Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Ramai terdorong melakukan perkara mendatangkan dosa ketika muda disebabkan mengikut nafsu. Masa muda sepatutnya digunakan untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin memandangkan tenaga masih kuat serta memiliki kelebihan lain.
Rasa takwa akan mengingatkan kita kepada dua malaikat yang mencatatkan apa dilakukan manusia. Menyedari perkara itu tentu kita berfikir banyak kali untuk melakukan perbuatan ditegah.
Firman Allah SWT bermaksud: "Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya." (Surah Qaf ayat 17)
Jelas pentingnya rasa kesedaran terhadap pengawasan Allah dan dua malaikat dalam setiap detik kehidupan. Kesedaran itu menghalang kita melakukan kesalahan secara sengaja biarpun berada di tempat sembunyi.
Jika melakukan kebaikan, tidak pula mengharapkan diketahui atau mendapat pujian daripada orang lain kerana pujian akan menyebabkan timbul perasaan riak dan sombong. Apa dilakukan semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama.
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyatakan, menyedari kewujudan dua buku catatan itu dapat mengingatkan manusia supaya mempunyai kecenderungan untuk tidak melupakan segala dosanya. Tentu akal waras tidak akan melakukan dosa dan mencampakkan diri ke dalam neraka di akhirat kelak.
Buku catatan itu akan dibawa ke hadapan Allah SWT ketika pengadilan di Padang Mahsyar yang mana tidak ada satu pun salah catatan, melainkan semuanya benar belaka. Manusia dijatuhkan hukuman dengan adil seperti mana dilakukan di dunia ini.
Firman Allah SWT bermaksud: "Pada hari ini, setiap diri dibalas dengan apa yang diusahakannya, tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah al-Mukmin ayat 17)
Untuk menjadi Muslim sejati perlu dilakukan bersungguh-sungguh dengan menjana keimanan, memantapkan ketakwaan, beristiqamah melaksanakan perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya. Perkara ini antara rahsia kemuliaan seseorang Muslim dan ketinggian darjatnya pada sisi Allah SWT.
Sesungguhnya, belum layak seseorang mengaku dirinya beriman jika banyak melakukan dosa berbanding pahala.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, tetapi iman itu keyakinan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami)
Tanpa syarat itu, sudah pasti seseorang manusia tergamak atau tanpa segan silu melanggar batasan digariskan Allah. Tidak hairanlah ada mengaku beriman, malah mendabik dada mengatakan dialah paling beriman atau mulia pekertinya, tetapi pada masa sama melakukan larangan Allah.
Jangan mencari kesalahan orang lain sebelum melihat diri sendiri. Cara itu lebih baik kerana kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri, bukannya mencari kesalahan orang lain.
Saidina Umar al-Khattab pernah menyatakan satu ungkapan masyhur yang bermaksud: "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab pada hari akhirat kelak, timbanglah segala amalan kamu sebelum kamu ditimbang dalam sidang pengadilan Ilahi nanti."
Ungkapan itu menginsafkan kita betapa amalan bermuhasabah dan mencermin diri yang dilakukan akan menentukan kesudahan nasib pada hari kiamat nanti.
Manusia unggul sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan perkara ditegah agama. Perjalanan hidup sentiasa dipandu oleh acuan al-Quran dan sunnah yang membawa kepada destinasi diredai Allah.
Kata-kata mutiara pilihan untuk hari ini : Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.
Renung-renungkan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan