Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

Memaparkan catatan dengan label 27 rejab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 27 rejab. Papar semua catatan

27 Jul 2008

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Kisah Bumi dan Langit

Ditulis oleh Ustaz Azhar Idrus
Sunday, 02 March 2008

Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."

Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"

Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.

Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj

26 Jul 2008

ISRAK & MIKRAJ MENGUJI KEIMANAN

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah manusia terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar ghaib sukar mempercayainya. Sebaliknya orang-orang yang beriman terus percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya. Kesemua kita milik Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak memiliki sesuatu. Saidina Abu Bakar apabila diberitahu tentang keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta berkata jika pengakuan itu datang dari Nabi Muhammad, dia 100% yakin dan percaya bukan setakat peristiwa Israk & Mikraj, malah lebih daripada itu pun dia akan yakin.

Krisis kepercayaan dan keimanan ini sudah wujud pada zaman Nabi lagi. Baginda sekembalinya dari mikraj turun ke Baitul Maqdis dan menaiki Buroq ke Mekah bersama Jibril. Sampai di Mekah, Buroq dan Jibril meninggalkan Nabi berseorangan. Baginda amat sedar bahawa jika diceritakan pengalaman itu kepada orangramai, nescaya ramai yang tidak mempercayainya. Betapa mereka hendak percaya sedangkan perjalanan unta dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja memakan masa berbulan-bulan tetapi Nabi boleh pergi dan balik dalam masa sehari semalam dan ditambah pula dengan naik ke langit hingga Sidratul Muntaha. Ketika itu waktu Subuh. Abu Jahal terserempak dengan Nabi. Nabi menceritakan perjalanannya dari Mekah ke Baitul Maqdis semalaman. Abu Jahal yang sememangnya mencari isu yang boleh menghakis kepercayaan orang kepada Nabi, terus mempersendakannya dan berlalu sambil menghebohkan kepada orangramai. Nabi Muhammad tidak perlu mengumpulkan orang sebab Abu Jahal sendiri sudah berusaha memanggil mereka untuk mendengar cerita 'karut' Nabi Muhammad.

Sekumpulan manusia dari Bani Qa'ab dan Luay berkumpul di sekeliling Nabi untuk mendengar peristiwa yang berlaku. Nabi menceritakan dari awal hingga akhir apa yang berlaku. Ada yang terpinga-pinga mendengarnya. Tetapi segolongan lain tetap yakin akan kebenaran Nabi. Beberapa orang berjumpa Saidina Abu Bakar dengan harapan Saidina Abu Bakar menyangkal apa yang berlaku. Tetapi dengan tegas Abu Bakar membenarkan segala kata-kata Nabi Muhammad.

Demikianlah sekiranya Allah hendak memberikan kebaikan kepada seseorang, diberikannya keimanan kepada Rasul. Sebaliknya jika Allah tidak menghendaki kebaikan pada seseorang, maka tetaplah dia dengan kekufuran dan tidak mempercayai pengalaman yang dilalui oleh Nabi Muhammad. Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya.