Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

27 Mac 2009

60 - Earth Hour



Kenapa plak nak tutup lampu ?? - Sebab..sudah tiba masanya untuk kita bertindak dan sedar. Tentang pengunaan dan pembaziran tenaga yang berlebihan selama ini. Secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap kenaikan suhu dunia. Satu jam ( 60 minit ) tanpa lampu , diharapkan dapat memberi impak. Tentang bagaimana kita menilai sumber tenaga yang sedia ada.

Siapa yang startkan benda nieh weii ?? - Ianya bermula sebagai sebuah kempen di Kotaraya Sydney , pada tahun 2007. Kempen ini mendapat sokongan dan amat berjaya , apabila hampir 2.2 milion rumah dan kedai perniagaan bersama-sama menutup lampu. Setahun kemudian acara ini telah menjadi sebutan di seluruh pelusuk bumi - dengan penyertaan hampir 50 million orang dan merangkumi sejumlah 35 buah negara. Acara ini diraikan , sebagai satu simbol harapan kepada satu perubahan.

Cuma tutup lampu lah ?? - Ya , hanya tutup lampu selama 1 jam ( 60 minit ) pada 28 Mac ini , bermula jam 8.30 malam . Itu sahaja tanda sokongan yang perlu lakukan. Dan dalam kegelapan ini , mungkin kita boleh berfikir betapa sumber tengan itu seharusnya diguna dengan baik, dan bukan untuk dibazirkan.

Boleh ke saya buat benda ini ?? - Sudah tentu boleh .. Hanya memerlukan hujung jari ,[ Untuk menutup suis lampu ] kita akan mampu mengubah nasib Bumi ini . Mari kita semua beramai-ramai menyahut seruan 60 MINUTES-Earth Hour 2009 .Yang akan berlangsung pada 28 Mac 2009 [ Sabtu ] , bermula jam 8.30 malam. Dengan hanya menutup semua lampu selama 60 minit , kita telah membawa harapan baru terhadap masa depan Bumi.

Apa matlamat untuk tahun ini ?? - Tahun ini , diharapkan sebanyak 1 billion umat manusia yang bertaburan di lebih 1000 buah kotaraya . Akan bersama-sama berganding bahu dalam projek global ini. Ini akan menjadi pemangkin yang kita boleh sama-sama mengambil tindakan bersama , dalam menangani isu pemanasan suhu dunia yang berlaku sekarang ini.

Siapa lagi yang saya nak ajak ?? - SEMUA !!! - Tindakan ini menuntut kerjasama semua pihak. Dari orang perseorangan , Industri Perniagaan dan komuniti setempat. Kita boleh bersama-sama keluarga , teman rakan dan ahli komuniti tempat kita tinggal untuk merayakan 1 jam tanpa cahaya ini. Begitu juga dengan Pihak berwajib , dan dari situ baru kita akan dapat melihat setiap bangunan. Yang melatari kaki langit setiap ibu kota dunia , bermula dari asia , eropah , africa dan amerika akan bergelap untuk menyahut seruan kempen ini.

Jadi apa saya nak buat sekarang ?? - Mari , kita war-warkan kempen ini kepada semua. Bersama-sama, kita akan membuat satu perubahan yang amat besar. Kepada alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini .Sehingga kini sudah hampir 538 kota di 75 negara , sudah menyertai Earth Hour 2009. Jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari , menunjukan bahawa semua pihak sudah mula memberi sokongan. Lihat , mudah bukan..kita cuma perlu percaya. Dengan hanya berkerjasama diantara satu induvidu kepada induvidu yang lain , kita akan melihat SATU KUASA besar yang akan membawa perubahan.

25 Mac 2009

Tips berkesan supaya suami ringan tulang

Pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga pastinya mengambil masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain. Meskipun bercinta dalam tempoh yang lama, 5 hingga 10 tahun sekalipun, namun bukan mudah bila masing-masing mula bersatu di bawah satu bumbung.

Dua individu yang berbeza sikap, pandangan, latar belakang dan sebagainya harus belajar menyesuaikan diri hidup bersama. Ketika ini, akan terserlahlah sikap dan sifat sebenar pasangan masing-masing. Apa yang tidak pernah ditonjolkan oleh pasangan ketika bercinta akan anda hadapi ketika ini. Proses mengenali pasangan ini pastinya ada suka dan dukanya dan itulah rona yang mewarnai kehidupan sebuah perkahwinan.

Dalam pada itu, di awal perkahwinan ini bukan soal menyesuaikan diri saja akan menjadi masalah tapi juga akan timbul kesulitan tentang pembahagian urusan rumahtangga ataupun kerja-kerja rumah. Walaupun hanya tinggal berdua namun rumah pastinya takkan sunyi dengan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Urusan memasak, mengemas, membasuh, pembayaran bil dan sebagainya perlu diagih-agihkan Apatah lagi jika isteri berkerjaya. Sekiranya hanya seorang yang melakukannya, sudah pasti tidak menang tangan.

Oleh itu, sebaik-baiknya di awal perkahwinan ini, suami perlu dibawa berbincang tentang hal ini. Terangkan bahawa urusan rumahtangga bukanlah terletak di bahu isteri semata-mata dan jangan 'manja'kan suami anda dalam kerja-kerja rumah. Perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan, jika sejak mula anda telah biasakan suami membantu anda, insya Allah, takkan ada masalah lagi di belakang hari.

INGAT! Isteri yang dikahwini bukanlah pembantu rumah (orang gaji) anda. Bagi isteri pula, tak perlulah anda tunjuk 'terror' kononnya mahu menjadi seorang superwoman yang mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa. Anda akan menerima natijahnya di kemudian hari. Kerja rumahtangga harus dibahagi-bahagikan agar berjalan dengan lancar dan rumahtangga terurus. Tapi bukan mudah untuk melakukannya. Akan timbul masalah jika si suami tidak mahu memahami, ataupun pemikirannya ditanamkan dengan fikiran bahawa kerja rumahtangga adalah kerja wanita, jadi mahu tak mahu ia harus dilakukan oleh isteri. Ada juga lelaki yang ego, mereka menolak melakukan kerja rumahtangga.

Pelbagai alasan diberikan, dari malas, tidak biasa hinggalah bukan tanggungjawap suami, katanya. Benarkah begitu? Jika beginilah keadaannya, yang harus berkorban adalah isteri. Jangan tak tahu, biasanya hal ini boleh saja menyebabkan pertengkaran suami-isteri. Sudahnya baru saja berumahtangga, ada pasangan yang bergaduh sakan.

Sebahagian daripada umat Islam mempunyai salah tanggap bahawa adalah tugas isteri untuk menguruskan rumahtangga. Dan tugas suami adalah mencari nafkah sahaja, tanpa perlu menghiraukan urusan rumahtangga. Tanggapan sedemikian tidak bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sila rujuk entry Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu untuk permasalahan ini.

Tidak dinafikan memanglah tugas utama isteri adalah menguruskan rumahnya, suaminya dan anaknya. Tetapi ini tidak bermakna si suami tidak perlu membantunya isteri langsung! Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita, bahawa walaupun baginda begitu sibuk dengan urusan di luar rumah, walaupun baginda mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan paling tinggi di kalangan manusia, baginda tetap meringankan tangan membantu isterinya.

Ini dibuktikan dengan hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW juga membantu meringankan tugas dan urusan isteri-isterinya di rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksudnya, “Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Dalam sebuah hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitabnya Asy-Syamail, Aisyah r.a. berkata yang maksudnya, “Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia, baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya.”

Imam Ahmad pula meriwayatkan dari Aisyah r.a. yang maksudnya, “Rasulullah SAW menjahit sendiri bajunya, memperbaiki sendiri sepatunya, dan buat seperti apa yang dibuat oleh lelaki lain di rumah mereka.”

Hadis-hadis ini cukup jelas menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW ketika bersama dengan ahli keluarganya. Jadi, apakah yang menghalang suami zaman ini daripada meringankan tulang membantu isteri? Bagi memastikan anda dan pasangan tidak terjebak dalam sindrom 'suami tak mahu kerja berat takut nanti reput tulang', maka eloklah dari awal lagi anda ‘mendidik’ suami untuk membantu urusan rumahtangga.

Bagaimana untuk melakukannya? Di bawah disenaraikan cara yang paling halus tetapi berkesan untuk membuatkan suami turun padang membantu anda menangani kerja-kerja di rumah.

Tip # 1 - Pastikan suami tidak terlalu penat

Suami adalah ketua keluarga. Dia punya tanggungjawap yang besar untuk menyara keluarga, terutama sekali jika isteri tidak bekerja. Dari awal pagi hingga petang bahkan sampai lewat malam suami mungkin menghabiskan harinya dengan bekerja. Jadi jika anda ingin meminta bantuannya melakukan kerja rumah, anda harus pastikan dia tidak dalam keadaan terlalu penat. Janganlah meminta suami menyidai kain, sebaik saja dia baru pulang dari kerja. Kalau itu yang anda lakukan, bererti anda seorang isteri yang tidak peka dan kurang menghargai peranan suami sebagai pencari nafkah.

Tips # 2 – Berikan alasan yang logik

Lelaki adalah manusia yang mementingkan akal fikiran yang logik. Oleh itu, ketepikan emosi anda seperti marah, merajuk, menarik muka, sedih dan sebagainya ketika meminta bantuan daripada suami. Beritahu suami alasan-alasan logik kenapa anda perlu bantuannya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Contoh alasan logik yang boleh dikemukakan adalan anda terlampau penat, kerja terlalu berat untuk wanita atau ada beberapa tugas di rumah yang menurut anda lebih elok hasilnya jika dilakukan oleh suami.

Tips # 3 – Tawarkan suami melakukan tugas ‘berat’

Tugas itu meliputi mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang/saluran air, membaiki barang rosak (seperti sinki dll) dan pekerjaan-pekerjaan lain yang memerlukan tenaga ekstra. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’.

Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka, seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin, menukar mentol, dan sebagainya. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham tentang elektrik dan barang elektronik.

Tips # 4 – Sentuh perasaannya

Suami anda pasti menyintai anda dan ingin anda bahagia. Cubalah ‘merayu’ suami dengan menyentuh perasaannya. Tapi caranya bukan dengan menyatakan, “Kalau abang sayangkan saya, abang mesti tolong saya buat kerja di dapur” atau menyindir, “Abang sebelum saya bising, baik abang tolong saya”.

Seharusnya anda perlu mempastikan suami faham kenapa anda memerlukan bantuan daripadanya. Misalnya, setelah seharian anda membersihkan seluruh rumah dan memasak di hujung minggu, katakan bahawa anda sedikit penat untuk membereskan meja makan dan pinggan mangkuk setelah makan malam. Kalau caranya tepat dan menyentuh hatinya yang peka, anda akan dapat membuatkan suami terus saja menawarkan diri membantu anda kerana dia menyintai anda.

Tips # 5 – Rayu dengan hadiah

Cara ini kadang-kadang berjaya. Hadiah yang boleh anda tawarkan misalnya memasak masakan kesukaannya, melakukan sesuatu yang selama ini anda hindari tapi sebenarnya diinginkan oleh suami, melakukan hobi bersama-sama, hinggalah ‘servis’ ekstra di ranjang malam nanti.

Tips # 6 – Jangan mendesak atau mengarah

Suami memang pantang memerima arahan isteri. Seeloknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan ndalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Pasti suami tidak akan menolak permintaan anda.

Tips # 7 – Masa yang sesuai

Meminta suami membantu urusan rumahtangga juga memerlukan masa yang tepat. Paling baik adalah ketika suami sedang bersantai dan moodnya elok. Misalnya ketika sedang menonton televisyen, makan bersama atau sebelum tidur.

Tips # 8 – Ucapkan terima kasih

Ucapkan terima kasih jika suami mahu membantu anda. Biasanya motivasi ini akan membuatkan suami anda cukup bahagia kerana dapat meringankan beban isteri tercinta. Selain ucapan terima kasih, berikan juga pujian setiap kali suami selesai membantu anda. Dua kalimat ini wajib diucapkan agar dia lebih senang membantu anda di kemudian hari.

Buatlah komitmen dalam hati untuk tidak memulakan pertengkaran dan tidak terpancing dengan emosi. Hindari juga daripada mengomel, membebel, membentak, menyindir dan sebagainya kerana ini akan membuatkan suami semakin keras kepala dan langsung enggan membantu.

Tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggugnjawap isteri sahaja. Sebaik-baiknya, lakukanlah bersama-sama, insya Allah akan bertambah semarak cinta anda.

23 Mac 2009

Siapa suami yang layak dihormati?

Siapa suami?

Lelaki yang mengucapkan qabul (akad terima) janji perkahwinan dengan seorang gadis atau wanita tertentu. Termasuk dalam definisi ini juga lelaki yang ‘dipaksa’ menikahi atau mengahwini gadis/wanita yang bukan pilihannya.

Kelayakan sebagai suami

Tidak semua lelaki layak menjadi suami. Kelayakan menjadi suami bukan terletak kepada umur, pangkat pekerjaan, banyaknya harta atau kacak paras rupa.

Syariat Islam menetapkan terdapat lima hukum asas bagi seseorang lelaki yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya. Hukum asas inilah yang menjadi pertimbangan kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin dan memegang status seorang suami.

Kenapa hanya lelaki? Kerana lelaki adalah ketua keluarga dan bila ketua adalah seorang yang betul-betul layak, insyaAllah ketua ini akan mampu melayarkan bahtera rumahtangganya berlandaskan kehendak syariat dan mampu merealisasikan perkahwinan menepati prinsip dan hikmahnya.

Lima hukum tersebut ialah wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Wajib - apabila lelaki itu mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.

Sunat - lelaki yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.

Haram - lelaki yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.

Makruh - lelaki yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.

Harus - lelaki yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

Berdasarkan hukum asas ini, jika anda berada dalam kategori wajib, sunat dan harus, anda adalah lelaki yang layak berkahwin. Sebaliknya jika anda berada dalam kategori haram, sudah jelaslah anda memang tidak layak berkahwin. Jika anda berada dalam kategori makruh pula, secara mudahnya, walaupun anda tidak diharamkan berkahwin tetapi anda juga tidak layak berkahwin. Memanglah makruh sahaja dan bukan haram tetapi perkara makruh juga adalah perkara yang tidak disukai oleh Allah. Jika jelas dan nyata anda tidak mampu memberi nafkah kepada isteri sedangkan memberi nafkah adalah kewajipan dan tanggungjawab suami, apa lagi yang boleh bakal isteri atau isteri anda harapkan daripada anda nanti? Harapkan kewajipan menunaikan nafkah batin? Hmmm… secara kasarnyalah, sama sajalah anda dengan gigolo kat luar sana!!

Peranan dan tanggungjawab suami

Islam menetapkan setiap suami wajib menjalankan peranan dan tanggungjawabnya dengan sebaiknya. Dengan sebaiknya bermaksud berusaha sedaya upaya untuk menjalankan semua peranan dan tanggungjawab yang disenaraikan tanpa rasa lelah, jemu atau bosan.

Kewajipan melayani isteri dengan baik.
Tanggungjawab seorang suami yang paling utama ialah melayan isteri dengan penuh kebaikan. Seorang suami wajib melayani isterinya dengan tingkah laku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dan munasabah mengikut syarak.
Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri seperti di dalam kes perkahwinan paksa.

Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan seperti seorang manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan yang menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri. Seorang isteri tidak berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga panggilan yang menyakitkan hati.

Memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan
Tanggungjawab suami yang tidak kurang pentingnya ialah memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.

Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.

Menyediakan rumah untuk isteri
Sebenarnya, menyediakan rumah atau tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak adalah termasuk di bawah kewajipan seorang suami menyediakan nafkah zahir. Namun, pengalaman saya melayani kerenah ahli masyarakat kita hari ini yang pelbagai, ada baiknya saya lakukan perincian. Tambahan pula, banyak kes kekecohan rumahtangga adalah disebabkan kegagalan suami menjalankan kewajipan menyediakan rumah untuk isteri.

Islam tak menetapkan tentang bentuk atau saiz rumah. Yang penting, ia adalah di dalam kemampuan suami. Memadailah sebuah rumah yang sesuai dan selesa bagi menjalani kehidupan seharian sebagai suami isteri seterusnya sebagai ibu bapa.

Melayani keperluan seks isteri
Ramai yang salah faham tentang layanan seks di dalam sesebuah perkahwinan. Rata-rata kes, kewajipan melayan keperluan seks diletakkan sepenuhnya kepada isteri.

Hakikatnya, sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, menjadi tanggungjawabnya juga untuk melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak), sama seperti suami.

Bersikap romantik terhadap isteri
Tahukah anda, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang; bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?

Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya. Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Bukan membiasakan diri dengan budaya barat sebaliknya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Justeru, apa lagi yang menghalang anda untuk mencium isteri atau apa-apa juga perlakuan romantik lain?

Bergurau dengan isteri
Rasulullah SAW sering bergurau senda dengan para isterinya. Aisyah r.anha telah berkata yang bermaksud: “Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - hadis riwayat Abu Daud.

Jika Rasulullah SAW boleh bersenda gurau dengan isteri baginda, kenapa tidak anda?

Meluangkan masa bersama isteri
Walau sesibuk mana sekalipun menguruskan tugasan, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Tidak dinafikan, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain di samping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia terlupa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.

Ada suami yang hanya pulang dengan wajah kelesuan, tidak bermaya dan terus melelapkan mata tanpa berbual dengan isteri. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri.

Ya!! Isteri anda tahu anda penat. Anda bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Tetapi anda juga harus faham kehendak isteri anda. Kalau sehari dua tidak dilayan, mungkin boleh ditahan. Tetapi jika selalu saja begitu, tidak diendah dan dipedulikan? Tambah bila ada orang yang mampu menggantikan tempat anda. Ingat!! Isteri anda juga adalah manusia biasa. Jangan selalu mengharapkan pemahaman dan pengertiannya sebaliknya anda sendiri gagal memahami dan mengerti kehendak dirinya.

Uruskanlah kerja anda dengan baik. Usahakan untuk anda meluangkan masa bersama isteri anda. Jika Rasulullah SAW mampu meluangkan masa baginda dengan isteri, kenapa tidak anda?

Wujudkan suasana ibadah dalam rumahtangga

Lelaki dipertangungjawabka n oleh Allah SWt sebagai pemimpin keluarga. Pemimpin yang baik semestinya lah seorang pemimpin yang mengutamakan segala suruhan-Nya. Lantas, menjadi tanggungjawab seorang suami untuk mewujudkan suasana ibadah di dalam rumahtangga.

Bagaimana caranya? Paling utama, seorang suami hendaklah mengerjakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Solat lima waktu yang wajib mesti dikerjakan bersungguh-sungguh. Pastikan isteri dan anak-anak juga mengerjakan solat yang wajib. Malah, satu kelebihan jika anda sebagai suami dan bapa dapat mengimamkan isteri dan anak-anak anda. Tak perlu jadi ustaz atau imam, jadilah diri anda sendiri yang sentiasa mengutamakan tuntutan agama dan keredhaan Ilahi, insyaAllah, perkahwinan dan rumahtangga anda akan aman harmoni.

Sentiasa tunjukkan wajah ceria
Tidak dapat dinafikan, raut wajah seseorang boleh menggambarkan pelbagai makna malah mampu mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria semestinya akan dapat menenangkan jiwa isteri. Walau sesusah mana pun hati anda, cuba juga tampilkan wajah ceria. Masalah di tempat kerja jangan sesekali dibawa pulang ke rumah kerana ia boleh membantutkan keceriaan rumahtangga anda. Bukan tak boleh nak bercerita kepada isteri malah sewajarnya anda berkongsi setiap masalah anda dengan pasangan anda tetapi anda perlu pastikan luahan anda itu tidak mengganggu keceriaan rumahtangga anda.

Menjaga penampilan diri
Bukan sahaja wajah yang perlu ceria, suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Hakikatnya, bukan isteri sahaja perlu berhias untuk suami tetapi para suami juga perlu berhias dan tampil segak dan kemas di hadapan isteri. Bukan perlu papa untuk bergaya kemas tetapi cukuplah sekadar sejuk mata memandang. Yang sejuk mata memandang inilah yang menjadi masalah kepada sesetengah pihak selepas berkahwin.

Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abbas r.a pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW menyuruh beliau tampil kemas dan segak di hadapan isteri: “Sebagaimana isteri kamu berhias untuk kamu, kamu juga perlu berhias untuk isteri kamu.”

Bersabar melayani kerenah isteri
Wanita sinonim dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Lantaran itulah, para suami perlu bersabar ketika menghadapi kerenah dan sikap isteri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian paling bengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Maka, nasihatilah wanita dengan baik.” - hadis riwayat al-Bukhari.

Hadis ini menegaskan agar setiap suami menasihati isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.

Hukum taat dan hormat

Seperti huraian di dalam persoalan yang dikemukakan, tanggungjawab seorang isteri yang paling utama ialah taat dan patuh kepada suaminya. Ketaatan seorang isteri kepada suami berada di tahap teratas, melebihi segala ketaatan kepada sesiapa pun juga termasuk ibu dan ayah kandung si isteri sendiri.

Persoalannya, apakah semua lelaki bernama suami kini, menepati kelayakan untuk ditaati dan dihormati sebagai suami? Saya pecahkan kepada dua bahagian: taat dan hormat. Taat dan hormat adalah dua perkara berbeza.

Seorang isteri wajib taat kepada segala kata-kata dan arahan suami selagi kata-kata dan arahan tersebut tidak melanggar saranan dan arahan hukum syarak. Isteri juga wajib hormatkan suami, menjalankan kewajipan yang wajib bagi isteri walaupun suami anda tidak berjaya (setelah berusaha sedaya upayanya) menjalankan peranan dan tanggungjawab yang wajib baginya secara sepenuhnya.

Ingatlah kaum wanitaku semua, walau siapa pun kita, walau apa juga jawatan yang kita pegang, walau apa juga gelaran atau bintang yang kita perolehi, selagi kita bernama isteri, selagi itulah kita perlu hormat, taat dan cintakan suami sepenuh hati. Bukannya sekadar cinta di kala suami berharta tetapi cinta sepanjang masa, di waktu senang juga di masa susahnya. Ya, saya tahu tugas menyara keluarga terletak di bahu suami tetapi dah nama sebagai isteri dan rakan kongsi suami, kita wajar membantu suami di kala suami susah dan menghadapi masalah kewangan dan segala masalah lainnya.

Bukannya bererti apabila tanggungjawab nafkah adalah di bahu suami dan apabila suami menghadapi masalah menunaikan kewajipannya itu, kita harus angkat kaki ataupun mencari lelaki lain sebagai pengganti. Sewajarnya, apabila keadaan ini terjadi, kita sebagai isteri menghulurkan bantuan dan sokongan kepada suami. Bantu selagi daya, sokong segala cara.

Ya… mungkin ada yang bimbang jika bantuan yang diberi disalahgunakan oleh suami. Risau jika sokongan yang dihulur, disalaherti pula oleh suami. Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, rekodkan setiap perbelanjaan yang kita hulurkan demi bantuan dan sokongan tersebut. Simpan segala bukti, insyaAllah, bukan meminta tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di belakang hari, kita dah cukup pertahanan diri.

Persoalan penting juga, apakah tanggungjawab isteri melayani kehendak seks suami adalah mutlak? Tidak ada rukhsah atau pengecualian?

Hakikatnya, hadis-hadis yang diutarakan dan memang mantap di dalam minda ramai orang terutama suami, adalah sebagai menunjukkan betapa beratnya kewajipan isteri di dalam memenuhi kehendak batin suami kerana hanya isteri sebagai jalan melepaskan nafsu lelaki yang satu itu. Tetapi, bukan bererti kewajipan tersebut adalah muktamad, tidak ada campur bahagi. Sebenarnya kewajipan suami isteri di dalam rumahtangga termasuklah hubungan suami isteri lebih kepada berbentuk tolak ansur.

Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut?

Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri.

Satu persoalan lagi, apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab? Hakikatnya, terdapat dua jawapan bagi soalan ini iaitu ya dan tidak!
# Ya - jika suami anda daripada kalangan yang sukar menahan nafsunya dan jika anda tidak melayaninya, membolehkan dia terjebak ke lembah maksiat.
# Tidak - jika anda tahu dan yakin dengan penolakan anda itu tidak menyebabkan suami anda mencari kepuasan di luar.

Ingatlah! Jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami. Sama juga dengan kehendak batin suami yang sengaja gagal dan tidak bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami. Kenapa? Kerana suami sengaja mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami. Apa maksud betul-betul seorang suami?

Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang berusaha menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri, bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri.

Lantas, wahai isteri.. bila suami anda berani menderhaka kepada Allah… maka anda tidak wajar lagi mentaati mereka. Jika anda, sebagai isteri… kecewa dengan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak mampu atau enggan memenuhi kehendak seks suami, anda berhak menolak permintaan suami. Jangan bimbang dengan nusyuz. Anda bukan isteri yang nusyuz semata-mata enggan menunaikan kehendak suami yang dayus.

Seperti yang katakan tadi, jika tiba satu tahap suami tetap mempergunakan anda demi kepuasan nafsunya semata-mata dan anda tidak mampu untuk terus berpura-pura melayani kehendaknya, bertindak lah. Jangan biarkan diri anda berdosa hanya kerana ingin kekal dalam perkahwinan yang gagal. Pesanan saya kepada isteri yang mengambil alih tugas suami, simpan segala dokumen atau resit perbelanjaan anda. Jika suami anda mengambil tindakan kerana anda menolak ajakannya, anda berpeluang menggunakan semua itu sebagai pertahanan diri.

8 Mac 2009

Impian rakyat adalah melihat keadilan dan kesaksamaan

Dr Mohd Asri Zainul Abidin


RAKYAT bukan mengharapkan dari pemimpin untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri seperti peraga fesyen mempamerkan gaya dan keranggian pakaian mereka di atas pentas.

Apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin melakukan keadilan dan kesaksamaan. Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil, amanah terhadap harta negara.

Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan. Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terserlah keadilannya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.” Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.” Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: “aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”.. Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.” (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Maka kita tidak peliklah mengapa umat ini sepanjang sejarahnya amat merindui dan mencintai pemerintahan al-khulafa al-rasyidin terutama Khalifah Umar bin al-Khattab ini. Beliau pernah berkata kepada gabenor yang dilantiknya iaitu Abu Musa al-‘Asy‘ari: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang dari orang ramai, melainkan Allah menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban antara mereka.”

Justeru itulah al-‘Adl wa al-Musawah (keadilan dan kesaksamaan) adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam. Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan pelaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam menguruskan harta rakyat mereka.

Lihatlah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, ketika beliau berkuasa sebagai khalifah lalu berselisih dengan seorang Yahudi yang merupakan rakyat negaranya mengenai kuda Yahudi berkenaan yang hendak dijual. ‘Umar mencubanya sehingga cacat.

Umar berkata kepada Yahudi berkenaan: “Carilah seorang yang dapat memutuskan kes ini.” Kata yahudi berkenaan: “Aku reda dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim.” Shuraih yang merupakan seorang muslim yang bertakwa lagi bijak dalam penghakiman. Apabila diangkat kes ini kepada Shuraih dia berkata kepada Umar yang merupakan seorang khalifah yang berkuasa: “Engkau telah mengambilnya dalam keadaan elok, maka engkaulah penjaminnya maka hendaklah engkau pulangkan semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat.”
Kerana kes itu, Shuraih dilantik menjadi hakim besar oleh ‘Umar. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq‘in, 1/109). Ini keadilan dan keinsafan. Seseorang yang adil lagi berkelayakan itu ditabalkan, bukan dipecat. Sekalipun keadilan itu terpaksa dirasai kepedihannya oleh pemerintah sendiri.
Prinsip

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan- Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13). Sabda Nabi s.a.w pula: Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam).

Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas a‘jam (yang bukan Arab), atau a‘jam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi Tuhan.

Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia.

Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan pelbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya.

Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetap tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak. Dengarlah apa yang Allah ingatkan Nabi Daud tentang kekuasaan.
Firman Allah: (maksudnya) Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (surah Sad: 26).

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperoleh oleh rakyat biasa. Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar berasa aman, terbela dan tidak dianiayai. Namun, jika pemerintah mula campur tangan dalam sistem pelaksanaan qada’ (kehakiman) maka keadilan akan menjadi mangsa. Inilah yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq apabila memegang tampuk kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu.

Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.

Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.

Kerajaan

Saya kurang setuju jika seseorang memikirkan yang dikatakan kerajaan Islam yang adil itu perkara pertama yang terbayang dalam kepalanya ialah memotong tangan pencuri. Walaupun nas itu ada dalam al-Quran, namun ianya hanya jalan ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman, bukan teras asas pemerintahan. Teras pemerintahan Islam adalah seperti firman Allah: (maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat (surah al-Nisa: 58).

Jelas dari ayat ini menegakkan keadilan di kalangan manusia, memberikan hak kepada yang berhak, amanah terhadap kuasa dan harta yang dipertanggungjawabk an, selalu mengingati Allah dalam melaksanakan kepimpinan adalah asas kerajaan Islam yang adil. Mengapakah kita suka menonjolkan hukum, bukan menonjolkan kerahmatan sistem Islam itu terlebih dahulu?.

Saya amat hiba apabila membaca kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.

Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144). Betapalah saya hiba menterjemahkan perkataan Umar bin Abd al-Aziz ketika menulis rencana ini.

Terasa kerinduan yang amat dalam untuk melihat dan memiliki kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan seperti itu. Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah seperti Umar. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua. Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak saudara, atau sahabat setia.

Bayangkanlah ungkapan ‘Umar dengan sesetengah manusia yang ketika rakyatnya sedang menderita, atau ditimpa kesusahan, dia masih lagi punyai masa bersuka ria bersama keluarga.

Jika pemimpin menangis mengenangkan nasib mereka di akhirat. Mudah-mudahan rakyat mereka akan tersenyum gembira di dunia dan mereka pula tidak akan menangis lagi pada hari akhirat kelak.

Namun, jika pemimpin asyik ketawa besar di dunia sedangkan rakyat ramai yang menangis derita, pemimpin jenis ini dibimbangi akan menangis besar di hari akhirat.

Wahai para pemimpin, kami sekalian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

6 Mac 2009

Apa Khabar, Ariel Sharon?


Pada masa 2001-2006, siapa tak kenal Ariel Sharon? Ia adalah Perdana Menteri Israel yang sangat "agresif", kebijakannya dianggap mampu memperluas Israel sekaligus melindungi kepentingan bangsa Yahudi di dunia internasional. Yang paling jahat dari Sharon adalah Tragedi Shabra Shatila.





Ia dikenal dengan nama “Pembunuh Shabra Shatila” (The Butcher of Shabra Shatila). Peristiwa pembunuhan sedih pada 16 September 1982 itu, terjadi di kaem penempatan Shabra Shatila. Selama dua hari, militan Kristien diberi kebebasan oleh Israel (melalui komando Sharon) untuk membunuh bangsa Muslim Palestina. Lebih dari 2000 Muslim –kebanyakan wanita dan anak-anak— terbunuh akibat peristiwa itu.

Sharon juga bertanggung jawab pada tragedi pembunuhan Qibya pada 13 Oktober 1953 di mana 96 orang Palestina tewas oleh Unit 101 yang dipimpinnya. Kerana kedajalan yang berterusan beliau digelar"Tukang bunuh dari Beirut."

Pada Januari 2006, Sharon terkena serangan stroke dan kemudian digantikan sementara oleh Ehud Olmert. Jika bukan kerana sakit, maka warga Israel niscaya tidak akan pernah berhenti melupakanya sebagai pemimpin mereka.

Sejak saat itu, ia koma tak sedarkan diri. Doktor Israel mengatakan Sharon mengalami stroke haemorrhage (perdarahan otak) yang berat.Sejak saat itu, ia berada dalam keadaan mati tidak, hidup pun tidak. Ia dirawat di Rumah Sakit Chim Sheba, dekat Tel Aviv.

Selama tiga tahun, Sharon berada di rumah sakit. Sakit Sharon ini di luar diagnosis doktor manapun. Doktor sudah menjalani berbagai operasi, namun tidak satupun berhasil, bahkan semakin menjadi misteri. Kerana waktu yang lama, dan perawatannya menelan belanja besar, Kementerian Kesihatan Israel menyampah, dan hilang kesabaran.

Mereka mengeluarkan surat laporan kesihatan Ariel Sharon kepada pemerintah Israel. " kami tidak mengerti mengapa negara harus menanggung perubatan Ariel Sharon.

Setiap tahun, pemerintah Israel mengeluarkan dana 1,5 sampai 2 juta shekel untuk mengurus Sharon.

Reaksi warga Israel pun ternyata sama dengan sikap hospital. Mereka tampaknya tidak peduli dengan nasib mantan pemimpinnya itu.

Padahal selama berpuluh tahun, Ariel Sharon merupakan pemimpin poitik dan militer kebanggaan Israel.

Jasanya sebagai Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata selama 30 tahun, hilang begitu saja! (sa/yn)

5 Mac 2009

Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram



Penulis asal: Aminudin Mansor

Kita dituntut bersabar supaya dijauhi daripada ‘rasukan’ kemarahan

SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.
Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah.
Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani pertanyaan orang bodoh.”

Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa syaitan berkata, “Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”

Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:
Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.
Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.
Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu
Sementara itu, Abdullah bin Mas’ud berkata, “Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus.”

Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya, “Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”

Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan marah..”
Wahab bin Muhaib berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”

Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.

3 Mac 2009

Kaedah melupus wang syubhah

Oleh Murid Fadzli Musa
nMURID FADZLI MUSA ialah Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). E-mel: mfadzli@jawhar.jpm.my

Dewasa ini, umat Islam di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui sumber yang syubhah atau haram.

Perkara ini antaranya berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada hari ini.

Didapati bahawa sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.

Ada di kalangan masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?

Pengenalan

Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada ia halal ataupun haram.

Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.

Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam

Terdapat khilaf di kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.

Ada ulama yang berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Perbuatan tersebut akan memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.

Tindakan ini tergolong dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Ma'idah: 2)

Dr. Yusuf berpandangan, apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.

Dalam hal ini juga, Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".

Wang bercampur aduk antara halal dan haram

Timbul satu persoalan di sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimana ia hendak dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".

Menurut kaedah ini, apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada sebaliknya.

Dalam hal ini, iaitu apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.

Apa yang jelas halal boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.

Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

Kesimpulan

Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram.

Dengan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.

Namun demikian, sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.

Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat Islam

Panduan Tarannum MTQ 2009 Sekolah Menengah


Dapatkan CD ROM Panduan Tarannum MTQ 2009 Sekolah Menengah dengan harga RM20.00 sekeping. Pengedar diperlukan segera. Komisyen menarik menanti anda. Hubungi kami di talian 012-4218590 atau email zainul64@yahoo.com.

2 Mac 2009

Kesibukan dunia bukan alasan remehkan ibadah


Umat Islam mesti utamakan suruhan Ilahi supaya tidak dibelenggu hawa nafsu
BISIKAN petunjuk yang melekat pada fikiran dan perasaan seseorang salih hasil usahanya yang bersungguh untuk membangun iman dan mewujudkan amal salih. Petunjuk Allah mengarah jiwa insan salih ke arah mencari keredaan-Nya. .

Daripada Abu Hurairah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman dalam hadis qudsi: “Barang siapa memusuhi kekasih-Ku, maka Aku memberitahu padanya bahawa ia akan Kuperangi, Kumusuhi.. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekat pada-Ku dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa yang telah Kuwajibkan padanya. Dan tidaklah seorang hamba-Ku itu mendekatkan pada-Ku dan melakukan hal sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Akulah sebagai telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andai kata ia meminta sesuatu pada-Ku, pastikan Kuberi dan andai kata memohonkan perlindungan pada-Ku, pasti Kulindungi.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila anak Adam pada zaman ini melazimi ibadah wajib dan sunat seperti dituntut Allah serta ditunjukkan melalui kehidupan Rasulullah SAW, maka akan tumbuh iman dalam dirinya untuk hidup bahagia dan selamat.

Ramai orang meremehkan jalan hidup Rasulullah SAW disebabkan mereka terbelenggu dengan kesibukan. Bilangan manusia bertambah tetapi tidak ramai yang memahami tujuan hidup dan bagaimana menjalani hidup selamat serata bahagia. Masing-masing mengisi hidup dengan cara sendiri sesuai dengan hawa nafsu. Masyarakat tradisional suka dengan acara tradisi dan amalan yang diyakini membawa kepada kejayaan hidup di dunia serta akhirat.

Ada juga umat beragama membuat upacara ibadah dan amalan sendiri padahal ia bukan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Semua itu di hadapan Allah sebagai sia-sia.
Firman Allah yang bermaksud:
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama itu, maka ikuti syariat itu dan jangan kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.” (Surah al-Jasiyah:18)
Kesibukan mengharungi kehidupan dan jadual aktiviti dunia menyebabkan manusia sering bingung apakah perkara yang perlu diutamakan supaya dapat mencontohi Rasulullah SAW yang berjaya melaksanakan tugas keduniaan dan pada masa sama tidak melupakan tuntutan akhirat. Mereka yang mendapat petunjuk Allah akan mengutamakan perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya serta berusaha mencari keredaan-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka hadapkan wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetap atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwa kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang yang mempersekutukan Allah.” (Surah ar-Rum: 30-31)
Perlu disedari kehidupan di dunia dan akhirat adalah milik Allah semata. Apabila manusia mengutamakan kecintaan selain Allah, maka Allah dapat berbuat segala sesuatu kepada umat manusia di muka bumi. Firman Allah yang bermaksud:
“Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. Apakah penduduk negeri itu rasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari pada waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri itu rasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari naik ketika mereka sedang bermain? Maka apakah mereka rasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga). Tiada yang rasa aman daripada azab Allah kecuali orang yang merugi.” (Surah al-A’raf: 96-99)
Ancaman Allah ini dijadikan orang beriman yang solih untuk lebih mengutamakan jadual Allah, daripada jadual lain. Mereka lebih mencintai Allah daripada yang lain. Kepentingan itu kemudian disebarkan kepada umat lain ke arah mencari kebahagiaan.