Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

20 Nov 2011

ARTIKEL : Wali fasik merosakkan perkahwinan anak sendiri


Wali fasik merosakkan perkahwinan anak sendiri

Ahmad Baei Jaafar
Akhir-akhir ini kita dipaparkan isu perceraian yang amat menakutkan. Lalu ramai yang memberi ulasan bahawa semuanya berpunca daripada kursus pra perkahwinan yang tidak mencapai sasaran. Kononnya, modul yang disediakan tidak memberi fokus kepada bagaimana membentuk keluarga islami. Dalam kursus itu juga tidak memberi penekanan kepada kaedah mengatasi krisis rumah tangga.
Menurut dakwaan mereka, kesan daripada kekurangan itu, apabila sesuatu pasangan mendirikan rumah tangga, mereka cipta formula sendiri. Ada yang ikut cara Barat, ada juga ikut cara tradisonal dan tidak kurang yang masih mencuba kaedah sendiri. Dalam keadaan itu, apabila berlaku krisis, mereka gagal mengawalnya dan akhirnya berlaku perceraian.
Sebab itu kita sering dapati terdapat keluarga yang hanya bahagia pada tiga bulan pertama perkahwinan. Malah ada yang mentamsilkan ketika itu, kalau kentut pun wangi. Tetapi setelah berlalu tiga bulan, minyak wangi pun dihidu sebagai busuk.
Kita tidak nafikan sebahagian perceraian kerana punca di atas, tetapi ramai lagi yang mendirikan rumah tangga tidak pula mengalami kes seperti itu. Jadi, alasan di atas bukanlah seratus peratus tepat.
Wali fasik punca segalanya
Sebenarnya ramai yang terlepas pandang, bahawa wali amat besar peranan dalam mengharmonikan rumah tangga anak-anak mereka. Semuanya bermula daripada watak wali dalam membesarkan anak, semasa menikahkan anak dan selepas mengahwinkan anak mereka.
Perlu ditegaskan di sini, wali dalam apa jua jenis perkahwinan pun perlu memilik watak orang yang beriman dan bertakwa. Tetapi untuk memiliki watak ini tidak cukup dengan sehari dua sebelum mengahwinkan anaknya. Watak ini perlu dilazimkan lebih lama malah sudah menjadi budaya. Hal ini kerana watak baik ini tidak boleh menjadi realiti dengan hanya sekadar lakonan.
Wali untuk sesuatu perkahwinan disyaratkan adil bukan fasiq. Jadi wali sendiri perlu mempersediakan dirinya sebagai orang yang adil. Apakah kaitan adil dalam perkahwinan anaknya? Dan apakah maksud adil dalam konteks ini?
Adil dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam konteks ini, seseorang wali itu hendaklah bertindak mengikut kehendak syariat. Kalau dia berkata pula, perkataannya mestilah benar, tidak berbohong. Ertinya seseorang wali itu tidak akan melakukan dosa apatah lagi dosa besar.
Wali yang tidak adil dalam syariat disebut fasik. Maka wali fasik adalah ditolok kewaliannya. Jadi, dia tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan anak perempuannya. Jika dia menjadi wali juga dalam keadaan dia sedar kefasikannya, maka perkahwinan anaknya akan berakhir dengan masalah.
Di sini ramai yang tidak faham bagaimana seseorang itu boleh dikategorikan sebagai fasik. Sebenarnya fasik di segi bahasa ialah rosak dan di segi syarak ialah mereka yang mengekalkan dosa kecil. Maknanya orang fasik walaupun pada dasarnya tidak melakukan dosa besar tetapi dia sukar menghindari daripada melakukan dosa kecil.
Walau bagaimanapun jika orang yang sesekali terjebak dalam dosa kecil dan setelah tersedar segera bertaubat, tidaklah dikategorikan sebagai fasik. Inilah sifat orang mukmin yang dikasihi Allah. Oleh sebab itu, mereka yang boleh bertaubat setiap masa apatah lagi setiap kali melakukan dosa kecil, bukan saja terhapus dosa tetapi terus dikasihi Allah.
Dosa kecil yang sering dilakukan umat Islam adalah yang melibatkan sesama manusia. Namun dosa tersebut sukar ditinggalkan oleh mereka kerana sudah menjadi kebiasaan. Antara dosa tersebut ialah, mengumpat, hasad dengki, menipu, hisap rokok, mencari salah orang, mendedahkan kepada ketika keluar rumah dan melihat aurat wanita.
Berdasarkan pengalaman yang lalu, dalam satu hari sekurang-kurangnya satu dosa akan dilakukan seseorang. Tetapi tidak dipastikan berapa ramai pula yang secara sedar bertaubat daripada dosa tersebut?
Fasik tidak boleh elak
Berdasarkan pengalaman itu, tidak ada seorang pun di dunia ini yang terselamat daripada fasik. Jadi, bagaimana agaknya sesuatu pasangan itu boleh diakadnikahkan sedangkan wali masih fasik. Kalau diikutkan syarat wali yang adil sudah tentu tidak seorangpun anak gadis pada hari ini boleh berkahwin.
Menyedari keadaan itu, ulama memutuskan satu kaedah penyelesaian sebelum majlis akad nikah diadakan. Caranya, para hadirin terutama wali, saksi dan pengantin perlu diajak beristighfar, syahadah dan berselawat ke atas nabi. Acara ini sebaiknya dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Nikah di tempat masing-masing.
Amalan ini termasuk dalam usaha bertaubat daripada dosa. Sekurang-kurangnya waktu majlis itu berjalan tidak ada orang yang berdosa di dalamnya. Semoga taubat mereka diterima oleh Allah. Maka atas kepercayaan semua orang sudah bertaubat dan diterima taubat, angkat nikah segera dijalankan.
Walau bagaimanapun taubat yang sekadar tiga kali istighfar, tidaklah sama dengan orang yang benar-benar bertaubat terlebih dahulu. Wali yang sudah sedia berada dalam keadaan taubat sebelumnya tentu lebih baik daripada taubat segera. Setidak-tidaknya anak yang hendak dikahwinkan itu sudah terbiasa dengan sikap ayahnya sudah bertaubat.

Wali fasik anak juga fasik
Wali yang tidak dibiasakan dengan amalan baik lazimnya akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh sebab itu, mana-mana ibu bapa yang ada anak perempuan eloklah membuat persiapan awal dengan bertaubat. Bukan tunggu hari hendak diakadnikahkan anaknya. Pada masa yang sama didiklah anak agar menjadi anak solehah dan isteri solehah.
Semua ini penting sebelum terjadikan ikatan perkahwinan kerana biasanya orang fasik akan lupa banyak perkara, antaranya:
1. Lupa agama; mereka cuai dalam soal solat lima waktu, apabila malas dan sebuk, solat boleh ditinggalkan begitu sahaja. Malah dalam soal tauhid sesekali akan berlaku pula syirik setidak-tidaknya syirik khafi.
2. Lupa adab; mereka ini sudah tidak ambil kisah soal adab sopan. Tidak tahu bagaimana menghormati orang lain termasuk ibu bapa. Pergaulan dengan manusia banyak mengikut budaya Barat.
3. Banyak dosa; mereka ini memandang dosa seperti lalat singgah di atas hidung sahaja. Mereka tidak rasa serius untuk menolaknya.
Jika dalam keadaan ini mereka berkahwin juga, walaupun beristighfar banyak kali dilakukan belum tentu amalan buruk itu boleh dibuang daripada dirinya. Mungkin ketika itu semua dosa sudah diampunkan tetapi kesan dosa lama sukar dibuang daripada hati. Jadi, usaha di atas perlu dilakukan bagi menyelamatan perkahwinan anak-anak mereka.
Baiki kesilapan
Bagi mereka yang sudah mendirikan rumah tangga dalam kedudukan di atas eloklah melakukan sedikit muhasabah. Bertaubatlah mengikut cara yang disyariatkan iaitu empat perkara:
1.            Sesali kesilapan lalu
2.            Tidak berniat untuk mengulanginya lagi
3.            Tidak mengulangi kejahatan itu lagi.
4.            Minta maaf daripada manusia yang pernah dia berdosa.

Setelah bertaubat binalah semula hubungan suami isteri dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai kebahagian rumah tangga, adalah dicadangkan kedua-dua belah pihak supaya menyenaraikan sebanyak mungkin apa yang anda suka dan juga apa yang dibenci. Setelah itu, senarai suami hendaklah diberi kepada isteri dan sebaliknya senarai isteri diserahkan kepada suami.
Berdasarkan senarai itu, bandingkan mana yang sama dan mana yang tidak sama. Mungkin daripada senarai yang sama, sudah ada kesefahaman. Tetapi pada senarai yang tidak sama, perlu dibincang bagi mencari titik persamaan. Dan kalau boleh, biarlah masing-masing boleh berkompromi agar dengan itu tidak akan mengecilkan hati mana-mana pihak.
Percayalah dengan cara itu krisis rumah tangga yang sering dialami oleh orang Islam ekoran saksi fasik akhir-akhir ini dapat dibanteras. Jadi, pepatah nasi sudah menjadi bubur tidak boleh diamalkan dalam konteks ini. Hal ini kerana setiap perkara yang berlaku ada jalan penyelesaiannya. Yang penting suami tahu peranan dan tanggungjawabnya, dan isteri pula tahu peranannya dan kewajipannya.

RENUNGAN : Sedikit Yang Halal Lebih Baik Daripada Banyak Yang Haram

Sedikit Yang Halal Lebih Baik Daripada Banyak Yang Haram

Al-Maidah [100] Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
Bahkan disebut dalam hadith,
"Sesiapa yang dagingnya tumbuh daripada sesuatu yang haram maka nerakalah yang layak baginya" (Riwayat Hakim dan Ath-Thabrani)
Allah itu bersih dan suci, Allah tidak menerima sesuatu yang tidak bersih dan tidak boleh mendampingi Allah melalui harta yang haram.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:"Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. …
Jagalah makan dan minum kerana ia adalah syarat Allah menerima sesuatu doa. Jauhi daripada memakan makanan bukan islam atau makanan yang 'syak' atau diragui status halalnya.:
Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tangannya ke langit sambil (berkata): "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram,bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?"(Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga halnya dengan harta yang dimiliki, Allah hanya ingin melihat daripada mana kita mendapatkan harta itu (samada daripada sumber yang halal atau haram) dan ke mana ia dibelanjakan. Ada orang yang mendapat rezeki yang daripada sumber yang haram dan mengatakan "nak buat macam mana dah memang rezeki saya". Sememangnya Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat semua rezeki samada halal atau haram adalah daripada Allah, namun rezeki yang haram akan diambilkira dalam perhitungan Allah nanti.
Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya:"Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"
__._,_.___

14 Nov 2011

RENUNGAN : Kambing dan perigi buta


Ada sesekor kambing yang terjatuh ke dalam sebuah perigi buta. Kambing tersebut mengembek sehingga menarik perhatian orang yang lalu lalang. Orang ramai berfikir bagaimana hendak mengeluarkan kambing tersebut dari perigi buta itu.

Perbincangan mengambil masa berhari-hari. Malangnya mereka tidak temui cara untuk mengeluarkan kambing tersebut. Akhirnya mereka sepakat untuk mengambus perigi tersebut dengan andaian bahawa kambing tersebut tidak dapat diselamatkan lagi dan perlu dikambus bagi mengelakkan bau busuk bangkai si kambing.

Penduduk kampung bergotong-royong menimbus perigi buta itu. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib si kambing. Bukan sekadar terjatuh ke dalam perigi buta, malah ingin dikambus hidup-hidup oleh penduduk kampung. Pasti tamat riwayat si kambing.

Namun kambing tersebut tidak berputus asa. Setiap kali tanah dan pasir dituang ke dalam perigi, kambing tersebut akan menggoyangkan badannya bagi menyingkirkan tanah daripada berkumpul di atas belakang badannya.

Penat kerana tidak makan dan minum selama beberapa hari tidak dipedulikan sang kambing, sebaliknya dia makin bersemangat. Makin lama makin tinggi timbunan tanah dan makin cerah jugalah harapannya untuk keluar dari perigi tersebut. Akhirnya si kambing terselamat. Ðia melompat keluar dengan girangnya.

Pengajaran : Allah berfirman yang bermaksud, "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudah. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (Surah al-Insyirah 94:5-6)

Sumber : Solusi Isu#32

RENUNGAN : Manusia dipantau di dunia, balasan setimpal menanti di akhirat



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Ramai terdorong melakukan perkara mendatangkan dosa ketika muda disebabkan mengikut nafsu. Masa muda sepatutnya digunakan untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin memandangkan tenaga masih kuat serta memiliki kelebihan lain.

Rasa takwa akan mengingatkan kita kepada dua malaikat yang mencatatkan apa dilakukan manusia. Menyedari perkara itu tentu kita berfikir banyak kali untuk melakukan perbuatan ditegah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya." (Surah Qaf ayat 17)

Jelas pentingnya rasa kesedaran terhadap pengawasan Allah dan dua malaikat dalam setiap detik kehidupan. Kesedaran itu menghalang kita melakukan kesalahan secara sengaja biarpun berada di tempat sembunyi.

Jika melakukan kebaikan, tidak pula mengharapkan diketahui atau mendapat pujian daripada orang lain kerana pujian akan menyebabkan timbul perasaan riak dan sombong. Apa dilakukan semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyatakan, menyedari kewujudan dua buku catatan itu dapat mengingatkan manusia supaya mempunyai kecenderungan untuk tidak melupakan segala dosanya. Tentu akal waras tidak akan melakukan dosa dan mencampakkan diri ke dalam neraka di akhirat kelak.

Buku catatan itu akan dibawa ke hadapan Allah SWT ketika pengadilan di Padang Mahsyar yang mana tidak ada satu pun salah catatan, melainkan semuanya benar belaka. Manusia dijatuhkan hukuman dengan adil seperti mana dilakukan di dunia ini.

Firman Allah SWT bermaksud: "Pada hari ini, setiap diri dibalas dengan apa yang diusahakannya, tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah al-Mukmin ayat 17)

Untuk menjadi Muslim sejati perlu dilakukan bersungguh-sungguh dengan menjana keimanan, memantapkan ketakwaan, beristiqamah melaksanakan perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya. Perkara ini antara rahsia kemuliaan seseorang Muslim dan ketinggian darjatnya pada sisi Allah SWT.

Sesungguhnya, belum layak seseorang mengaku dirinya beriman jika banyak melakukan dosa berbanding pahala.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, tetapi iman itu keyakinan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Tanpa syarat itu, sudah pasti seseorang manusia tergamak atau tanpa segan silu melanggar batasan digariskan Allah. Tidak hairanlah ada mengaku beriman, malah mendabik dada mengatakan dialah paling beriman atau mulia pekertinya, tetapi pada masa sama melakukan larangan Allah.

Jangan mencari kesalahan orang lain sebelum melihat diri sendiri. Cara itu lebih baik kerana kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri, bukannya mencari kesalahan orang lain.

Saidina Umar al-Khattab pernah menyatakan satu ungkapan masyhur yang bermaksud: "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab pada hari akhirat kelak, timbanglah segala amalan kamu sebelum kamu ditimbang dalam sidang pengadilan Ilahi nanti."

Ungkapan itu menginsafkan kita betapa amalan bermuhasabah dan mencermin diri yang dilakukan akan menentukan kesudahan nasib pada hari kiamat nanti.

Manusia unggul sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan perkara ditegah agama. Perjalanan hidup sentiasa dipandu oleh acuan al-Quran dan sunnah yang membawa kepada destinasi diredai Allah.

Kata-kata mutiara pilihan untuk hari ini : Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

Renung-renungkan...

4 Nov 2011

ARTIKEL : Solat mengajar umat Islam jaga disiplin

Ahmad Baei Jaafar
Kita biasa dengar orang berkata, sesiapa yang tidur selepas subuh tertutup pintu rezekinya. Kenapa subuh dan apa rasionalnya pintu rezeki tertutup untuk mereka? Saya percaya bagi mereka yang makan gaji, isu ini tidak timbul kerana pada hujung minggu mereka boleh tidur semahunya. Walaupun mereka tidak bekerja gaji tetap dibayar.
Yalah, sama ada mereka tidur selepas subuh atau tidak, rezeki tetap ada. Malah sesetengahnya tidak bangun untuk solat Subuh, tetapi terus tidur sehingga tengah hari. Gaji bulanannya tetap sama. Jadi, berdasarkan itu, kurang tepatlah kenyataan di atas bagi mereka. Namun kalau dinilai di sudut kesihatan, ada juga kebenarannya.
Apa tidaknya, kalau tidur dalam tempoh yang lebih lama, akan mengakibatkan mereka ditimpa penyakit. Bagaimana? Ya, kalau tidur selepas Subuh tubuhnya akan lemah. Bayangkan kalau mereka bersikap begitu, boleh jadi umurnya akan pendek. Dengan itu sumber pendapatannya akan terhenti.
Sebenarnya Rasulullah telah mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud: "Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan." (Riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath)
Rasulullah mahu umat Islam bangun awal untuk mencari rezeki kerana Allah menurunkan rezeki dan keberkatan pada waktu pagi. Maknanya kalau mereka bangun lambat, keberkatan sudah tiada. Maka rezeki juga akan menjadi kurang. Sebab itu Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) ketika melihat anaknya tidur di waktu pagi. Baginda berkata kepada anaknya: "Bangun! Apakah kamu tidur di waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

Kemunduran umat mana puncanya
Realiti yang dapat dilihat di negara ini, orang Cina yang beragama Bhuda akan bangun awal pagi apatah lagi kalau mereka golongan peniaga atau petani. Mereka bangun sebelum orang Islam bangun untuk solat Subuh. Lihatlah, kalau mereka membuka kedai, perkara pertama yang dilakukan ialah sembahyang dengan menyalakan colok di hadapan gerai atau kedai mereka.
Keadaan yang sama berlaku kepada orang India yang beragama Hindu, mereka bangun awal pagi sebelum matahari terbit. Apabila terbit matahari mereka akan menyembah tuhan mereka dengan menghadap kepada matahari. Istiqamah mereka dalam hal ini menjadikan mereka berjaya dalam mencari rezeki.
Jelas di sini mereka yang hendak berjaya perlu membiasakan disiplin diri iaitu bangun awal sebelum Subuh. Tetapi persoalannya berapa ramai umat Islam ikut disiplin di atas? Walaupun banyak hadis Rasulullah yang mengajar kita ke arah itu. Sudah banyak panduan dan disiplin yang disediakan untuk kita ikut. Tetapi bagaimana dengan kehidupan umat Islam kini, bolehkah mereka bangun awal pagi untuk solat Subuh dan keluar kerja awal pagi?
Ya, kalau kita ke masjid waktu Subuh, jemaahnya hanya satu saf berbanding dengan waktu Maghrib dan Isyak. Ertinya masih ramai yang bangun lambat lalu melakukan solat Subuh di rumah bersendirian. Malah ada juga yang tidak melakukan solat Subuh lalu terus keluar ke tempat kerja. Demikian sIkap mereka yang bekerja, tetapi bagi yang menganggur mereka akan terus sambung tidur.
Kalau begitulah keadaan orang Islam pada zaman ini, apakah mereka beroleh kejayaan seperti yang dimiliki oleh Cina dan India di atas? Inilah realiti orang Islam pada hari ini, malah inilah jawapan kenapa umat Islam mundur dalam segala lapangan. Kalau adapun yang berjaya, keberkatannya tidak ada.
Rasulullah ketika melewati anaknya, Fatimah r.ha didapati dia sedang berbaring pada waktu pagi, maka Baginda bersabda: "Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau tergolong dalam kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Riwayat al-Baihaqi)
Anak Rasulullah juga perlu bangun awal dan tidak boleh tidur waktu pagi sebaliknya terus bekerja mencari rezeki. Di dunia ini kita tidak boleh rasa senang hati tidur dan mengharapkan rezeki datang melayang.
Bangunlah segera wahai umat Islam
Umat Islam diperintahkan bangun awal sebelum terbit fajar lagi. Allah perintah umat Islam bangun untuk solat tahajud dan solat witir sebelum masuk waktu Subuh. Sebaik sahaja masuk waktu Subuh, mereka diminta pula melakukan solat sunat fajar. Walaupun solat ini termasuk dalam kategori sunat, tetapi percayalah, solat itu yang menjadikan solat Subuh senjata yang digeruni musuh.
Bayangkan kalau semua umat Islam boleh melakukan solat Subuh sama seperti solat Jumaat, dan solat itu dilakukan setiap pagi, tidakkah keadaan itu boleh menjadi senjata kekuatan umat Islam. Kalau setakat seminggu sekali umat Islam berkumpul, apalah ertinya kepada Islam. Hal ini kerana solat Jumaat hanya berjaya menonjolkan syiar Islam tetapi belum boleh digeruni musuh.
Barangkali sebahagian anda pernah mendengar kenyataan tokoh Yahudi mengenai sikap umat Islam. Di sini saya paparkan sebahagian yang ditulis: "Pernah, salah seorang Yahudi, menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.¨
Kebanyakan kita tidak sedar, betapa sudah banyak peluru kita hilang entah ke mana. Oleh sebab itu musuh kita Yahudi sudah tidak takut dengan kita. Malah mereka kini boleh menghancurkan kita kalau mereka mahu. Di segi agama mereka telah berjaya merosakkan akidah umat Islam. Pada masa yang sama mereka berjaya melalaikan kita agar tidak berminat untuk melakukan solat subuh.
Menyedari keadaan itu, umat Islam perlu kembali menghayati ajaran Islam dengan memenuhkan masjid pada waktu solat Subuh. Mungkin untuk memulakannya agak sukar kerana sudah terbiasa dengan bangun lambat. Inilah cabaran yang perlu diikuti oleh umat Islam. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu saja, katakan: 'Kami telah berfirman?' Sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah al-Ankabut: 1-3)
Munafik musuh dalam selimut
Perlu dijelaskan di sini, golongan yang banyak menggagalkan kemajuan Islam dan kecemerlangan umatnya ialah golongan munafik. Mereka ini bukan sahaja tidak serius untuk melaksanakan perintah Allah, malah cuba menghasut orang Islam yang lain agar bersikap sepertinya.
Rasulullah menjelaskan sifat orang munafik dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isya' dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat itu, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan orang lain untuk solat bersama dengan orang ramai. Kemudian beberapa lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang terikat, dan segera mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW, "sesungguhnya dua solat iaitu isyak dan subuh adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yana ada dalam solat subuh dan isyak nescaya maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (Riwayah Ahmad dan An-Nasa'i)
Sebenarnya ganjaran pahala untuk solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Riwayat Muslim).
Apabila golongan munafik telah memenuhi sesuatu kariah atau negeri, maka masjid tidak akan dipenuhi oleh umat Islam lagi, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Apabila keadaan ini terjadi, musuh Islam akan memandang umat Islam golongan yang lemah. Dengan itu mereka boleh mempermainkan malah memperbodohkan umat islam.
Atas kesedaran itu, selamatkan diri kita daripada sifat munafik. Untuk itu, umat Islam perlu penuhkan masjid pada waktu subuh seperti solat Jumaat. Dengan ini sahaja yang boleh mengembalikan kekuatan Islam termasuk dalam soal ekonomi.
Solat dhuha
Bagi merealisasikan kemenangan Islam dalam semua bidang, Islam menganjurkan umat Islam melakukan solat sunat Dhuha. Waktu dhuha yang bermula dari 28 minit selepas terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Percayalah mereka yang istiqamah melakukan solat dhuha ini akan diberi ganjaran termasuk dibukakan pintu rezeki.
Alangkah cantiknya, kalau semua umat Islam boleh melakukan solat Dhuha selepas sama-sama menunaikan solat Subuh. Selain mereka terhindar daripada golongan munafik, mereka juga akan diberi rezeki yang tidak disangkakan.
Jadi, apa yang menghalang kita daripada menunaikan solat Subuh dan solat-solat sunat yang mengiringinya? Bukankah solat ini suatu bahagian yang begitu besar berbanding dunia dan seisinya? Sudah sampai masanya umat Islam keluar dari zon selesa lalu mengharapkan kejayaan tanpa usaha.
Sesungguhnya kejayaan yang dimaksudkan itu sangat bergantung kepada diri kita sendiri bukan orang lain. Kalau kita boleh mendisiplinkan diri dalam perkara di atas, umat Islam mampu menguasai ekonomi dunia.