Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

28 Jun 2009

Hargailah isteri anda


Tahukah kau wahai suami dan bakal suami?? Laki bini ini asalnya 2

individu asing yang saling tidak mengenali. Atas takdir tuhan

dipertemukan dan aqad nikah telah menyatukan kita.

TAPI.......tahukah kau apa yang isterimu selalu lakukan untukmu,dan
fikirlah sejenak apa pula yang kau berikan untuknya...

KALA kau tiada duit, bukankah magic david copperfield bila tiba2
kau buka wallet ada duit pulak di dalamnya, tahukah kau yang
isterimu sentiasa curi2 membuka wallet untuk mengecek " Ada duitkah suamiku?"

TAPI Bila kau ada duit, wah! wah! kau siap boleh tanya lagi bini
kau " Ada duit ke?" sedangkan itukan kewajipan kau untuk memberinya nafkah?

Tahukah kau wahai suami, tiap2 malam isterimu akan terbangun dari tidurnya dan perkara pertama yang diingat ialah suaminya, lantas terus si isteri menjenguk suaminya di sebelah, di kucup dahi suaminya, diusap rambutnya, penuh kasih sayang dan belas kasihan

TAPI yang kau berinya hanyalah dengkuran kadang2 siap kentut
lagi..Cissss! !

Tahukah kau wahai suami, kalau kau balik lewat malam sampai jam 4-5 pagi atas alasan kerja atau kau suka2 nak lepak ngan kawan2, bini kau yang dirumah tu tak lena tidur, selagi kau tak balik selagi tulah mata tak leh pejam

TAPI yang kau tahu bersembang aje sampai pagi, langsung tak ingat bini, dahlah balik lambat esoknya selagi tak masuk Zohor tak reti2 nak bangun, dah bangun tahu nak makan aje...

Tahu tak kau wahai suami, setiap kali isteri mu menggosok bajumu
apa yang sentiasa terlintas di fikirannya ialah "Handsome tak laki
aku bila pakai baju ni?"

Tapi kau bila dah hansome sikit mula hidung tinggi nak mengorat
lagi...

Tahu tak kau wahai suami, isteri tu tak mintak banyak, cuma pujilah dia sekali-sekala, peluklah dia setiap pagi dan malam sebelum tidur peluk yang setakat pelukan sayang sahaja..bukan dengan harapan dapat "apa-apa"), hadiahkanlah dia sekali-sekala walaupun setakat coklat sekeping, picitlah bahunya sekali-sekala dan kalau nak tidur tu, selimutkanlah dia, sebab sebenarnya, bini tu selagi laki dia tak lelap mata dia hanya tidur2 ayam sahaja...

INI YANG BEST NI
Satu lagi, suami, kalau korang nak tahu, sebaik sahaja saksi kata

SAH!!!! tuhan tu telah kurniakan 6, 7, 8 senses kat isteri sebab itulah dia orang tahu korang buat apa kat belakang dia, tak yah guna spy...dia orang musti tahu punya....

Hargailah bini dan bakal bini korang, sebagaimana korang hargai
kereta korang, PS2 korang dan lain-lain

Orang bijak adalah dia yang hari ini mengerjakan apa yang orang
lain akan mengerjakannya tiga hari kemudian ..

JumPa AnDa Di PunCak KeJaYaaN bersama KeSeJahTeRaaN!



Pengajaran ayat: Perkahwinan itu satu perkara yang mulia, Mengapa
mesti kita mengelakkannya. Ia adalah satu fitrah bagi manusia,
kalau tak sanggup, manusiakah KITA. Jangan risau jika kita tak
dapat isteri yang solehah, kerana Allah telah berjanji, perempuan
yg soleh hanya utk lelaki yg soleh...Kalau kita sbg lelaki tak
soleh...jgn harap dapat bini yg soleh....Syukur apa yg telah
dikurniakan.

Tak semua perempuan itu BAIK, tapi baiKKah kita nak dapat perempuan yg baik...???

Kalau kita mengorat perempuan memang tak baik, tapi kalau kita tak
berusaha nak cari isteri; Ada can ker bini itu TURUN dari
langit.....

Kita tak suka perigi mencari timba...Perempuan jenis apakah itu???
Siti Khadijah pun perempuan mcm itu; Hinakah dia??????
Allah telah mengutuskan perempuan utk lelaki...bukannya kita perlu
hidup dgn sendiri....

Mungkin rezeki tidak ada untuk kita memulakan alam
perkahwinan. ......Tanpa usaha , rezeki itu memnag tidak ada....
Syabas kpd sesiapa yg melangkah ke gerbang perkahwinan, yg tidak,

ANDA sesungguhnya berada dalam kerugian....

FIKIR-FIKIRKANLAH. ......... ....

25 Jun 2009

Menghilangkan stress


Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :


Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.


Perbanyakkan membaca Al-Qur'an

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.


Banyakkan Solat Sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.


Selalu berdoa kepada Allah

Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.


Bersangka baik dengan Allah

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya
jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.


Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.


Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.


Menangis dengan sepuas hati

Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.


Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.


Cintai diri sendiri

"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya

Hadis Palsu Rejab, Syaaban

Hadis Palsu Rejab, Syaaban
Disiarkan pada Jun 23, 2009 dalam kategori Ibadat |
Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.


Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.


Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba- Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

22 Jun 2009

Peperiksaan KKQ

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA PELAJAR KEMAHIRAN AL-QURAN TINGKATAN 3 DAN 5 SEMOGA BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT.

20 Jun 2009

Anda menghisap rokok?






Jika anda menghisap rokok, bacalah artikel ini. Tidak kira anda perempuan atau lelaki, masih anak-anak sekolah, remaja, dewasa ataupun sudah di usia emas, mereka yang menghisap rokok ini bukan sahaja seperti membunuh dan menyeksa dirinya sendiri, malah boleh juga dianggap sebagai seorang pembunuh yang tidak ditangkap, dibicarakan, dimasukkan ke dalam penjara dan digantung sampai mati.

Seorang yang menghisap rokok ialah ‘pembunuh’ atau ‘murdered who gets away with murder’. Renungkanlah perkara ini dan buatlah keputusan supaya berhenti merokok. Kajian demi kajian yang telah dijalankan telah jelas menunjukkan bahawa bahaya rokok bukan sahaja daripada asapnya, bahkan juga daripada kertas pembalut dan puntungnya. Dari asap rokok sahaja, terhasil tidak kurang 3000 jenis bahan kimia yang merupakan racun, yang bukan sahaja dihidu oleh perokok sendiri, malah dihidu terus menerus oleh orang yang selalu berdekatan dengan si perokok, seperti isteri, anak-anak dan rakan-rakan karibnya sendiri.

Di waktu tidurpun, perokok boleh mengeluarkan racun-racun ini dan menjejaskan kesihatan isteri atau anak yang tidur di sebelahnya. Lebih berbahaya lagi sekiranya si isteri sedang mengandung, kerana boleh meracuni anak dalam kandungan dan dengan itu anak akan meninggal dalam kandungan atau lahir dengan kecederaan otaknya yang menyebabkan dia dikatakan ‘cacat’. Kadar kecacatan ini meningkat oleh kerana keadaan persekitaran yang dialami oleh anak termasuk asap rokok daripada ayah atau ibu atau orang lain yang mendampingi ibu mengandung, menghisap rokok.

Rela dan redha untuk berhenti

Asap rokok juga boleh mencemarkan udara dan boleh menjejaskan kesihatan orang lain. Ramai orang yang menghisap rokok kadang kala juga terlalu sombong dan tidak menghiraukan orang lain di sekelilingnya. Umpamanya, tentu anda pernah dihembuskan asap rokok daripada orang yang duduk di sebelah anda dalam restoran. Pernahkah anda terserempak dengan anak kecil di kedai membeli rokok untuk ayah/atuknya? Mungkin kempen ‘Tak Nak’ tidak mencukupi, kempen yang lebih baik ialah, ‘Saya tidak mahu jadi pembunuh’.

Saya difahamkan Arab Saudi antara negara pertama yang telah mengharamkan rokok. Berbeza dengan negara sendiri, apabila harga petrol/diesel, minyak masak dan beras naik, wujudlah pelbagai kempen ‘marah’. Tetapi apabila harga rokok naik, tidak kedengaran seorang perokok pun berbunyi tentang Peruntukan untuk rokok terpaksa ditambah. Kalau ibubapa yang menghisap rokok, bayangkan berapa banyak wang yang dapat diselamatkan untuk membeli beras dan makanan harian dan juga bahan-bahan keperluan lain, termasuklah minyak petrol, gas dan lain-lain. Malah, wang itu juga boleh disimpan atau dilaburkan dengan membeli polisi insurans pendidikan anak-anak.

Jika setiap perokok menyedari dan menerima bahawa sebenarnya dia adalah pembunuh, maka tentu sekali dia akan rela dan redha untuk berhenti merokok. Cara berhenti amat senang sekali. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, bak kata pepatah, hendak seribu daya, jika mahu seribu usaha. Caranya amat senang, tetapi mesti bermula dengan kerelaan dan keredhaan perokok mahu berhenti dan amalan ini mestilah berterusan. Perokok yang mahu berhenti, dinasihatkan :

Kira berapa batang rokok dihisap setiap hari dan buat catatan harian
Mulai dengan mengurangkan satu badan rokok sehari. Selepas 2-3 hari, Kurangkan sebatang lagi dan buat catatan
Demikianlah caranya sehingga dapat berhenti
Gantikan rasa ketagih dengan makan vitamin c, kalsium dan magnesium, vitamin b kompleks dan minyak ikan.

Bagi mereka yang telah ada penyakit jantung tersumbat, strok, darah tinggi, kencing manis, arthritis dan lain-lain, ini di antara perkara pertama yang mesti dilaksanakan termasuk menjaga makanan dan minuman, melakukan senaman tertentu disamping darah juga perlu dicuci dengan menggunakan teknik tertentu.

Etika untuk perokok

Kaki lima pusat membeli belah kini menjadi zon larangan merokok. Peraturan baru yang ditetapkan ini sedikit sebanyak memberi impak yang positif kepada pejalan-pejalan kaki dan pengunjung pusat membeli belah. Jika diperhatikan, budaya merokok ini adalah aliran kemegahan yang cuba ditonjolkan oleh masyarakat barat terhadap ketamadunannya.

Contoh yang paling jelas dapat dilihat menerusi filem-filem aksi dan lasak yang dipaparkan oleh watak ‘hero’ mahupun watak antagonis. Pastinya ada diselitkan lagak gagah mereka sambil menghisap rokok tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Bagaimanapun, bukan semua perokok itu mempunyai perlakuan yang negatif. Ada cara-caranya yang membolehkan para perokok ini tidak dipandang sinis oleh kebanyakan orang yang tidak merokok.

Etika # 1 - Jaga perasaan orang sekeliling

Berdasarkan situasi seperti ketika di dalam kereta, perokok tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan menyalakan api rokok tanpa menghiraukan perasaan penumpang yang lain. Keadaan bertambah buruk apabila dalam kereta berkenaan dinaiki ibu mengandung.

Asap rokok bukan sahaja membahayakan wanita yang mengandung, malah bayi dalam kandungan juga berisiko untuk menerima kesan negatif asap rokok berkenaan. Cara yang paling baik adalah meminta izin kepada penumpang sama ada anda boleh meneruskan merokok atau tidak. Jika mereka keberatan memberi kebenaran, hormatilah hak meraka. Anda boleh meminta pemandu untuk berhenti seketika. Dalam pada itu, anda boleh merokok sama ada di bawah pokok atau di tepi-tepi jalan. Menghormati perasaan orang lain adalah etika dan tanggungjawab yang perlu diamalkan oleh perokok terutamanya perokok tegar.

Etika # 2 - Gunakan zon merokok

Hak bukan perokok juga lebih terpelihara kala ini, yang mana ada sesetengah restoran atau kafe menyediakan zon merokok dan zon larangan merokok. Pembahagian zon-zon sebegini sebenarnya memberi kelebihan dan keselesaan kepada pelanggan. Sekurang-kurangnya perokok tidak membahayakan pelanggan yang tidak merokok. Jika anda terjumpa zon-zon begini, seharusnya perokok pergi ke kawasan itu untuk meneruskan niat di hati. Jangan abaikan zon-zon yang disediakan khas untuk perokok ini. Ia bertambah kurang elok jika anda ingkar dan tidak menghiraukan peraturan yang telah ditetapkan.

Etika # 3 - Amalkan kebersihan

Ketika di rumah juga, para perokok perlu mengamalkan kebersihan dan peraturan sebagaimana ketika berhadapan dengan masyarakat umum. Jangan mengambil kesempatan dengan kebaikan dan sifat memahami seorang isteri. Walaupun isteri anda tidak bising-bisinga dan membebel dengan keinginan anda, anda perlu menghormati haknya. Yang mana, anda tidak boleh merokok ketika sedang berbual dengannya. Jika perlu, anda boleh keluar daripada rumah untuk merokok, sama ada di luar rumah atau di bawah pohon-pohon berdekatan rumah. Tidak salah jika merokok di dalam tandas, jika tandas itu dikhaskan untuk anda seorang saja (kerana aliran udara di tandas boleh berbahayakan kesihatan orang lain yang tinggal bersama anda) dan anda perlu pastikan habuk rokok dibersihkan dengan kemas dan putung rokok tidak dibuang merata-rata. Disiplin sebegini sebenarnya memberi kelebihan kepada keluarga dan anak-anak yang memandang anda sebagai ketua keluarga.

Etika # 4 - Belajar cara kurangkan merokok

Sebolehnya, perokok belajar setiap hari bagaimana cara-cara untuk mengurangkan jumlah pengambilan rokoknya. Sekarang ini ada pelbagai produk yan gdiperkenalkan untuk membantu perokok mengurangkan kadar hisapan harian mereka. Ia boleh diperolehi sama ada di farmasi ataupun dibeli dengan orang perseorangan.

Perlakuan merokok ini tidak diwarisi. Belum tentu ayah yang merokok akan melahirkan ana yang merokok dan begitulah sebaliknya. Namun, ia boleh dicegah apabila seseorang sedar akan hakikat merokok itu tidak memebri kebaikan melainkan pembaziran wang semata-mata. Seseorang yang tidak merokok juga tidak boleh secara terang-terangan mempertikaikan perlakuan seseorang yang merokok. Apatah lagi jika mereka merokok di dalam zon merokok. Menegur mereka dengan cara berhemah adalah lebih baik lagi dan siapa tahu, lama-kelamaan keinginan untuk berhenti merokok hadir dalam diri mreka.

Larangan merokok di kali lima juga memberi kelebihan kepada perokok. Sekurang-kurangnya imej negatif tidak membelenggu diri perokok itu sendiri. Hal ini kerana, ramai wanita yang meletakkan syarat ‘tidak merokok’ sebagai kriteria utama mencari pasangan hidup. Namun, jika jodoh mereka bertemu dengan lelaki yang merokok, pasangan ini perlu berbincang sama ada si lelaki perlu berkorban untuk berhenti merokok atau wanita pula perlu belajar memahami dan memberi garis panduan yang terbaik agar ia tidak memberi impak negatif kepada keluarga berkenaan. Jangan kerana sebatang rokok, pasangan harmoni bertukar menjadi huru-hara.

Bertegaslah dalam pelaksanaan larangan merokok



Baru-baru ini, perokok sekali lagi berdepan dengan ‘rintangan’. Kali ini apabila kerajaan menambahkan jumlah kawasan yang bakal dijadikan zon larangan merokok. Penambahan terbaru itu akan menyebabkan mereka tidak lagi boleh merokok di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan juga di lobi-lobi hotel. Demi kepentingan majoriti rakyat yang tidak merokok, kerajaan terpaksa mengambil pendekatan terbaru itu walaupun ia pastinya tidak menyenangkan golongan perokok.

Langkah terbaru itu diharap mampu membuatkan mereka yang tidak merokok menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk mereka menegur rakan-rakan sekiranya tidak mematuhi peraturan berkenaan. Bagaimanapun, langkah kerajaan untuk mewartakan serta-merta larangan terhadap peniaga dan peruncit agar tidak menyertakan tawaran hadiah apabila menjual hasil tembakau kepada orang ramai dilihat sebagai langkah terbaik dalam ‘kempen larangan merokok’ selama ini. Setidak-tidaknya langkah tersebut akan menyekat usaha syarikat-syarikat pengeluar rokok daripada mempromosikan keluaran mereka secara halus ataupun menggunakan ‘taktik kotor’ untuk melariskan produk.

Pewartaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2009 itu juga menyaksikan larangan untuk sebarang objek atau benda dijual bersekali dengan hasil tembakau. Pengeluar, peruncit atau peniaga juga diharamkan untuk menawarkan hasil tembakau ke atas pembelian sebarang jenis produk. Paling menarik, pihak yang didapati bersalah melanggar larangan atau peraturan tersebut boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peraturan atau larangan berkenaan memang tepat pada masanya. Kempen antirokok yang semakin diperhebatkan - termasuklah mewajibkan pengeluar atau pengedar mempamerkan amaran kesihatan bergambar dengan enam imej ngeri - itu diharap menjadi antara faktor tekanan terbaru kepada perokok selain kenaikan cukai saban tahun. Walaupun ada yang mengatakan ‘imej ngeri’ itu tidak akan mampu mengekang tabiat ketagihan di kalangan perokok, namun kita berharap keadaan itu hanya berlegar dalam kalangan perokok tegar sahaja. Sementara itu, dalam keghairahan kerajaan meningkatkan peraturan serta larangan terhadap perokok, penjual, peruncit, pengedar dan pengeluar produk-produk hasil tembakau, kita juga berharap ia juga akan meliputi aspek penguatkuasaan.

Ramai yang melihat matlamat kerajaan memperkenalkan pelbagai larangan itu sebagai satu usaha murni. Dan ia sepatutnya diiringi dengan penguatkuasaan sebenar. Bukan setakat hanya indah pada kertas tetapi pelaksanaan pula pada tahap ‘suam-suam kuku’ sahaja. Selepas ini, pihak berkenaan terutama yang mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun atau denda ke atas mereka yang melanggar peraturan mengenai larangan merokok ini perlu lebih bersikap proaktif.

Jangan pula selepas ini, asap rokok terus dibiarkan berkepul-kepul di ruang atau premis yang telah pun diwartakan sebagai ‘zon larangan merokok’. Jangan lagi pihak berkuasa dikatakan ‘sekadar melepas batuk di tangga’ sahaja.

Sumber : NURY dan Utusan

18 Jun 2009

Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak


Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak

BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimba pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah. Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik-beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.

Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin. Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.

Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa. Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa. Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

Ramai bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak dan merokok sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran. Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunaikan janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka. Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara. Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thuur, ayat 21)

Dalam hal mendidik anak-anak, seorang suami atau bapa perlulah memahami beberapa perkara. Tidak salah bapa-bapa di luar sana mempelajarinya. Kali ini diberikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh si suami dalam membantu isteri mendidik dan mengasuh anak.

Tips # 1 - Jangan terlalu memberi harapan yang tinggi

Terutama sekali jika anak masih kecil. Terlalu banyak harapan diberikan kepada si anak mungkin menyebabkan tekanan kepada mereka. Sebabnya, bila anak tahu bahawa anda terlalu berharap kepadanya, dia akan berusaha memberikan semampunya. Dan jika dia tidak mampu memenuhinya, anak akan berasa sedih dan berasa diri tidak disayangi oleh ayahnya.

Tips # 2 - Menerima kesalahan

Orang yang sudah dewasa pun melakukan kesalahan, apatah lagi anak-anak yang masih kecil. Apabila mendapati anak melakukan kesalahan atau menimbulkan masalah di rumah, janganlah terus menyalahkannya. Ramai bapa yang bertindak memarahi malah memukul anak-anak yang berkelakuan sedemikian.

Sebenarnya tindakan ini tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Bapa akan berasa puas bila dapat memarahi dan menyalahkan anak, tapi dia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Beritahu kesalahan mereka dan ajarkan perkara yang sepatutnya anak lakukan. Yakinlah bahawa mereka akan dapat berubah dari masa ke semasa.

Tips # 3 - Kenali anak lebih mendalam

Ketahui dan kenali sebanyak mungkin perkara tentang anak anda. Cari apa mainan dan warna kesukaan mereka, siapa teman terdekatnya, siapa tokoh pahlawan mereka dan selalulah bertanya perkembangan mereka. Dengan memperlihatkan perhatian dan rasa cinta, anak akan merasai diri meraka diberi kasih sayang sepenuhnya. Sikap tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan kerja akan menyebabkan anak berasa mereka tidak dipedulikan atau merasakan diri mereka tidak penting.

Tips # 4 - Katakan ‘tidak’

Arus kemodenan kini mendedahkan anak-anak kepada banyak pengaruh tidak sihat. Bapa haruslah memantau anak-anak supaya tidak terjebak dalam hal yang tidak diingini. Namun mereka tidak boleh sentiasa memerhatikan anak, untuk itu, anak harus diajar tentang disiplin dan pengendalian diri. Anda juga harus berani mengatakan ‘tidak’ kepada aktiviti anak-anak yang dianggap tidak mendatangkan faedah. Mengatakan ‘tidak’ bererti membantu anda memiliki anak yang sihat, bahagia dan dapat bekerjasama.

Tips # 5 - Memukul kerana tidak belajar

Ramai bapa yang menunjukkan ketegasan terhadap pendidikan anak-anak dengan cara memukul jika anak tidak belajar atau tidak mendapat pencapaian yang mereka inginkan. Tapi banyak kajian yang telah dilakukan mendapati tamparan atau pukulan akan hanya mengurangkan keyakinan diri anak dan mereka memiliki rasa percaya diri yang rendah. Memukul atau menampar anak hanya akan meningkatkan rasa takut anak terhadap ayahnya. Apakah memang ini yang anda inginkan?

Tips # 6 - Tindakan lebih keras daripada kata-kata

Ramai ibubapa yang mengancam atau mengugut anak sendiri bila tidak mendapat kerjasama yang diinginkan. Jika tidak, mereka tidak akan mengendahkan permintaan anda. Perkara ini seharusnya dihentikan segera.

Tips # 7 - Dengar dengan bersungguh-sungguh

Walaupun anak masih kecil, tetapi janganlah abaikan apa yang diceritakan atau diperkatakan oleh si anak. Jangan hanya memperdengarkan sepintas lalu tetapi cubalah belajar memahami apa yang mereka katakan. Nilaikan kembali apa yang dikatakannya. Sebab sekiranya anda mahu anak mendengar kata-kata anda, anda juga harus mendengar apa yang mereka katakan.

Tips # 8 - Layan isteri dengan baik

Bagaimana anda melayani atau memperlakukan isteri yang menjadi petunjuk penting bagi anak tentang hubungan lelaki dan wanita? Jadi, usahalahlah untuk melayani isteri dengan cara yang paling baik. Elakkan bertengkar di hadapan anak-anak kerana anda mungkin mengajar sesuatu yang negatif kepada anak.

Tips # 9 - Katakan ‘luar biasa’

Puji dan katakan betapa luar biasanya anak bagi anda. Hal ini sangat penting utnuk disampaikan terutamanya jika anak memiliki masalah. Tunjukkan kepada anak, apa yang membuatkan dia luar baisa kerana ini akan lebih bermakna buatnya.

Tips # 10 - Beri tanggungjawap sesuai dengan usia

Ketika anak masih kecil, apa yang dapat dilakukan mungkin hanya membereskan temapt tidur atau mengemaskan permainannya. Namun, apabila mereka semakin membesar, tambahkan tanggungjawab untuknya. Katakan kepada anak bahawa dalam keluarga setiap anggota punya tanggungjawab masing-masing. Jangan beri hadiah untuk tanggungjawab yang memang harus mereka lakukan.

Semoga tips-tips yang diberikan ini dapat memberi idea bagaimana bapa boleh menyumbang secara positif dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi yang berakhlak dan cemerlang di dunia dan juga di akhirat, insya Allah.