SYAITAN ialah musuh sejati, bukannya teman sejati. Ia tidak boleh dibuat kawan, sebaliknya kena dibuat lawan. Jika hendak bermusuh dengan syaitan, kita mesti mengetahui teknik serta sepak terajang syaitan dan konconya yang begitu taktikal, sebab tugas mereka sangat profesional menggoda dan menyesatkan manusia.
Pertemuan kali ini kita ingin melihat strategi syaitan dengan pelbagai cara supaya dengan mengetahuinya kita boleh menghindari diri dan terhindar daripada godaan mereka.
Antara strategi syaitan ialah:
1. Suka orang berada dalam keraguan. Ketika anda menghadapi masalah dan ragu-ragu untuk membuat keputusan, pada saat kebimbangan itulah syaitan mengganggu dan menggoda, mengarah anda untuk memilih itu dan membuat ini.
Sudah tentu pilihan syaitan itu ke arah keburukan, jauh dari kebaikan. Malah, jika pilihan baik sekalipun, mereka akan mengalih orientasi dan matlamat supaya berakhir dengan keburukan. Antaranya, melakukan sesuatu bukan kerana Allah, sebaliknya untuk mengejar glamor dan pangkat. Oleh kerana bimbang gangguan syaitan ini, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tinggalkan yang meragukan, ambillah yang menyakinkan."
Ini dikatakan 'believe system' (sistem keyakinan diri). Apabila ada keyakinan, hilang keraguan dan apabila hilang keraguan tertutup peluang syaitan untuk menggoda manusia. Sebab itu prinsip Islam bermula dengan keyakinan, yang bernama iman iaitu beriman kepada perkara ghaib, dosa pahala, hari akhirat dan sebagainya. Tetapi apabila rosak iman, rosaklah segala-galanya.
2. Syaitan suka orang kuat ibadat tetapi tidak ada ilmu. Beribadat dan beramal mesti berasaskan ilmu sebagai imam, manakala amal sebagai makmum untuk menewaskan syaitan.
Keinginan untuk belajar tidak boleh berhenti. Sesiapa yang berasa cukup dengan ilmu yang sudah ada atau sudah rasa pandai sebenarnya dia sedang memberikan peluang dan ruang kepada syaitan menguasai dirinya.
Islam bermusuh dengan kebodohan. Sebab itu ayat pertama diturunkan pada Nabi SAW dalam surah al-'Alaq ialah menyuruh nabi membaca, "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."
Suruhan itu bukan sekadar membaca buku dan kitab tetapi membaca fakta, data dan tanda kebesaran Allah di dalam al-Quran. Dengan membaca bererti semakin banyak kita membuka jendela ilmu serta semakin sempitlah peluang syaitan untuk melakukan tipu daya dan mengelecek manusia.
3. Syaitan menyesatkan orang yang tidak ikhlas. Sebab itulah ibadat mesti dengan ikhlas, cari ilmu dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, malah berjuang dengan ikhlas. Ikhlas bermakna melakukan sesuatu kerana Allah dan berasa bersama dengan Allah.
4. Syaitan sangat suka orang sombong diri. Sebaliknya syaitan akan menjauhkan diri daripada orang merendah diri.
Islam menggesa umatnya menjadi orang terunggul dan terhebat, tetapi jangan sampai menjadi seperti Firaun dan Namrud yang sanggup melawan 'Taukeh' (Tuhan).
5. Syaitan 'auta'nya sangat hebat. Bagi yang solat jemaah di masjid, syaitan tidak berkata, "tak payah solat." Dia bisik, "masbukpun tak apa, dapat juga jemaah." Kalau dah masbuk nanti, "boleh tepuk bahu orang lain, dapat juga jemaah." Nanti dah tak dapat tepuk bahu orang, "dapat juga solat di masjid, lagi baik dari rumah. Orang lain solat di rumah." Nanti "kalau solat seorang di masjid baik buat di rumah saja, maghrib dan isyak barulah masjid." atau "waktu kerja ni, maghrib dan isyak di rumah pun boleh, nanti dah pencen barulah full di masjid" …. dan seumpamanya. Kalau kita solat di masjid jemaah (lelaki) dengan solat nafilahnya banyaklah buffer dan benteng pertahanan. Tembus satu benteng ada benteng lain, cepat sedar dan perbaiki diri. Syaitan tembak dari jauh!
6. Lihat sejarah silam permulaan manusia, pada asalnya menyembah patung. Anak Nabi Adam, pada zaman mereka, masih belum sembah patung. Mereka percaya sangat Allah beri rezeki. Iblis tak hasut anak Nabi Adam sembah patung. Malangnya, generasi selepas mereka, syaitan mula menghasut dengan usul membuat patung, untuk memperingati nenek moyang yang soleh atau dijadikan sebagai teladan. Di zaman Nabi Nuh a.s., patung telah disembah sebagai Tuhan. Lihatlah bagaimana iblis/syaitan memainkan fikirkan manusia. Iblis dan tenteranya sabar, berstrategi demi sumpah mereka, iaitu menyesatkan manusia. Iblis sanggup merayu, "Ya Tuhanku" agar diberi umur panjang demi melihat anak-anak Adam tersungkur.
Dalam surah Yaasiiiin ayat 60, yang bermaksud, "…Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu……" Dalam ayat ini, memang jelas Allah memperingatkan kita, jangan tunduk kepada syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata. Kita berhadapan dengan syaitan yang ghaib (tak nampak) dan syaitan yang nyata (nampak). Justeru itu hanya ilmu, iman dan taqwa dapat menghindarkan kita dari pujukan / tarikan syaitan.
Kesimpulannya kata kunci untuk melawan syaitan dengan empat huruf, iaitu 'BEST'.
B merujuk kepada 'believe in Allah' (beriman kepada Allah),
E ialah 'Eager to learn' (gigih untuk belajar sampai mati),
S ialah 'sincerity' (melakukan kerja dengan ikhlas) dan
T ialah 'towards excellence' (menggapai keunggulan).
Cuma satu hal, apabila sudah berjaya jangan sombong diri, nanti makan diri!
Renung-renungkan, dan selamat beramal!
Yahoo! Toolbar is now powered with Free Anti-Virus and Anti-Adware Software. Download Yahoo! Toolbar now!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan