Miskin atau kaya ujian Allah
Assalamualaikum warahmatullah,
Firman Allah SWT, "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: "Tuhanku Telah memuliakanku." Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku."" (Surah Al-Fajr, ayat 15-16)
Meneliti kandungan ayat di atas Allah SWT telah memandu kita dalam memahami situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini kerana sememangnya manusia sering menyalah tafsir apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan susah.
Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan tentang dua kumpulan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat. Golongan itu ialah:
Golongan Pertama
Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.
Oleh itu biasanya golongan ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari aspek material sama ada kenderaan, pakaian, makanan dan tempat kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka dan jauh dari golongan miskin.
Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin sesebuah organisasi mahupun negara. Mereka mendakwa kedudukan tinggi ini adalah hasil kebenaran yang dibawa. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tiadanya perkenan dari Tuhan.
Daripada aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara.
Namun demikian Allah SWT telah membetulkan persepsi di atas dengan firman-Nya yang bermaksud, "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku."" (Surah Al-Fajr, ayat 15)
Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat. Ia menjadi satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka.
Apakah kekayaan itu diurus berpandukan syariat Allah atau sebaliknya? Seperti yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya Al-Munir. Allah SWT menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah diukur dari sudut kekayaan tetapi diukur menurut ketakwaan dan keimanan seseorang seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Jika kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan amal kebajikan dan ibadah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada kekufuran.
Aniaya
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan melimpah ruah yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah kekufuran kepada Allah.
Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga! Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."" (Surah Al-Qasas, ayat 76)
Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan dan kedudukan yang dimiliki menyebabkan ia kufur kepada Allah. Malah dengan angkuh mengaku diri sebagai Tuhan yang amat berkuasa.
Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia. Ini kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan harta benda mereka.
Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat menentang dakwah Nabi Muhammad SAW adalah datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.
Golongan Kedua
Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka. Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah kerana mereka buruk sangka kepada-Nya.
Justeru Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Hampir-hampir kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran."
Allah telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman Allah SWT, "Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku."" (Surah Al-Fajr, ayat 16)
Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta.
Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan dengan syariat Allah. Di dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.
Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah. Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong kepada ketakwaan kepada Allah SWT.
Sebabnya, dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk memperolehi harta kekayaan.
Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah SAW amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawaduk dan rendah diri.
* ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.
__________________________________________________
Anda Ber-Yahoo!?
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! mempunyai perlindungan spam yang paling baik
http://my.mail.yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan