabi. Ada yang kedekut pulus, tak pandai nak ambil hati isteri tapi mengharapkan servis dari isteri nak yang top-ngetop meletop. Kalau tidak diminta hantaran masa kahwin dulu, agaknya tak merasalah si isteri mendapat hadiah... Sedih betul...

Sebenarnya, amalan memberi hadiah memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim, bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Mungkin ada yang perasan, saya letakkan satu hadis yang cukup sinonim dengan 'amalan memberi hadiah' di bawah 'signatory' akaun gmail saya [start Februari dah tukar hadis lain]. Hadisnya berbunyi, daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim. " (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, samada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, "Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. " (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksudnya: "Dan baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perbezaan Di antara Sedekah, Hadiah Pemberian dan 'Athiyyah

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan 'athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai 'athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan 'athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara' pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran ('iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.

Hukum Memberi Hadiah

Menurut Ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, belas kasihan dan ia memberikan pengaruh yang positif di masyarakat; baik bagi yang memberi mahupun yang menerima. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur'an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/537) sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa." (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Bagi yang memberi, itu sebagai cara melepaskan diri dari sifat bakhil, saranan untuk saling menghormati dan sebagainya. Sedangkan kepada yang diberi, sebagai salah satu bentuk memberi kelapangan terhadapnya, hilangnya kecemburuan dan kecurigaan, bahkan mendatangkan rasa cinta dan persatuan dengan sesama... TAPI hati-hati, hadiah tak boleh disamakan dengan suapan (rasuah)!

Galakkan Sikap Suka Memberi

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh gaginda dalam sabdanya yang bermaksud, "Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan." (Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada-Nya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya' adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda baginda yang bermaksudnya: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (Hadis riwayat Muslim)

Kalau dianjurkan untuk dijadikan amalan masyarakat, kenapa tidak dimulakan dalam masyarakat yang lebih kecil, contohnya, mulakan di kalangan keluarga sendiri. Rasulullah SAW amat menggalakkan amalan memberi hadiah dalam rumahtangga kerana dengan cara ini, kasih akan bertambah kerana hadiah merupakan tanda kasih atau simbol kepada kasih sayang suami terhadap isteri. Seorang suami tidak perlu menunggu isterinya memberi hadiah, sebaliknya suami hendaklah melakukan amalan ini terlebih dahulu. Ini sesuai dengan jiwa wanita yang sukakan sesuatu yang halus dan menggembirakan emosinya.

Sketsa Rumahtangga Rasulullah

Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: "Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu. Beliau (Ummu Kultsum) berkata: Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah." (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah juga suka memberi hadiah kepada isteri-isteri baginda. Apabila pulang dari mana-mana perjalanan, baginda sering membawa pulang hadiah untuk isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika, baginda terlupa membawa pulang hadiah, baginda berpatah semula ke pekan lalu membelikan ahdiah untuk isteri baginda.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a., "Pada suatu ketika Rasulullah menghadiahkan aku sebuah gelang yang amat cantik buatannya. Kemudiah aku bertanya kepada baginda, "Ya Rasulullah, siapakah di antara kami (isteri) yang paling kamu sayang?" Jawab Rasulullah, "Siapa yang ada gelang di lengannya." Keesokkan harinya aku dapati kesemua isteri baginda memiliki gelang yang sama."

Kepentingan memberi hadiah

Simbol kasih suami terhadap isteri
Menggembirakan hati isteri
Mencetuskan rasa hormat dan taat dalam hati isteri terhadap suami
Mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati. Sabda Nabi, "Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat menwariskan rasa cinta dan membersihkan berbagai kekotoran hati/jiwa."
Mendatangkan rasa saling cinta-mencintai, menyatukan hati dan memunculkan kasih sayang.

Imam Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Biasakanlah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai." Juga diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrad, no. 594. Ibnu Hajar berkata, "Sanadnya shahih."

Melakukan kebaikan kepada isteri adalah sebahagian tanda Muslim sejati. Suami baik sedar bahawa dirinya menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang baik di antara kamu ialah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri daripada kamu." (Hadis Riwayat at-Tarmizi).

Hadis lain Riwayat at-Tarmizi bermaksud: "Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya."

Nah... Masih berkira-kira hadiahkan sesuatu kepada isteri?

Bagi isteri yang suaminya tak romantik atau berkira sangat nak beri hadiah, tak perlulah terasa hati. Terimalah suami seadanya dan redhalah dengan ketentuan Allah yang suami itu tidaklah sesempurna Rasulullah. Bukan senang untuk merubah manusia, tetapi kita boleh merubah diri sendiri. Untuk menggembirakan hati sendiri, isteri bolehlah berjimat-cermat atau simpan sedikit demi sedikit untuk mendapatkan sendiri hadiah idaman hati. Bukankah ini lebih memberikan kepuasan?

Bagaimanakah Anda Menilai Pekerjaan Anda?

Baca setiap soalan dengan teliti dan tandakan (a) untuk jawapan ‘ya’ atau (x) untuk ‘tidak’.

Bagaimanakah Anda Menilai Pekerjaan Anda?

1. Mahukah anda membatalkan cuti anda jika anda mendapat peluang untuk kenaikan pangkat pada waktu yang sama?

2. Adakah anda menaruh harapan untuk hidup seperti seorang bintang filem pada satu hari nanti?

3. Pernahkah anda idamkan untuk membeli sebuah rumah yang lebih besar pada masa hadapan?

4. Adakah anda bekerja dengan harapan untuk membuka perniagaan anda sendiri pada satu hari nanti?

5. Apabila tiba masanya untuk membuat sesuatu keputusan, adakah mudah bagi anda untuk melakukannya?

6. Adakah anda mempunyai nilai-nilai diri yang boleh membuatkan anda berjaya dalam kerjaya anda?

7. Adakah menjadi terkenal itu menarik perhatian anda?

8. Adakah anda seorang yang sanggup menerima pujian daripada kerja yang telah dilakukan oleh rakan sekerja anda?

9. Adakah anda seorang yang suka memberi arahan kepada orang lain?

10. Bolehkah anda bekerja dengan orang yang anda tidak suka jika keadaan ini dapat meningkatkan lagi kedudukan anda di pejabat/syarikat itu?

11. Mahukah anda menerima tawaran pekerjaan yang lebih baik walaupun pekerjaan itu akan memisahkan anda daripada keluarga anda?

12. Adakah anda berasa yang anda lebih berkebolehan daripada orang lain?

13. Adakah anda akan menghadiri majlis atau perjumpaan yang diadakan oleh ketua/majikan anda daripada menghadiri majlis yang diadakan oleh rakan-rakan anda?

14. Adakah anda berasa bosan jika anda mengambil bahagian dalam permainan yang tidak mendapat perhatian ketua anda?

15. Pernahkah anda memikirkan bagaimana anda hendak meraikan kejayaan anda sebagai seorang jutawan?


Bagaimanakah kedudukan anda?

Setelah melakukan latihan yang diberikan, anda dikehendaki mengira jumlah markah yang anda peroleh. Untuk setiap jawapan ‘Ya’, berikan diri anda 1 markah.

Jika markah anda di antara 9 hingga 15, anda seorang yang bercita-cita tinggi dan mempunyai azam yang kuat. Anda menggunakan pekerjaan anda untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan. Anda mungkin kecapi kepuasan bekerja tetapi kepuasan bekerja itu tidak memainkan peranan yang penting dalam hidup anda.

Markah di antara 5 hingga 8 menunjukkan bahawa anda bekerja hanya untuk mendapatkan wang dan tidak lebih daripada itu. Hal ini bukan bermakna anda tidak ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, tetapi anda masih belum bersedia untuk melakukan pengorbanan yang diperlukan dalam pekerjaan itu nanti. Pada banyak ketika, anda mendapat kepuasan daripada pekerjaan yang anda lakukan.

Jika markah anda ialah 4 dan ke bawah, anda seorang yang tidak mementingkan darjat atau gaji yang lumayan. Anda lebih suka memilih pekerjaan yang memberikan anda masa lapang. Anda mendapat kepuasan daripada pekerjaan yang anda lakukan.

18 Feb 2009

Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatla bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda "Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya: "Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya."

(Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata " Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:


نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا


Maksudnya: Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar.

(Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Disini Dr Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yg perlu dipatuhi dalam bergurau senda:

Pertama: Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.

Nabi saw bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له.

Maksudnya: Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.

(Hr Ahmad dan ad-Darimi – sanadnya sahih)

Kedua: Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.

Firman Allah: " Wahai orang2 yang beriman janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan wanita yang dihina lebih baik baik dari yang wanita menghina… " ( 11 : al-Hujarat)

Nabi saw bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya: "Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (Hr Muslim – sahih)

Termasuk dalam menghina ialah dgn meniru perbuatan orang lain.

Aisyah ra berkata "Aku telah meniru perbuatan seorang manusia." Lalu Rasulullah saw bersabda:


ما أحب أني حكيت أحدا


Maksudnya: "Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain."

(Hr Ahmad dan Baihaqi – sanad sahih)

Ketiga: Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nukman bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda;


لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا


Maksudnya: "Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam."

(Hr Thabrani – sahih)

Nabi saw bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا


Maksudnya : " Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak atau pun betul2."

(Hr Ahmad – sahih)

Keempat: Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi saw bersabda:


ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق


Maksudnya: "Tiga perkara yang mana yg mana diambil hukumnya samaada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah 2. Cerai 3. Membebaskan hamba.

(Hr Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah – sanadnya hasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah swt:

"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai." (59 – 61 : an-Najm)

Kelima: Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi saw bersabda:


وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ


Maksudnya: "Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibu Majah – sanad hasan)

Saidina Ali ra:

"Masukkan lawak dalam kata2 sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu."

Said bin al-'As berkata:

"Bersederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yg bodoh akan berani terhadap mu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang2 yang hendak bermesra dan menyebabkan orang2 yang berdamping dgn mu berasa rimas."


Rujukan: Tafsir Sobuni , sahih muslim, Mawahib al-Laduniah bi syarh asSyamail alMuhammadiah oleh syeikh sulaiman Jamal dan Feqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Qardawi.

17 Feb 2009

Tangis insaf, zikir hidupkan jiwa mati


Tajdid Iman:
Oleh Dr Juanda Jaya
Air mata takut hari pembalasan untuk tambah ilmu lebih mahal daripada isi dunia
DUA belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap reda atas ketentuan-Nya. Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih. Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.

Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya. Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.

Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati. Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud. Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih. Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.
Menangis adalah suatu ungkapan perasaan normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab tertentu. Mungkin berduka kerana sudah kembali kepada Allah seseorang yang mereka kasihi. Kerana rindu yang menyeksa kepada orang disayangi.

Begitu juga orang akan menangis apabila menahan sakit, tidak kira sakit kerana dilukai perasaannya ataupun sakit pada zahir tubuh badannya. Orang akan menangis apabila kehilangan harta, diseksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan di khalayak ramai.

Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, tangisan boleh diperincikan menjadi 10 jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, kegundahan, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya. Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.
Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi. Alam ghaib tidak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada Nabi dan Rasul, syuhada dan orang salih. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, selain perlindungan- Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca ayat al-Quran dalam sembahyangnya, yang bermaksud:
“Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” (Surah al-Tur, ayat 27)
Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud:
“Jika Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah, ayat 118)
Saidina Umar al-Khatab berkata: “Seandainya ada seruan dari langit yang mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga, kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah diriku..” Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian peristiwa itu.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya aku menyaksikan sahabat Rasulullah SAW, tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari. Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang bergoncang bagaikan pohon ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku belum pernah melihat sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari daripada satu ancaman seperti ancaman neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan daripada azab neraka. Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.
Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah SAW, tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada Allah.
Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.
Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud:
“Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)
Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya.
Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha Pencipta?
Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)
Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan air mata.
Abdullah bin al-Syakir berkata:
“Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika Baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?

Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah.

Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari.

Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main. Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan kekurangan diri. Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.
Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.

Bukankah syuhada menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja yang termampu kerana harga setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya. Memang sungguh berbaloi!

Ros Itu Merah, Seri Pagi itu biru, Maaf Hari Valentine Itu Bukanlah Untuk Mu.

Boleh dikatakan dikebanyakan tempat, kalau tidak seantero dunia, slogan “mari kita mulakan musim percitaan” mula berkumandang. Ia adalah musim dimana jambangan ros dan kad ucapan bertukar tangan, dan ucapan cinta dan janji-setia (waluapun selalunya dimungkiri) dilafaskan. 14 Febuari juga dikenali sebagai “Hari Valentine”.

Jadi apa yang memudhoratkan terhadap semuanya itu? Kemukinan orang akan bertanya. Bukankah ia adalah hari untuk kita meningati pasangan kita dan meluahkan perasaan cinta yang membara kepada pasangan kita, atau memberi sedikit kebebasan kepada para remaja untuk memadu cinta dan asmara? Hari Valentine bukan hanya untuk mencurahkan perasaan cinta kepada pasangan seseorang sahaja, tetapi lebih jauh dari itu, adalah untuk menghapuskan halangan yang menghalang pernyataan perasaan cinta kepada orang-orang yang pada hari-hari biasa sukar untuk didekati.

Kisah St. Valentine.

Di kurun yang ke 5 masihi, pihak gereja katholik berhasrat untuk menghapuskan perayaan kesuburan musyrik yang diraikan oleh orang-orang Rom sejak dari kurun ke 4 sebelum masihi. Pada bulan Febuari setiap tahun akan diadakan cabutan bertuah untuk meraikan para remaja lelaki yang memasuki peringkat akil baligh dihadapan “tuhan” Lupericus. Bagi para remaja perempuan mereka juga akan mengambil bahagian didalam cabutan bertuah ini, dengan meletakkan nama mereka didalam sebuah kotak dan nama-nama tersebut akan dicabut secara rambang oleh para remaja lelaki tadi. Remaja perempuan yang dicabut namanya oleh remaja lelaki tadi akan dihadiahkan kepadanya. Pasangan sejoli tadi akan keluar dari tempat penyembahan tersebut sebagai “sepasang suami-isteri” , yang akan menikmati keseronokan dari hubungan tersebut selama setahun sehingga tiba masa untuk cabutan bertuah pada tahun yang berikutnya.

Pihak gereja tidak meredhai ciri pergaulan bebas yang ada pada penyembahan tersebut dan berusaha untuk mengakhirinya dengan melantik “wali (saint) cinta”, yang akan dianugerahkan kemulian bagi mengantikan ritual kepada Lupericus. Mereka memilih seorang bishop yang bernama Valentine yang telah dihukum bunuh pada kurun ke 3 masihi. Hukuman yang yang terimanya adalah kerana beliau menyangah Emperor Claudius yang mengharamkan perkahwinan kerana menganggap perkahwinan meyebabkan orang lelaki menjadi askar yang tidak berkualiti, kerana mereka enggan untuk meninggalkan keluarga mereka untuk ke medan perang. Valentine telah menerima mereka untuk dikahwinkan secara rahsia, sebuah jenayah yang mengakibatkan dia dijatuhi hukuman bunuh. Bagaimanapun sebelum dilaksanakan hukuman tersebut dia dikatakan sempat mengirimkan ucapan selamat tinggal kepada anak perempuan orang yang memenjarakannya yang mana dia telah jatuh cinta kepadanya ketika dia berada di penjara. Ucapan tersebut berbunyi, “Dari Valentine dikau”.

Hari Valentine - Perayaan Pergaulan Bebas.

Perayaan Hari Valentine kini telah berkembang menjadi suatu perayaan yang jauh terpesong dengan niat Valentine. Sesungguhnya adalah ironi untuk melihat bahawa perayaan tersebut telah bertukar wajah dari apa yang diinginkan oleh pihak gereja suatu masa dahulu, iaitu untuk menjaga institusi perkahwinan, dengan menguna-pakai nama Hari St Valentine. Kini Hari Valentine dan apa yang dikaitkan dengannya adalah jauh berbeza ; iaitu,kembalinya pergaulan bebas dalam masyarakat, jalinan hubungan yang diakhiri dengan perzinaan, kehamilan yang tidak dikehendaki, penguguran janin secara gelab dan segala aktiviti yang membawa kepada keruntuhan maruah dalam masyarakat..

Malangnya, keburukan yang lahir dari perayaan tidak bermoral ini telah menjangkiti setiap lapisan masyarakat. Tanpa menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat, para kapitalis telah menggunakannya sebagai sambutan peluang perniagaan secara besar-besaran. Television dan akhbar akan menyiarkan iklan-iklan promosi program khas, dan acara-acara sambutan yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat kapitalis ini. Ia dilakukan semata-mata untuk mencari keuntungan pantas tanpa memikirkan kesan buruk daripadanya terhadap keharmonian dan kerukunan kepada masyarakat akibat dari pergaulan bebas yang dilahirkannya.

Sebenarnya realiti Hari Valentine hanya merupakan sebuah cerminan masalaah yang bukan hanya terhad kepada 14hb Febuari sahaja. Kerana konsep yang sama, yang mendorong manusia untuk melampaui sempadan akhlak pada hari itu, adalah juga konsep yang diamalkan oleh masyarakat barat sepanjang tahun, iaitu; pergaulan dan sex bebas.

Kalimah “kebebasan sex” merupakan titik graviti bagi nilai asas kepada sekularisma yang mana dunia barat membangunkan pandangan hidup di atasnya. Dengan memisahkan agama dari urusan kehidupan, semua nilai dan pengawalan diri tunduk kepada ransangan hawa nafsu individu semata-mata. Dikala membebaskan diri dari kezaliman dan ketundukan kepada para pemimpin gereja Eropah dikurun ke 16 masihi, sekularisma di masa yang sama telah memperhambakan manusia kepada perhambaan yang lebih dahsyat; iaitu, ketundukan terhadap hawa-nafsu.

Di atas nama “kebebasan” (freedom), ratusan ribu nyawa telah melayang melalului peperangan yang secara terancang dicetuskan, sebagaiamana di Afganistan dan Iraq. Natjah dari ‘kebebasan’, manusia di Dunia Barat terdedah kepada peningkatan bahaya dan ketakutan disebabkan oleh rompakan, rogol, dan pembunuhan, yang dilakukan oleh mereka-mereka yang dibesarkan di dalam masyarakat yang meyakini “kebebasan” untuk memenuhi tuntutan hawa-nafsu merupakan sebuah lesen untuk seseorang memenuhi kemahuan mereka dengan mengorbankan hak-hak orang yang tidak bersalah yang berada didekeliling mereka. Apabila konsep “kebebasan” ini diterapkan kepada hubungan lelaki dan perempuan, maka “pergaulan bebas” ini akan membawa kepada keadaan porak-peranda, kacau-bilau dan kenestapaan di dalam masyarakat.

Pandangan Islam Terhadap Hari Valentine.

Umat Islam mestilah memiliki kepekaan dalam mengenal-pasti mekanisma yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah kefahaman kita terhadap Islam. Apabila Umat Islam digalakkan untuk melibatkan diri didalam smabutan Hari Valentine mereka diperdayakan untuk meninggalkan nilai-nilai akhlak, standard bertingkah-laku, kehormatan dan maruah yang Islami, yang diperintahkan untuk dipelihara didalam menjalinkan perhubungan lelaki dan wanita.

Adalah amat perlu bagi kaum muslimin untuk menyedari bahawa Islam mengkehendaki mereka menjadikan tempat rujukan mereka sebagai hak ekslusif bagi Hukum Syarak. Ia adalah satu-satunya sumber yang sah bagi perayaan, tradisi atau amalan yang dibenarkan oleh Islam bagi Muslimin untuk mengikutinya. Islam adalah bertentangan secara total dengan konsep sekularisma. Ia juga tidak memberi sebarang ruang kepada konsep batil “kebebasan individu”. Sebaliknya, Islam hadir untuk mengatur urusan manusia didalam setiap aspek secara menyeluruh, membebaskan mereka dari ketundukan terhadap manusia atau hawa-nafsu mereka sendiri, dan memimpin mereka kepada hukum Pencipta mereka yang sempurna.

كان لأهل المدينة في الجاهلية يومان من كل سنة يلعبون فيهما
فلما قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة قال قد كان لكم يومان
تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم النحر

Diriwayatkan bahawa Anas Bin Malik (ra) berkata; “Apabila Nabi saw berhijrah ke Madinah, peduduk disana memiliki dua hari perayaaan Jahiliyyah. Dia sawbersabda, “Apabila aku datang kepada kamu, kamu memiliki dua hari perayaan yang kamu sambut ketika masa jahiliyyah. Allah telah mengantikannya denga hari yang lebih baik, iaitu hari raya Fitr dan hari raya Adha.”

Berasaskan ini adalah jelas bahawa Islam telah melarang sambutan terhadap perayaan, samada ianya krismas, tahun baru, deepavali, dan sebagainya. Dari asal-usulnya Hari St Valentine adalah perayaan musyrikin yang menganjurkan pergaulan bebas didalam masyarakat dan ianya terpesong jauh dari apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu, menyambut dan melibatkan diri dengannya adalah diharamkan oleh Islam.

Perhubungan Lelaki dan Wanita di Dalam Islam.

Di Dalam Islam perhubungan lelaki dan wanita telah diatur secara jelas dan interaksi sesama mereka tidak dibangunkan berdasarkan denga merasangan naluri sexual antara satu dengan yang lainnya atau melihat antara satu dengan lainnya didalam bentuk pemuasan hawa-nafsu. Oleh itu aktiviti yang boleh membawa kepada pergaulan bebas dan intim diantara mereka mestilah diberhentikan.

Setiap bentuk keakraban dan kegairahan diantara mereka hanya dihadkan kepada bentuk perhubungan yang benar, iaitu perkahwinan.

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض
للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء
Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; “Wahai para pemuda. Sesiapa sahaja dikalangan kamu yang mampu utnutk berkahwin maka berkahwinlah, kerana ia akan membantu kamu untuk menjaga pandanagan dan mengawal kemaluannya. Dan barang siapa tidak berkemampuan untuk berkahwin maka berpuasalah, kerana ia akan menjadi pelindung bagi kamu.”

Penerapan Islam memastikan bahawa masyarakat yang dibangunkan bebas dari pergaulan bebas dan akan mempamerkan ketinggian kesedaran akhlak. Syariat Islam mengiktiraf keperluan dan naluri lelaki dan wanita dengan mensyariatkakan pernikahan. Institusi kekluargaan akan dilindungi dan diperkukuhkan dengan pengharaman perbuatan sumbang, perzinaan, pergaulan bebas antara jantina dan mengatur kod pakaian. Dengan hukum-hukum yang ada padanya, Islam akan menghalang dari sebarang kemungkinan kepada masyarakatnya untuk dijangkiti oleh penyakit masyarakat yang diakibatkan oleh pergaulan bebas sebagaimana yang dihidapi oleh masyarakat Barat.

Allah SWT berfirman,

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al Israa’, ayat 32)
ثم تكون خلافةً على منهاج النبوة

7 Feb 2009

Adab bersin



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah SWT, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan "Yarhamukallah" . Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Tasymid dan Tahmid Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Dua orang laki-laki bersin dekat Nabi SAW. Lalu yang satu ditasymitkan oleh baginda sedangkan yang satu lagi tidak. Maka bertanya orang yang tidak ditasymitkan, tetapi aku bersin tidak kamu tasymitkan. Mengapa begitu, ya Rasulullah?" Jawab baginda, "Yang ini sesudah bersin dia memuji Allah sedangkan kamu tidak." (Sahih Muslim)

Huraian:
Islam selaku agama yang mulia amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkah-laku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.
Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.
Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan "alhamdulillah" , sebagai rasa bersyukur dengan memuji Allah. Dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan "yarhamukallah" sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu agar dia agar dirahmati Allah. Serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan "Yahdiinaa wayahdiikumullah" . Namun begitu sekiranya orang yang bersin itu tidak mengucapkan 'al-hamdulillah' selepas bersin maka dia tidak berhak untuk diberikan ucapan tersebut.
Menjawab orang yang bersin (jika dia mengucapkan hamdalah) hukumnya wajib, dan wajib pula menjawab orang yang mengucapkan "Yarhamukallah" dengan ucapan "Yahdiina wayahdii kumullah", dan jika seseorang yang bersin itu terus menerus bersin lebih dari tiga kali, maka kali keempatnya hendaklah diucapkan "Afakallah" (Semoga Allah menyembuhkan anda) sebagai ganti dari ucapan "Yarhamukallah" .
Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.

Sumber: JAKiM

1 Feb 2009

10 Perangkap Syaitan



ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut.
Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:


1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.


6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)