Sent from my Samsung Galaxy Tab
-------- Original message --------
Subject: [sim] ARTIKEL : Keadaan Pada Zahir Cermin Keadaan Hati
From: BawangGoreng® <bawangoreng@gmail.com>
To:
CC:
Keadaan Pada Zahir Cermin Keadaan Hati
Keadaan pada zahir cermin keadaan hati
Oleh: Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Petua orang tua-tua ada menyatakan: "Berhati-hatilah terhadap lelaki kerana matanya dan perempuan dengan gerak tubuhnya." Percaya atau tidak terpulang kepada pengalaman yang pernah dilalui setiap orang. Bolehkah kita menilai hati seseorang dengan tanda-tanda zahir yang terdedah? Tentunya mustahil menyelami hati budi manusia dengan cara itu. Persoalannya ialah Allah saja yang Maha Mengetahui setiap gerak hati manusia dan tajuk diatas bukan bertujuan untuk menilai orang lain tetapi mengajak kita untuk menilai diri sendiri. Menyelami rasa hati sendiri dan menerokai rahasia peribadi lewat tingkah laku.
Manusia mempunyai dua kategori yang layak menjadi sebutan bagi dirinya. Adakah ciri-ciri ini melekat pada diri kita, hanya kita sendiri yang boleh menjawapnya. Dan orang lain tidak berhak untuk menilai diri kita secara melulu. Kecuali demi kebaikan dan sekadar nasihat pencetus ide yang membina.
Seseorang yang menyimpan dendam terhadap orang lain akan tetapi manis mulutnya dan baik layanannya terhadap orang yang didendamnya, tentunya perbuatannya itu tidak menunjukkan keadaan sebenar hatinya. Orang seperti ini masuk dalam kategori munafik. Tidak ikhlas dan tidak jujur dengan hatinya sendiri. Tetapi sampai bila kebusukan hatinya itu dapat disimpan. Pasti akan terhidu juga segala yang ditutupi.
Kategori yang kedua adalah mereka yang suka berterus terang, benci katakan benci sayang katakan sayang. Antara hati dan perbuatan seiring sejalan. Kejujuran menjadi amalan yang meninggikan maruah diri, mengajar erti berani bertanggung jawap atas semua resiko yang akan dihadapi.
Tetapi benarkah ada kategori ketiga yang berpendapat bahawa ada orang yang hatinya baik walaupun perangai macam hantu. Contohnya orang yang beranggapan bahawa tak mengapa tinggal sembahyang asalkan hati kita baik dan tak berdendam dengan orang. Aurat tak ditutup tak apa asalkan jaga hati, untuk apa tutup aurat tapi hati berbisik-bisik mengata orang. Anggapan-anggapan seperti diatas tentu saja bertentangan dengan ajaran Islam. Kerana Allah SWT akan menilai seseorang berdasarkan amal perbuatan dan gerak hatinya. Kedua elemen ini penting untuk memastikan penghisaban di akhirat nanti akan berjaya. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadisnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa parasmu tetapi hatimu dan amal perbuatanmu."
Jika hati saja yang menjadi penilaian sungguh amat berbahaya kerana manusia akan mengambil kesempatan untuk menghalalkan segala perbuatan kejinya asal hati baik. Bahkan agama kita mengajarkan bahawa segala perbuatan yang dizahirkan adalah cermin hati seseorang. Belum cukupkah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang keadaan hati apabila ia baik maka baiklah seluruh badan (amal perbuatan) dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan.
Bagi kita yang sentiasa melakukan muhasabah diri eloklah teliti apa yang tersimpan di lubuk hati dan senaraikan amal perbuatan yang dilakukan setiap hari. Jika kurang beramal itu tandanya hati tak sihat. Jika tak beradab, tak bersopan santun tandanya hati berpenyakit. Begitu juga sebaliknya, jika banyak sembahyang dan beribadat tapi masih menyimpan bara api dendam pun tak sempurna diri. Kerana Allah menilai hati juga perbuatan. Inilah yang menjana konsep keikhlasan pada diri hamba-Nya.
Kisah seorang ulama besar Fudhail bin Iyadh yang pernah bertaubat dari segala kejahatannya dahulu (beliau diceritakan pernah menjadi perompak sebelum bertaubat), ketika mendengar ayat-ayat Allah dibaca memberi iktibar pada kita bahawa hati yang bertaubat perlu dibuktikan dengan amal perbuatan. Ayat tersebut berbunyi: "Belumkah tiba masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang terdahulu yang telah diturunkan al-Kitab kemudian berlalu masa yang panjang (sedangkan mereka masih belum insaf) lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." (al-Hadiid: 16)
Menurut Imam al-Tirmizi, hati terbahagi kepada enam kategori.
1. Hati yang hidup iaitu yang penuh dengan iman.
2. Hati yang mati iaitu yang kufur kepada Allah dan segala nikmat-Nya.
3. Hati yang sihat sentiasa taat kepada Allah.
4. Hati yang sakit ialah yang melekat padanya maksiat.
5. Hati yang bangun (terjaga) yang selalu mengingati Allah.
6. Hati yang tidur selalu lalai kepada Allah.
Diantara hamba-hamba Allah ada yang memiliki ketiga-tiga kategori yang paling sempurna iaitu hati yang hidup, sihat dan bangun. Ada pula yang bercampur-campur antara keenam-enamnya mungkin semua ada dalam diri. Mungkin kita yang lemah ini seharusnya sentiasa menilai keadaan zahir melalui cermin hati. Kerana disitulah tempat yang paling jujur dan setia untuk mengetahui siapa sebenarnya kita.