Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

4 Jul 2012

Suami romantik menurut Islam

SIAPA suami pilihan anda? Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis ialah lelaki yang romantik. Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya ketika usaha memikat, tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang.

Apabila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: "Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang Baratlah!".

Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang Barat, bukan juga budaya hero Hindi sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunnah Rasulullah SAW.

Isteri rasa dihargai

Malu memegang tangan isteri? Kenapa perlu malu? Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya.

Setiap isteri mendambakan suami yang romantik. Tidak perlu berikan bunga setiap hari, bukan harapkan hadiah yang menghabiskan gaji. Memadailah cara anda membelai, tingkah anda merayu. Sikap anda memberi perhatian juga diinginkan selain pelukan dan ciuman kasih sayang malah luahan rasa cinta.

Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apakah kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?

Sebenarnya, maksud pendapat tersebut adalah ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerimanya rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.

Contoh Rasulullah

Menurut riwayat, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Aisyah RA berkata yang bermaksud: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." (Hadis riwayat Abu Daud)

Walaupun hadis itu menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengetengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah SAW. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang, bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?

Aisyah RA berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah SAW menggunakan satu bekas air." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pernahkah anda berbuat demikian? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah dan disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah RA dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah SAW juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.

Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda.

Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Apabila isteri rasa dihargai, dia bukan sahaja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu. Malah, batu juga boleh pecah dan hancur dek titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.

Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Menjadi seorang suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika.

Bersikap romantik merupakan antara cara meluahkan rasa cinta anda. Sebelum terfikir mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan poligami, apa kata usahakan untuk laksanakan sunnah baginda dengan bersikap romantik terlebih dahulu dengan isteri yang ada! Pasti boleh!

Tiada ulasan: