Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

30 Ogo 2008

Logo Merdeka 50% tiru simbol Taiwan ?



Logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 didakwa mirip logo anugerah produk cemerlang yang diberikan oleh kementerian hal-ehwal ekonomi Taiwan.

Logo tiga warna utama Jalur Gemilang yang memenangi hadiah RM10,000 berbeza sedikit daripada lambang anugerah Taiwan, yang serba merah, apabila ia memuatkan tiga bulatan kecil di tengah-tengahnya.

Sisi-sisi reka bentuk itu juga (foto atas, kanan) lebih bulat berbanding logo Taiwan itu.

Dengan kerjasama Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), produk-produk yang cemerlang dari negara itu ditampalkan dengan logo anugerah itu setiap tahun sejak 2003.

Bersama logo merah itu yang telah didaftarkan sebagai cap dagang, produk terbaik republik itu bertulis "It's very well. Made in Taiwan."

Logo sambutan kemerdekaan Malaysia tahun ini dengan slogan 'Perpaduan Teras Kejayaan' dimenangi oleh seorang artis bernama Anuar Dan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, artis itu mengakui "50 peratus" logo sambutan kemerdekaan itu diambil daripada lambang produk terbaik Taiwan.

Lambang itu dirujuk sebagai bahan kajiannya sebelum menghasilkan logo 'Perpaduan Teras Kejayaan', katanya.

Anuar (foto kiri) menjelaskan, beliau memasukkan idea-ideanya sendiri untuk mencipta logo sambutan itu.

Logonya antara 800 penyertaan yang diterima untuk peraduan melukis logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini yang bakal disambut dua hari lagi.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melancarkan logo dan slogan itu awal bulan ini bersama lagu baru ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Lokman Ghani.

Menurut penjelasan rasmi, logo ini diilhamkan daripada "ikatan tiga figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan 'Perpaduan Teras Kejayaan'.

"Tiga ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara" yang mewakili pelbagai kaum mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Di logo sambutan kemerdekaan itu, merah membawa makna "keberanian rakyat", putih (kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia), biru (perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia), manakala kuning (sistem beraja dan Yang di-Pertuan Agong).

Malaysiakini telah dimaklumkan mengenai kemiripan kedua-dua logo itu melalui emel yang diterima daripada seorang pembaca.

SUMBER : MALAYSIAKINI /http://www.malaysiakini.com/bm/

Mengisi Kemerdekaan Dengan Jiwa Merdeka



31 Ogos 1957 merupakan hari keramat untuk warga Tanah Melayu. Pada tarikh tersebut Tanah Melayu secara rasmi diisytiharkan merdeka daripada penjajahan British selepas satu abad lebih terjajah. Kemerdekaan merupakan satu nikmat bagi sesebuah negara. Ia adalah lambang kemulian dan kedaulatan. Ia bererti kebebasan daripada kongkongan penjajahan. Ia juga bermaksud kebebasan untuk mentadbir sendiri negara tanpa perlu terikat dengan telunjuk tangan penjajah.

Namun dalam mengisi kemerdekaan ini, jiwa warga sesebuah negara perlu lebih bebas dan merdeka. Kemerdekaan bukan bererti sekadar secara fizikalnya para penjajah meninggalkan negara ini. Tetapi yang lebih utama pemikiran, gaya hidup dan akhlak penjajah juga perlu dinyahkan dari bumi tercinta ini.

Sejarah dunia menunjukkan bahawa kemerdekaan sesebuah negara tidak akan berlaku melainkan setelah para penjajah merasakan segala kepentingan mereka tidak terjejas. Caranya ialah dengan memastikan bahawa para pentadbir baru yang bakal mentadbir negara juga perlu berfikiran seperi mereka. Inilah yang dikatakan “penjajahan minda”. Inilah juga cara penjajahan era moden.

Penjajahan berlaku pada minda, akhlak, tingkah laku dan cara fikir kerana warga di negara merdeka masih berkiblatkan penjajah. Inilah yang disedari oleh Abu A`lla al-Maududi, seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India di kala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan. Beliau menyatakan: “Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah namun masih kekal Inggeris berkulit sawo matang”.

Maksud beliau ialah meskipun para penjajah telah pergi, namun bakal –bakal pentadbir yang menggantikan mereka masih berfikiran seperti penjajah dalam menguruskan negara. Justeru, kiblat dan panduan mereka tetap ke barat. Lantaran itu, laungan merdeka tidak wajar hanya menjadi retorik kosong. Ia perlu dilaungkan dengan semangat dan jiwa yang merdeka daripada sebarang idea dan cara hidup penjajah. Inilah usaha besar yang perlu dilakukan oleh warga merdeka.

Hakikat kemerdekaan dalam Islam pula disorot dari perspektif hubungan manusia dan PenciptaNya. Orang yang benar-benar merdeka ialah golongan yang berjaya membebaskan diri daripada kongkongan nafsunya, lalu menyerahkan dirinya untuk berada di bawah tunjuk ajar Allah iaitu Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan alam semesta ini.

Inilah mesej kemerdekaan yang dibawa oleh pejuang-pejuang Islam di awal Islam ketika mereka berusaha membebaskan bangsa dan kaum yang lemah daripada cengkaman penjajahan Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar dunia ketika itu. Ini dapat dilihat menerusi ungkapan seorang pejuang Islam dihadapan Rustum panglima perang Rom: “Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”




Inilah mesej agung kemerdekaan yang dilaungkan dengan beraninya di hadapan pemimpin besar kerajaan besar dunia ketika itu dengan penuh kebanggaan dan keberanian. Mesej merdeka Islam mempunyai wawasan yang jauh. Ia bukan terhenti setakat kehidupan di dunia malah menjangkau hidup selepas alam kematian. Ia bukan sekadar bererti kemerdekaan fizikal, malah ia merupakan kebebasan cara fikir daripada kongkongan manusia yang engkar kepada Allah. Ia bererti tunduk di bawah kekuasaan Allah kerana hanya dengan tunduk kepada Allah para pemerintah akan berjaya memerintah dengan penuh keadilan.

Tanggungjawab pemerintah yang telah mengecapi kemerdekaan jiuga besar. Ia disebut oleh Allah dalam firmanNya bermaksud: "Mereka yang apabila Kami beri kepada mereka kekuasaan, mereka menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh manusia melakukan kebaikan, melarang manusia melakukan kemungkaran, dan hanya milik Allah kesudahan segala perkara.” (al-Haj; 41).

Justeru, jiwa merdeka ialah jiwa yang bebas daripada kongkongan minda penjajah yang kufur kepada Allah. Ia bererti bebas daripada terikut-ikut dengan cara hidup mereka yang berkiblatkan nafsu. Ia bererti bebas dari cengkaman nafsu serakah yang jahat. Jiwa merdeka ialah yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kepatuhan inilah menjadikan mereka berusaha mentadbir negara dengan peraturan Allah. Hasilnya keadilan akan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 51 UNTUK NEGARA KU MALAYSIA

29 Ogo 2008

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah

Oleh
Dr Osman Nasir

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Iklan


Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali ?sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam ? di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam ? alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah

28 Ogo 2008

Negara Ku Malaysia: Avril Lavigne, Kemerdekaan dan Ramadhan



Keputusan Kabinet melululuskan permit konsert Avril Lavigne, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, 29 Ogos ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan penduduk yang bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Kemerdekaan Negara ke 51.Sekaligus mencemari kesucian bulan ibadah dan penuh kemuliaan kepada umat Islam dan bulan mengingati pembebasan Negara dari penjajah.

Keputusan membenarkan artis kelahiran Kanada ini beraksi di Malaysia merupakan sesuatu yang menunjukkan bahawa mereka yang terlibat tidak peka dengan sensitiviti perasaan umat Islam di Negara ini yang sedang bersiap untuk menyambut Ramdhan.Sekali gus mencemari sambutan Kemerdekaan Negara ke 51 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.


Dalam Negara sedang bergelut dengan pelbagai masalah keruntuhan akhlak dan peningkatan kadar jenayah serta kes salah laku remaja seperti zina, menularnya budaya penyelewengan akidah dan kes - kes juvana, konsert ini dilihat akan menyumbang kepada berlakunya lebih banyak gejala tidak sihat dan menyuburkan budaya liar di kalangan anak muda.

Adakah mereka yang terlibat, tidak menyedari betapa parah dan kroniknya gejala sosial yang melanda Negara ? Adakah mereka hanya melihat sebelah mata atau hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling mereka ?

Avril Lavigne,artis rock simbol seks yang sering mengenakan pakaian seksi menjolok mata yang menjadi ikon kegilaan remaja merupakan model yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Negara ini, lebih – lebih lagi bertentangan dengan prinsip ajaran Islam.

Dalam hal ini, tidak bermakna kita menentang artis dan hiburan. Namun, konsert atau persembahan yang ingin diadakan mestilah sesuai dengan nilai budaya masyarakat Negara ini dan tidak bercanggah dengan prinsip kesopanan dan tatasulila serta nilai – nilai murni masyarakat. Apa yang lebih penting sesuai dengan prinsip moral dan tuntutan agama Islam. Terdapat ramai lagi artis yang sesuai yang boleh diundang untuk membuat persembahan di Negara ini. Kenapa perlu menjemput Avril Lavigne ? Seolah-olah mereka terlibat dan beria – ia menjemput artis ini mempunyai agenda tertentu untuk merosakkan masyarakat di Negara ini.



Sekiranya berlaku masalah keruntuhan akhlak remaja dan muda mudi mereka ini sepatutnya dipersalahkan. Malangnya apa sering yang terjadi , ibu bapa dan guru yang sering menjadi mangsa. Seolah – olah ibu bapa tidak pandai mendidik anak di rumah dan guru tidak pandai mengajar di sekolah. Adilkah begitu ? Walhal, merekalah antara penyumbang saham terbesar kepada masalah keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku.

Alasan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kelulusan itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, berdasarkan 'budi bicara' adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.

Justeru itu, sebagai rakyat yang prihatin saya menyeru dan mengesa pihak berkenaan supaya mengakaji dan menarik balik semula permit konsert yang diberikan. Hormatilah perasaan umat Islam yang bakal menyambut Ramadhan. Di samping itu, hormatilah juga rakyat di Negara ini yang bakal menyambut Kemerdekaan ke 51.



Apa ertinya sambutan kemerdekaan jika minda dan fikiran masih belum merdeka dan dijajah. Marilah kita bersama – sama membebaskan diri kita dari penjajahan alaf baru dengan menyuarakan pandangan dan luahan perasaan tidak bersetuju dengan konsert yang bakal diadakan sebagai menandakan kita benar – benar merdeka. Bulan Ramadhan, merdeka dari godaan syaitan dan seksaan api neraka. 31 Ogos merdeka dari penjajah.

Inilah Negara Ku Malaysia yang berbangga dengan laungan Islam Hadhari.

27 Ogo 2008

Sekitar Marhaban DiASTRO 2008



Satu Pertandingan Marhaban telah diadakan di Pusat membeli belah Jusco Ipoh. Pasukan Marhaban SMKSA telah menyertai pertandingan tersebut. oleh kerana persaingan yang begitu sengit pasukan SMKSA hanya mampu menduduki tempat ketiga dari enam pasukan yang bertanding. tahniah buat mereka. Semoga mereka terus maju dan berkembang dengan lebih pesat di masa akan datang.

Satu tongkat, tiga zaman dan kisah merdeka

H Fansuri
Thu | Aug 14, 08 | 3:07:57 pm MYT
Kisah perjuangan Nabi Musa a.s sangat rapat di hati saya. Padanya ada beberapa fasa perjuangan. Dr Ali Shariati antara yang banyak menukilkan kisah-kisah perjuangan Musa menentang Firaun. Iklan



Nabi Musa pernah berdialog dengan Nabi Muhammad s.a.w di dalam kisah Isra' Mikraj tentang urusan mengurangkan jumlah solat daripada 50 kepada 5

Tanpa peranan Nabi Musa nescaya kita tentu saja terbeban dengan ur usan solat. Pada saat kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. diriwayatkan baginda sentiasa menyebut 'umatku' dan 'solat' secara berulang. Ertinya, peranan Musa a.s amat besar dalam ur usan solat ini.

Diriwayatkan juga bahawa ketika Nabi Muhammad hampir wafat, baginda menyebutkan suatu doa yang meminta agar baginda dapat berjumpa rakannya di langit. Kalangan orang Kristian mendakwa, doa ini menunjukkan bahawa baginda ingin bertemu Nabi Isa (Jesus Christ). Akhir-akhir ini saya yakin bahawa yang ingin ditemui baginda adalah Musa, iaitu saudaranya yang pernah berbincang mengenai hal pengurangan solat di langit.

"Dan bacakanlah (Hai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah insan pilihan, dan adalah ia seorang Rasul dan Nabi."
(Maryam, 51)

Jika Nabi Musa membawa umatnya ke Laut Merah daripada buruan Fir'aun, maka hal ini juga mirip kepada perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dalam kisah hijrah. Ringkasnya ada banyak persamaan yang boleh ditemui pada sosok Musa dan Muhammad ini.

Kembali kepada hal fasa perjuangan Musa a.s, maka saya bahagikan fasa perjuangan ini kepada tiga bahagian bermula dengan tongkat Nabi Musa a.s. Kenapakah perjuangan ini bermula daripada tongkat? Ini kerana, tongkat itu diterima selepas wujud peralihan baru dalam kehidupan Musa yang pernah berada dalam istana Fir'aun sebelum itu.

Tongkat itu adalah simbol 'perjuangan' Musa menyambung kehidupan dengan menternak kambing, sesuai dengan pekerjaan Rasulullah s.a.w sebelum diangkat menjadi nabi. Dan, yang paling penting, tongkat itulah yang disebut Tuhan dalam al-Qur'an.

Di dalam surah Taaha, dialog antara Musa a.s dan Allah s.w.t disebutkan sebagai berikut. (Taha adalah nama lain bagi Muhammad selain Yasin. Pada awal surah ini sudah pun ditunjukkan bagaimana Allah telah memperihalkan perjuangan Musa kepadanya)

[17] "Dan apa (benda) yang berada pada tangan kananmu itu wahai Musa?"
[18] Dia menjawab: "Inilah tongkatku; aku menggunanya semasa berjalan, aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
[19] Allah berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
[20] Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
[21] Allah berfirman: "Tangkaplah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal." (Taaha; 17 hingga 21)

Inilah pertunjukan yang pertama ke atas Nabi Musa guna meyakinkan baginda mengenai kekuasaanNya. Bukan saja tongkat, malah tangan Musa yang memegang tongkat itu juga turut diberikan Allah kekuatan mukjizat dengan tangan yang bersinar-sinar.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, mukjizat yang lebih kurang sama diberi kan ke atas baginda yang mirip kepada Musa; membelah bulan seperti mana Musa membelah lautan. Lihatlah pergerakan air laut pasang dan surut yang ada kaitannya dengan peredaran bulan.

Adapun kesan tangan Musa yang bersinar itu mengalir kepada tangan Muhammad s.a.w yang bersinar-sinar ketika membelah bulan. Ertinya, banyak persamaan antara Musa dan Nabi Muhammad s.a.w ini.

Bagaimanapun, kita boleh melanjutkan hal persamaan ini pada suatu bab yang lain. Yang menarik untuk direnung kan ialah hal tongkat Nabi Musa pada tiga zaman berbeza.

Tongkat baginda berperanan pada era penjajahan, pra-merdeka dan merdeka.

Zaman penjajahan
Berikut adalah dalil dan nas yang ditemui di dalam al-Qur'an berhubung hal tersebut.

Nabi Musa mula menetapkan masa bagi memerangi kekuatan ahli sihir yang diperalatkan oleh Fir'aun.

Nabi Musa berkata: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha" (Taaha, 59)

Nabi Musa mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. (Asy-Syu'ara', 32)

Zaman pra-merdeka
Setelah berperanan pada zaman penjajahan Fir'aun, tongkat itu juga membawa Bani Israel merentasi Lautan Merah ketika Musa membelah lautan dengannya.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah kau membawa hamba-hambaKu keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula kau takut tenggelam". (Taha, 77)

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul), maka terbelahlah laut (kepada beberapa bahagian), lalu tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar." (Asy-Syu'ara', 63)

Kalau tongkat itu berperanan membelah lautan maka apa peranan tongkat itu pada zaman seterusnya, iaitu zaman mengisi kemerdekaan?

Zaman merdeka
"Dan (ingatlah) ketika Musa meminta agar diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berkata: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu," (ia pun memukulnya), lalu terpancut dari batu itu 12 mata air; sesungguhnya setiap puak (antara mereka) telah mengetahui tempat minum. (Dan Kami berfirman): "Makan dan minumlah dari rezeki Allah, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi." (Al-Baqarah, 60)

"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi 12 suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya memohon air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah darinya 12 mata air. Tiap-tiap golongan (antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. "

Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri. (Al-A'raaf, 160)

Peranan tongkat Musa a.s itu berakhir dengan sendirinya pada ketika Bani Israel merdeka daripada perhambaan Fir'aun. Khazanah itu semua mungkin tersimpan dalam peti Tabut yang menjadi rebutan anggota Freemason dan Knight Templar pada era berikutnya.

Kesimpulan
Daripada kisah ini, kita membuat banyak rumusan. Tapi, dalam tulisan kecil ini tidaklah boleh kita rangkumkan semuanya.

Pertama, asas pembinaan tamadun berawal daripada 'tongkat'. Dan ia terus juga berfungsi pada setiap zaman, iaitu zaman dijajah, pra-merdeka dan merdeka sepenuhnya.

Bagi umat Nabi Muhammad, 'tongkat' mereka yang sebenarnya ialah pena atau tinta yang pernah disebutkan dengan jelas dalam al-Qur'an menerusi surah al-'Alaq.

[1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
[2] Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku
[3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
[5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Barangkali, kerana faktor inilah yang menyebabkan sasterawan Usman Awang misalnya memilih nama pena ' Tongkat Wa rrant' sebagai gantian kepada nama asalnya.

Seperti mana fungsi asal tongkat Musa a.s, tongkat (tinta pena) cendekiawan, ulama' juga memainkan peranan mereka pada zaman penjajahan, pra-merdeka dan merdeka. Di dalam sirah menuntut merdeka, suratkhabar adalah saksi semua itu. Merekalah peneraju terawal sebelum wujudnya saf politikus kapitalis yang kononnya 'berjuang' melalui parti.

Maulana Muhammad Iqbal bermadah: "Bangsa-bangsa lahir daripada tangan penyair, dan mereka boleh jatuh dan bangun melalui sentuhan politikus."

Bersempena kemerdekaan yang bakal menjelang, jangan dilupakan peranan kaum penulis dan wartawan yang telah lama berjuang menuntut kemerdekaan. Andainya Umno dan BN boleh dilihat sebagai 'penjajah baru', maka jangan dilupakan peranan wartawan berhaluan kiri sebagai teraju utama memerdekakan 5 buah negeri dan 1 wilayah kepada PR.

Tongkat, antara 'keilmuan' dan 'kebendaan'
Tongkat yang asalnya berkait rapat dengan keilmuan mula dinilai sebagai hal yang terkait dengan kebendaan apabila politikus seperti Tun Dr Mahathir meminta Melayu jangan ada 'minda bertongkat', yang selalu mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Di sini, dapat kita temukan dua watak perbezaan antara pemikir, penyair, ilmuan, ulamak dan politik kapitalis itu. Rasuah politik dan politik wang telah dijadikan asas kepimpinan khasnya dalam Umno mutakhir ini.

Lazimnya, kita selalu berkata 'orang buta kehilangan tongkat' bagi menggambarkan orang yang tiada ilmu kehilangan guru, petunjuk dan hidayah. Tapi dalam kes Umno yang telah buta mata hati, 'tongkat kebendaan' itulah pula yang diinginkan guna menjolok kuasa.

12:32 p.m, 14 Ogos 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

25 Ogo 2008

Berpuasa Pada Separuh Bulan Syaaban

Maksud sabda Rasulullah:
"Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa." (Riwayat Abu Daud)

1. Hadis ini menerangkan tentang haram bagi kita berpuasa apabila masuk separuh kedua bulan Syaaban. Kiraannya adalah bermula daripada 16 Syaaban hinggalah 29 atau 30 Syaaban.

2. Haram di sini adalah untuk puasa sunat bukan puasa qadha atau puasa nazar atau kifarat.

3. Tidak haram juga untuk orang yang berpuasa sunat yang sudah memulai puasa sunatnya sejak sebelum masuk separuh bulan Syaaban, contoh memulai pada 1 syaaban atau pada 15 Syaaban dan ingin meneruskan puasanya bila masuk 16 Syaaban.

4. Tidak haram bagi orang yang kebiasaan baginya berpuasa sunat Isnin dan Khamis, maka dia boleh teruskan puasa sunatnya itu pada hari Isnin dan Khamis dalam bulan Syaaban.

15 Ogo 2008

PENGUMUMAN PENTING

Ibu Ayah Anakmu pulang.Sabarlah menanti

Kepada pelayar blog Kelas Kemahiran Al-Quran SMKSA blog ini tidak akan di up date sepanjang cuti sekolah seminggu ini. Ini kerana blogger akan pulang menemui ayah dan bonda di kg halaman. Ia akan beroperasi semula setelah buka sekolah nanti. Sekian harap maklum.

9 Ogo 2008

Kelebihan membaca dan menghafaz Al-Quran



"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya" (Hadith riwayat Bukhari)

"Mereka yang membaca Al-Qur'an dan dia mahir didalamnya maka ia bersama para malaikat pencatit yang mulia. Mereka yang membaca Al-Qur'an sedangkan ia tidak lancar bacaannya dan payah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

"Bacalah Al-Qur'an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya." (Hadith riwayat Muslim)

"Tiada ada hasad kecuali pada dua perkara: Orang yang Allah berikan kepadanya Al-Qur'an maka dia membacanya siang dan malam. Dan orang yang Allah berikan kepadanya harta maka ia menafkahkannya siang dan malam." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

"Sesiapa membaca sehuruf dari Al-Qur'an maka untuknya satu kebajikan, dan setiap kebajikan digandakan sepuluh kali. Aku tidak berkata Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah huruf, Lam adalah huruf dan Mim adalah huruf." (Hadith riwayat Tarmidzi)

"Berkata Allah s.w.t.: Sesiapa yang disibukkan dengan membaca Al-Qur'an dan mengingati Aku daripada meminta sesuatu dari Aku, maka Aku akan memberikannya lebih baik dari apa yang diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (Al-Qur'an) atas perkataan-perkataan lain adalah seperti kelebihan Allah atas makhluknya." (Hadith riwayat Tarmidzi)

"Bacalah Al-Qur'an kerana Allah s.w.t tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al-Qur'an. Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al-Qur'an maka bergembiralah." (Hadith riwayat Ad-Darimy)

Kaedah Nak jadi pandai



Khusus buat pelajar Ting 3,5 dan 6A
JAWABLAH SOALAN-SOALAN BERIKUT DENGAN IKHLAS :

1. Adakah kamu mempunyai rancangan jadual melakukan sesuatu
setiap hari ? Ya / Tidak

2. Kalau benar adakah kamu mematuhinya ? Ya / Tidak

3. Adakah kamu menghadapi sebarang masalah apabila hendak
memulakan study kamu ? Ya / Tidak

4. Adakah kamu memulakan pelajaran tepat pada
waktunya ? Ya / Tidak

5. Adakah kamu berasa tugas anda menarik ? Ya / Tidak

6. Adakah kamu berbincang tentang sesuatu perkara yang telah
dibaca bersama-sama orang lain ? Ya / Tidak

7. Pernahkah kamu bertanya apa yang kamu kurang faham atau tidak
mengetahuinya ? Ya / Tidak

8. Pernahkah kamu membuat kajian sepintas lalu dahulu sebelum
membaca dengan teliti ? Ya / Tidak

9. Adakah kamu tidak memberi perhatian kepada jadual dan rajah
semasa membaca ? Ya / Tidak

10. Adakah kamu menyimpan nota-nota mengenai satu pelajaran di
tempat yang sama ? Ya / Tidak

11. Adakah kamu membuat catatan,rajah,jawapan dan sebagainya
daripada apa yang dibaca dalam perkataan sendiri ?
Ya / Tidak

12. Adakah kamu bersedia untuk peperiksaan sehingga
larut malam ? Ya / Tidak

13. Adakah kamu mendapat tidur atau kerehatan
yang cukup ? Ya / Tidak

14. Adakah kamu dapat markah yang rendah jika ujian dibuat
secara tidak disangka-sangka ? Ya / Tidak

JAWAPAN :
1. Ya 8. Ya
2. Ya 9. Tidak
3. Tidak 10. Ya
4. Ya 11. Ya
5. Ya 12. Tidak
6. Ya 13. Ya
7. Ya 14. Tidak

KAmu dapat membuat kesimpulan yang tersendiri sejauh mana kemajuan yang telah kamu perolehi . Atau adakah pertanyaan-pertanyaan di atas itu telah terjawab dan kamu telahpun mengamalkannya ?

Jika anda gagal dalam banyak ujian di atas maka fikirlah segera cara membaikinya .

Adakah hidup kamu benar-benar dirancang ? Cuba analisis diri dengan berpandukan jadual berikut :

Kegiatan / Lama Yang Sepatutnya
Tidur / 6 - 7 jam
Makan / 1 jam 15 minit
Mengikuti kelas@pejabat / 6 jam
Belajar / 4 jam
Kelab,persatuan,sukan / 2 jam
Aktiviti-aktiviti sosial /1 jam
Perjalanan / 1 jam
Lain-lain pekerjaan yang perlu / 1 jam

Jumlah / 24 jam


Buku karangan Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah RM 19.90

Masa belajar setiap hari mesti tidak kurang 4 jam . Jika tidak dapat dicapai maka kamu mesti berfikir secara serius , kenapa ? Munginkah kerana tidur dan berbaring-baring atas katil melebihi 8 jam ? Atau mungkin juga akiviti sosial dan lain-lain pekerjaan yang perlu memakan masa lebih daripada 2 jam . Umpamanya berbual-bual kosong , menonton TV atau mandi yang terlalu lama .

Ingatlah "masa itu emas" . Sekiranya ia berlaku kamu tidak dapat memilikinya lagi . Mengikut kata pujangga "Hari kelmarin sudah pun pergi , hari ini pasti ada ; hai esok belum tentu bahagia" . Jadi kita mesti gunakan masa yang pasti ada ini untuk menyediakan hari esok yang akan tiba . Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya . Setiap kesempatan mesti digunakan untuk belajar .

Biasakan diri dengan tabiat membaca umpamanya sementara menunggu bas , semasa di kantin , semasa membuang air besar dan lain-lain .

Pendek kata dunia kamu adalah buku dan kamu mestilah menumpukan sepenuhnya pada pelajaran .

Kelulusan kamu sama ada peringkat cemerlang (Distinction) kepujian (credit) atau lulus (pass) bergantung kepada pemusatan fikiran dan perhatian yang diberikan . Kalau kamu bertekad mendapat Pangkat A1 atau A2 , kamu mestilah mencurahkan tenaga dan masa seperti orang yang mahu mendapatkan pangkat lebih daripada A1 . Dan kalau kamu ingin mendapat kepujian (katakan C6) curahkan tenaga untuk mendapatkan A2 . Ringkasnya curahkan tenaga berkali-kali ganda lebih banyak atau tinggi daripada apa yang dicita-citakan .

Anda harus mempunyai rasa tanggungjawab dan disiplin diri . Orang yang bertanggungjawab akan berusaha besungguh-sungguh agar lulus dengan baik . Dia sedar akan maruahnya .

Masalah besar yang dihadapi oleh kebanyakkan pelajar ialah godaaan (ancaman) pengaruh luar seperti kawan , permainan , kelab , hiburan dan seumpamanya . Semua ini akan berjaya mematahkan semangat dan memesongkan haluan kamu jika azam kamu tidak kuat , matlamat tidak bulat dan padu .

Segala usaha dan ikhtiar kan dibalas baik jika dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh . Ucapkan nama Allah sebelum memulakan sesuatu

7 Ogo 2008

Tuntutan Sunnah Ketika Makan dan Minum

Mulakan dengan Bismillah

Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, " Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah' ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' "(HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)


Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut." (HR Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya." (HR Muslim)




Makan yang berhampiran.

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: "Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu." (HR Bukhari dan Muslim)


Galakan guna tiga jari.

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (HR Muslim)


Larangan mencela makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (HR Bukhari dan Muslim)


Tidak bersandar ketika makan

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, "Aku tidak makan sambil bersandar" (HR Bukhari)


Kutip makanan yang terjatuh.

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan" (HR Muslim)


Mula makan dari tepi (pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Jilat jari setelah selesai

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)" (HR Bukhari dan Muslim)


Doa setelah selesai makan

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' " (HR Bukhari)

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Tirmidzi)

(Rujukan: Riyadhus Solihin – Kitab Adab-adab Makan)

Teori Darwin bercanggah dengan Islam



TEORI Evolusi diasaskan oleh seorang pakar biologi dari England yang bernama Charles Robert Darwin 1809-1882 M.)

Beliau mengutarakan pendapatnya melalui bukunya bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859.

Darwin menegaskan semua makhluk yang hidup sama ada manusia ataupun haiwan berasal daripada keturunan yang sama.

Keturunan awal ini kemudiannya berubah daripada satu tahap ke tahap lain bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang sentiasa berubah.

Hasil daripada perubahan-perubahan yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk yang kompleks bernama manusia.

Jika teori ini benar, kita pasti akan bertemu dengan makhluk-makhluk pertengahan yang separuh binatang dan separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh darat, separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut wujudnya makhluk seumpama itu sebagai bukti kebenarannya.

Namun, sehingga hari ini makhluk seumpama itu tidak tidak ditemui sehingga pada suatu masa Darwin sendiri meragui teorinya.

Di dalam bukunya tersebut beliau berkata, ``Jika makhluk-makhluk berubah daripada satu spesies ke spesies yang lain, mengapa tidak ditemui spesies pertengahan itu (transitional forms). Mengapa kehidupan wujud di dalam keadaan teratur dan tidak kelam-kabut? Mengapa makhluk penghubung di antara satu spesies dengan spesies yang lain tidak wujud? Perkara inilah yang telah memeningkan kepalaku selama ini?''

Bagi membuktikan kewujudan spesies pertengahan ini, penipuan dilakukan oleh ahli-ahli sains tertentu.

Sebagai contoh, 50 tahun dulu pakar-pakar dalam bidang evolusi menggemparkan dunia dengan penemuan sejenis ikan Coelacanth yang dikatakan hidup 410 juta tahun dulu dan tidak wujud lagi pada hari ini.

Bagi mereka ikan ini adalah bukti spesies pertengahan berbentuk separuh ikan dan separuh haiwan darat kerana mempunyai paru-paru, otak, sistem penghadaman dan sistem yang membolehkannya berjalan di darat.




Namun pada 22 Disember 1938, ikan jenis yang sama ditemui di Laut India, diikuti dengan 200 penemuan lain dalam jangka masa beberapa tahun sahaja.

Hari ini pakar-pakar sains mengesahkan bahawa ikan Coelacanth adalah ikan asli yang tidak ada kaitan sama sekali dengan spesies pertengahan yang disebutkan oleh pakar-pakar evolusi.

Majalah Bilim ve Teknik mendedahkan bahawa apa yang didakwa berhubung dengan ikan Coelacanth yang mempunyai otak, paru-paru dan sebagainya adalah pembohongan semata-mata.

Secara dasarnya teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi adalah natural selection atau `kuasa semula jadi'.

Justeru, pengasas teori komunikasi, Karl Max, mengagumi Charles Darwin sehingga dalam bukunya, Das Kapital beliau menganggap dirinya sebagai pengikut setia Charles Darwin.

Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang semua teori yang mengingkari kewujudan kuasa Tuhan.

Tambahan daripada itu, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud, nabi s.a.w. bersabda, Manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah.

Teori-teori Darwin dan Machiavelli yang disebutkan ini adalah sebahagian daripada jahiliah atau kesesatan yang mempengaruhi pemikiran manusia pada hari ini.



Umat Islam perlu mempunyai kefahaman yang betul berkenaan Islam supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan isme-isme ini.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Thabrani, Nabi s.a.w. bersabda, Allah paling murka kepada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan jahiliah, dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak.