Fail Panitia Dan Buku Kelas Membaca dan Menghafaz alquranKKQ 2022

Contoh Soalan KKQ Ting 1-5

MODUL KKQ 2014 TING 3 & 5

MAKDIS

Fail Panitia Dan Buku KKQ

Contoh Head Count dan Perancangan Strategik Pend. Syariah & B.Arab

Kajian Tindakan PAI

25 Sep 2011

Fw: [sim] INFO : Ketidakmampuan mengawal rasa takut


Jika ketakutan yang dihidapi oleh seseorang itu melampau atau keterlaluan, maka rawatan tertentu diperlukan bagi mengatasinya.


Secara am, ramai orang yang tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan penyakit mental atau psikiatri. Bila seseorang itu dikatakan sedang menghadapi masalah mental, masyarakat dengan mudah mengatakan bahawa orang itu gila. Dengan kata lain, masyarakat memandang serong terhadap orang yang menghadapi penyakit mental.

Sebenarnya terdapat 300 kategori penyakit mental. Satu hingga dua peratus dikatakan menghadapi penyakit psikotik atau gila. Sementara 98% lagi tidak ada kena mengenai dengan penyakit tersebut.

Terdapat dua blok paling besar mengenai penyakit mental, iaitu murung dan keresahan. Fobia dikategorikan dalam penyakit keresahan atau anxiety disorder. Simptom utama yang terdapat pada orang yang mengalaminya ialah perasaan resah. Fobia bukanlah kategori besar dalam penyakit mental tetapi ia menarik dan mendapat perhatian.

Fobia merupakan perasaan yang amat takut terhadap sesuatu benda atau situasi. Orang yang menghadapi masalah tersebut sedar bahawa ketakutan yang dialaminya adalah keterlaluan berbanding dengan orang lain.

Menurut pakar psikiatri Hospital Pusrawi, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, orang ini tahu bahawa fobianya itu tidak setanding dengan benda yang dia takut. Namun dia tidak berdaya melawan. Kerana terlalu takut, dia akan cuba mengelakkan diri daripada berdepan dengan objek atau situasi tersebut. Jika tidak dirawat, dengan melihat gambar atau mendengar cerita pun dia akan berasa takut. Simptom fizikal yang dapat dilihat pada orang yang fobia adalah ketara seperti sesak nafas dan jantung berdegup deras. Ini akan menjurus pada sakit dada, tangan dan badan menggeletar. Rasa tercekik, berpeluh, rasa loya daripada dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam. Orang yang fobia ini seterusnya akan tertanya-tanya adakah dia diserang serangan jantung atau strok dan sebagainya. Dia mula hilang kawalan, semakin cemas dan terasa macam hendak mati.

Jika kesemua simptom itu muncul serentak dan berlaku berterusan, orang itu akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan objek atau mengelakkan daripada pergi ke tempat yang ditakutinya. Terdapat perbezaan antara fobia dan rasa takut biasa. Perasaan takut merupakan perkara biasa kepada manusia normal.

Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak mempunyai perasaan takut. Sebanyak 90% kanak-kanak yang berumur dua hingga 14 tahun mesti takutkan sesuatu sementara yang berumur di antara 0 hingga dua tahun takut kepada orang yang tidak dikenali, bunyi bising, bila terpaksa berpisah dengan ibu bapa seperti apabila dihantar ke rumah pengasuh dan sebagainya.

Kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun pula lebih suka berkhayal atau takut kepada benda yang kita tidak nampak seperti hantu, raksasa dan gelap. Daripada umur tujuh hingga 16 tahun pula mempunyai perasaan takut yang lebih realistik seperti apabila perlu berpidato, menghadapi peperiksaan dan takutkan kemalangan.

Ada banyak jenis ketakutan dan jika ibu bapa tidak bijak mengawalnya maka ia akan menjadi fobia yang serius setelah anak dewasa kelak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dan jangan mengugut anak dengan meletakkan benda yang ditakuti di hadapan anak. Cara respons anak semasa kecil memberi kesan kepadanya setelah dewasa.

Antara jenis fobia yang biasa ialah:

* Fobia terhadap binatang tertentu.

* Fobia terhadap alam sekeliling seperti ketinggian, menaiki lif, tangga, air dan gelap.

* Fobia terhadap sesuatu situasi tertentu seperti doktor gigi, memandu, membuat persembahan di depan khalayak ramai, lalu di bawah jambatan atau terowong dan menaiki tangga bergerak.

* Fobia sosial iaitu takut diperhatikan dan orang ini akan cuba mengelak daripada bergaul atau bercakap dengan orang lain.

* Agoraphobia - orang yang sudah ada serangan panik dan akan rasa takut di mana-mana saja dia pergi. Dia sentiasa berfikir jika sesuatu terjadi padanya siapa yang akan menolongnya. Ini akan menyebabkannya tidak mahu keluar rumah.

Menurut Dr Daniel Zainala, orang yang terlalu fobia hingga menjejaskan jadual harian boleh dirawat menggunakan kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan. Orang yang fobia juga akan diajar teknik bertenang seperti pernafasan, meditasi (orang Islam boleh berzikir) dan merehatkan otot-otot. Cara ini boleh mengawal dan mendapatkan keyakinan.

Beliau memberi amaran supaya tidak mengambil ubat penenang secara sewenang-wenangnya. Ubat-ubatan sebegini hanya bertindak untuk sementara waktu. Bagaimanapun ia dibolehkan jika diambil mengikut peraturan dan nasihat doktor.

RENUNGAN : Iktibar daripada sebatang pensel



 

Iktibar daripada sebatang pensel




Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis.

"Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa? Atau pengalaman ibu?"

"Ibu menulis tentang diri kamu, tapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu pensel ini."

"Apa yang istimewa tentang pensel ini?" tanya si anak.

"Ibu berharap hidupmu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?"

"Iya, ibu."

Pertama, pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah SWT. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendak-Nya.

Kedua, ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Ibu terpaksa berheti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga, pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitu yang ibu harapkan kepada anak ibu ini, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah anak ibu mana yang lebih penting, luar atau isi pensel ini? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensel ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat, pasti akan meninggalkan kesannya pada diri atau pada orang lain. Ibu harap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Inilah antara kata-kata yang baik untuk si anak membawa prinsip yang positif. Wahai ibu bapa, jangan berputus asa. Apa sahaja kata-kata semangat yang kita ulang-ulangkan kepada anak-anak (walau nampak seperti mereka tidak mengendahkan) pasti akan membawa bekas dalam jiwa mereka, insya Allah...

Ulang-ulangkanlah!

Sumber : Solusi Isu#35

15 Sep 2011

RENUNGAN : Baik hati vs murah hati



 

Baik hati vs murah hati



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Menurut kamus Dewan, baik bermaksud sesuatu yang sinonim dengan berfaedah iaitu elok, bagus, berguna, menguntungkan dan berantonim atau berlawanan dengan merugikan. Manakala baik hati pula bermaksud suka menolong dan membuat kebajikan, mudah simpati dan pengasih. Murah bersinonim dengan rendah iaitu menjunam, turun, merosot, meleset dan berantonim dengan mahal. Murah hati pula bermaksud suka memberi, tidak kedekut, pengasih dan penyayang.

Jika diteliti, baik hati dan murah hati mempunyai takrifan yang hampir sama, tetapi sedarkah anda, baik hati dan murah hati adalah dua perkara yang tidak sama, walaupun kita sering menganggapnya sama.

Kita suka berbuat baik dan itulah juga yang diasuh dalam agama kita. Kita mudah kasihan dan cukup sensitif atas kesusahan orang lain. Itu juga merupakan satu sikap terpuji yang perlu kita semai dan bawa sepanjang hayat. Tetapi mungkin ada di antara kita yang pada awalnya ikhlas menolong, namun akhirnya sakit hati lalu hilang keikhlasan yang dulunya tebal. Hal inilah yang membezakan murah hati dan baik hati.

Baik hati

Kita layak dipanggil baik hati jika kita ringan tulang, kita rajin membantu mana yang perlu. Kita membantu seupaya kita. Seandainya seseorang itu datang kepada kita dan kita pada waktu itu berkemampuan, maka kita membantunya seadanya. Kita membantunya dengan penuh rasa ingin membantunya tanpa mengharapkan apa-apa timbal balas atas bantuan yang dihulur. Kita akan berasa puas seandainya bantuan kita itu dapat menyenangkan orang yang kita tolong. Inilah satu sikap yang kian luput dalam diri masyarakat moden pada hari ini. Sikap ini perlu ditanam kembali pada diri kita serta generasi mendatang agar hilang sikap pentingkan diri sendiri.

Murah hati

Namun dalam pada itu ada juga satu sikap yang perlu kita hindari kerana ia kelihatan baik, tetapi tanpa sedar, ia memakan diri sendiri. Jika dilihat secara luaran, ia sama seperti baik hati namun jika dinilai secara keseluruhan, ia bukan baik hati tetapi murah hati. Akibat dari murah hati ini, selalunya adalah makan hati. Kita cukup mudah membantu orang lain atas dasar kasihan, walaupun ia baik, perbezaan dengan baik hati adalah di mana orang yang baik hati akan melihat kemampuan untuk menolong serta impaknya terhadap dirinya.

Contohnya kita membantu orang yang kita sudah tahu akan menyusahkan kita kembali dengan perbuatannya. Kita juga mungkin pernah alami di mana kita kasihan dengan masalah yang dihadapi seseorang itu, lalu kita membantunya. Namun apabila dia sudah dibantu, kita mula makan hati dengan perbuatannya.

Inilah akibat murah hati. Kadangkala kita korbankan apa yang kita ada untuk membantu orang, sedangkan kita tahu yang kita juga memerlukan perkara itu di kemudian hari kelak. Namun disebabkan ingin membantu kerana kita rasa kita tidak memerlukannya sekarang, kita akan mula hilang keikhlasan apabila kita memerlukannya tetapi kita sudah tidak mempunyainya lagi dan kita pula terpaksa meminta pertolongan orang lain pula. Lebih buruk apabila pertolongan yang diharapkan itu tidak kunjung tiba.

Murah hati sering kali berakhir begini bahkan ianya sering juga menyebabkan rumahtangga goyah akibat kepincangan yang berlaku. Ada peribahasa yang berbunyi 'bagai bertanak di kuali' yang membawa maksud, terlalu murah hati sehingga binasa kerananya.

Bantulah, tetapi jangan sampai menjeruk rasa

Kita sentiasa boleh untuk bersikap baik hati tetapi bukan murah hati. Kita setiasa boleh membantu tetapi bukan membantu hingga menjeruk rasa. Kita sentiasa boleh kasihan tetapi ia tidak bermakna kita perlu berkorban hingga terkorban. Hal murah hati ini sering berlaku dalam keluarga sendiri. Kita kadang kala terpaksa membantu kaum keluarga tetapi kita juga sudah tahu sejarahnya dan kita juga sudah tahu tahap kemampuan yang kita mampu lakukan. Tetapi disebabkan kononnya kaum keluarga, kita teruskan dan seperti mana yang dijangkakan akhirnya kekecewaan berlaku. Apabila kekecewaan berlaku, kita sering mengungkit apa yang telah disalurkan. Bukankah ia sudah menghilangkan lebih banyak ganjaran dan keikhlasan?

Kita perlu tahu untuk menilai tahap bantuan yang mampu kita salurkan dan ia tidak menyusahkan kita. Kita tidak boleh menganggap yang kita sentiasa berada pada tahap yang baik dan berbelanja sesuka hati. Kita perlu mendahulukan keperluan diri. Mendahulukan keperluan diri bukan bererti kita seorang yang mementingkan diri sendiri. Jika kita pentingkan diri sendiri, kita tidak perlu memikirkan orang lain tetapi dahulukan diri sendiri bermaksud kita memikirkan diri kita dan seandainya kita sudah selesai keperluan tersebut, barulah ianya boleh disalurkan kepada yang lain, bukan sebaliknya.

Kadang kala kita tidak perasan yang orang baik hati lebih dihormati dan disegani dari orang yang murah hati. Orang yang baik hati akan terpancar karismanya dan orang akan datang kepadanya apabila benar-benar memerlukan. Tetapi orang yang murah hati sering kali dipergunakan oleh orang lain kerana sikap mudah kasihan yang tidak bertempat. Orang yang murah hati akan dilihat sebagai orang tidak berpendirian, justeru cukup mudah untuk diminta pertolongan walaupun ia tidak perlu. Tambahan lagi, sikap murah hati ini secara tidak langung melatih orang yang dibantu itu untuk menjadi lebih malas kerana bantuan yang diberikan itu bukan bantuan yang benar-benar perlu.

Tibalah masanya sekarang untuk kita memilih satu jalan yang jelas dalam hidup sama ada mahu menjadi orang yang baik hati dan sentiasa terawat hatinya atau menjadi orang yang mudah hati yang merosakkan jiwanya untuk jangka masa panjang. Kita perlu membantu orang lain, tetapi bantulah dengan hati yang baik, bukan hati yang murah.

Mudah-mudahan dengan keikhlasan hati, hidup kita lebih diberkati-Nya. Amiin.

Sumber : Ðr Azhar Sarip di MW#1448


__,_._,___


13 Sep 2011

Menangisi Murtad dan Zakat


Menangisi Murtad dan Zakat
Disiarkan pada Aug 25, 2011 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan
 
MENANGISI MURTAD DAN ZAKAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
 
Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa 'amat sederhana'. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.
 

Sedih
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.
Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan 'mesra dan sayang'. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.
Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.
Tangkap
Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.
Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.
Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan 'tukaran' yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut 'semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya'.
Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.
Salah Siapa?
Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan 'dakwah'. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.
Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.
Zakat
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?
Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.
Jika program 'Bersamamu' boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):
"(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya".( Surah al-Baqarah ayat 273)
Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina 'Umar r.a.:
"Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka". Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): "Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini" (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-'ilmiyyah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!


__._,_.___
Recent Activity:
Bahan diatas disiarkan di Yahoo Group Sahabat Interaktif Malaysia (SIM)
====================================================================
Web Rasmi SIM di http://www.sim.org.my |Koperasi SIM http://www.kosim.com.my
====================================================================
Group SIM ini adalah Yahoo Group Sahabat Interaktif Malaysia (SIM) terbuka kepada semua yang aktif dan interaktif disemua peringkat umur. SIM percaya bahawa berkomunikasi secara interaktif dan terkawal melalui saluran ICT boleh mengeratkan silaturahim serta memberikan banyak faedah kepada individu dan kumpulan tanpa terikat dengan mana-mana pengaruh parti politik, badan komersial atau aliran fahaman serta kepercayaan. Namun SIM percaya bahawa nilai-nilai yang baik dan murni akan dapat diterima oleh semua pihak.

=========== MARI BANTU MEMBANTU SESAMA KITA =====================

Yahoo Group SIM juga telah berjaya menubuhkan Koperasi Sahabat Interaktif Malaysia (KOSIM) , projek keusahawanan sosial Mangkuk Tingkat, program Kerja Dari Rumah (KDR) dan juga misi bantuan serta perubatan dibawah beberapa pertubuhan dan yayasan. SIM sekali lagi menempah sejarah apabila menubuhkan SIMCare iaitu sebuah pertubuhan bagi membantu sesama insan dalam sebarang bentuk diperlukan. Sertai SIMCare di http://www.simcare.org.my

=================== DISCLAIMER ============================
Group SIM tidak bertanggungjawab di atas mana-mana bahan yang di
dapati melanggar akta hakcipta tempatan atau antarabangsa. Adalah
menjadi tanggungjawab ahli untuk memastikan peraturan hakcipta
diikuti sepenuhnya apabila menghantar mana-mana posting atau respons.

Semua kandungan emel, posting, artikel dan fail yang disiar
di SIM tidak menggambarkan pendirian rasmi pemilik SIM melainkan jika dinyatakan sedemikian.

FACEBOOK SIM INTERAKTIF : http://www.facebook.com/pages/Sahabat-Interaktif-Malaysia/164360919526?ref=n
.

__,_._,___

10 Sep 2011

ARTIKEL : Ikhlaskah kita mendidik anak?

 

Mungkin jarang orang bertanya kepada para ibubapa sebagaimana pertanyaan di atas kerana kita mungkin kerana sudah terpatri bahawa ibubapa sememangnya ikhlas dalam membesarkan anak-anak.  Kita sendiri mungkin tidak pernah bertanyakan hal ini sendiri kerana kita sudah mengandaikan keikhlasan terhadap anak-anak kita. 

 

Saya dahulunya agak tergamam apabila ditanya soalan yang sama oleh abang angkat saya ketika kami sedang berbual perihal keikhlasan.  Jika kita bualkan perihal keikhlasan mungkin kita akan tidak menemui orang yang benar-benar ikhlas dalam ertikata sebenar hatta seorang ibu juga masih mahukan pembalasan atas budinya dalam membesarkan anaknya.  Ini bukan suatu perkara yang baru kerana ianya sememangnya berlaku dalam semua masyarakat samada kita sedar atau tidak.  Kita juga sering berharap dengan memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak maka apabila mereka dewasa nanti mereka bukan sahaja dapat memperbaiki diri mereka dari sudut ekonomi tetapi dapat juga membantu diri kita yang sudah tidak berdaya.  Mungkin ada yang berkata bahawa itu adalah tanggungjawab seorang anak. Benar, tiada penafian tetapi kita kini berbicara bukan dari sudut si anak, kita kini melihat dari sudut ibubapa. Bagi si anak, memelihara ibubapa adalah satu tanggungjawab yang semestinya berlaku namun marilah kita bermula untuk melakukan introspeksi terhadap diri kita sebagai ibubapa.

 

Bukan pertama kali bahkan banyak kali saya menemui hal-hal di mana si ibu atau si bapa tidak membenarkan si anak berkahwin selagi mereka belum cukup merasai wang titik peluh membesarkan anak mereka. Saya pernah bertanya kepada seorang rakan tentang hal yang sama namun jawabnya mudah, "biarlah aku puas rasa duit dia dulu, aku besarkan dia dulu susah.  Biarlah aku senang sikit, baru dia tanggung anak orang."  Bukan sekali bahkan banyak kali juga saya mendengar keluhan si anak yang mengatakan sikap ibubapa mereka yang sanggup berbomoh hanya semata-mata mahu anaknya mendengar kata-kata mereka terutamanya dalam hal kewangan.

 

Kita juga mungkin pernah menyatakan, "belajarlah rajin-rajin nanti dah besar senang, kau senang, mak dan ayah pun senang." Tanpa kita sedari, kita sudah cuba menjangka sesuatu pulangan dari anak yang kita besarkan maka persoalannya, ikhlaskah kita?

 

Saya melihat hal keibubapaan dari satu sudut yang berlainan kerana sistem keibubapaan amat penting dalam membentuk generasi hebat yang bakal membentuk negara kita. Kita mungkin tidak sedar atau mungkin tidak pernah tahu bahawa kita hanyalah pemegang amanah walaupun kita sering berkata bahawa anak itu adalah amanah Allah SWT. Jika kita mampu memperhalusi maksud kata-kata ini maka jelas bahawa kita hanya pemegang amanah yang diamanah satu 'barangan' untuk dijaga dengan baik. 'Barangan' itu adalah anak-anak kita. Jika kita tahu yang kita hanya pemegang amanah mengapa harus kita meminta balasan dari barang yang diamanahkan kepada kita kerana dia sendiri tidak mampu untuk memberinya.

 

Tekanan untuk mendapatkan balasan biarpun hanya bermain di dalam minda nescaya akan membawa kerosakan. Akhirnya banyak berlaku keburukan. Lain halnya jika kita melihat bahawa anak itu satu amanah Allah SWT untuk kita. Jika kita menganggap bahawa kehadiran anak itu sebagai ujian untuk melihat tahap keimanan kita dalam menjaga amanah maka saya percaya kita akan melihat tanggungjawab membesarkan anak dari satu sudut yang cukup berbeza dan kita seharusnya berasa bangga kerana kita dipercayai untuk menjaga amanah Allah SWT.

 

Jika kita hanyalah pemegang amanah, maka seharusnya kita tahu dari mana kita boleh mendapatkan balasan. Pastinya dari Allah SWT yang memberi amanah kepada kita. Hal yang sama kita harapkan apabila kita mengamanahkan sesuatu barang untuk dijaga oleh seorang rakan. Apabila dia menjaganya dengan baik, kita akan berterima kasih dan seandainya kita mempunyai kelebihan wang ringgit saya yakin kita akan memberi sekadar yang termampu atau seandainya kita pulang dari rantau, kita akan memberi buah tangan yang terbaik atas jasanya.

 

Justeru itu, marilah kita menukar persepsi mendidik anak yang mungkin selama ini kita khilafkan. Marilah kita mendidik anak-anak kita kerana ianya amanah Allah SWT dan apabila kita mencintai Allah SWT sepenuh hati maka kita akan menjaga 'barang' titipan-Nya dengan sempurna.

 

Kita tidak perlu memikirkan apa yang bakal kita perolehi dari si anak apabila mereka dewasa nanti biar ramai yang berkata anak itu satu pelaburan. Pastilah ianya pelaburan baik jika kita faham bahawa kita adalah pemegang amanah tetapi jika kita beranggapan bahawa kita adalah empunya anak tersebut dan mahukan pulangan darinya, maka itu adalah satu kesilapan yang mengundang padah. Kita mungkin berdepan dengan banyak karenah si anak dan kita juga mungkin kecewa melihat dia membesar dengan tidak mengikut acuan kita.

 

Bagi ibubapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan balasan baik dari si anak hingga sanggup menyihir atau sebagainya, percayalah bahawa jika amanah orang kita rosakkan pasti orang akan marah apatah lagi amanah Allah SWT namun kita beruntung kerana jika berurusan sesama manusia kita mungkin didendami kerana kerosakan itu tetapi apabila berurusan dengan Allah SWT, Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani… kembalilah kepada-Nya. Kembalilah kepadanya biar setebal mana lumpur yang ada kerana Allah SWT amat menyukai orang yang bersalah kemudian dia bertaubat.

 

Kita tidak perlu menunggu hingga lumpur itu bersih kerana kita ini manusia masakan boleh bersih dari lumpur. Marilah kita mencuba membetulkan posisi kita dari menganggap bahawa kita adalah empunya anak-anak kita kepada kita adalah orang yang dipercayai Allah SWT untuk menjaga amanah-Nya dan cuba kita sematkan hal ini selama dua minggu mendatang dan insya Allah kita akan lihat perubahan kepada diri kita dan anak-anak kita.  Kita akan mendengar suara-suara indah dari anak-anak kita dan akhirnya kebahagiaan sebuah ikatan keluarga akan mula dikecapi. Apabila sesuatu hal yang baik itu dilakukan kerana Allah SWT maka ianya adalah satu ibadah dan Allah SWT jua sebaik-baik pemberi balasan atas segala perbuatan kita. Didiklah anak untuk mengaharapkan rahmat Allah SWT dan bukan balasan duniawi dari si anak.

 

Renung-renungkan….


__,_._,___

8 Sep 2011

ARTIKEL : Jangan lokek dengan ibu bapa


Jangan lokek dengan ibu bapa

~ gambar hiasan ~


Agak menyedihkan berita yang dibaca pada pagi raya ke-4, yang bertajuk '500,000 tersisih' ini. Berita lengkap seperti di bawah.

Ibu bapa warga emas tak pernah terima wang daripada anak.

Ðilaporkan, lebih 500,000 ibu bapa yang terdiri daripada warga emas di Malaysia tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing bagi meneruskan kehidupan masa tua mereka. Fenomena yang disifatkan tidak sihat untuk pembangunan keluarga dan sosial itu membabitkan 636,461 warga emas atau 26% daripada keseluruhan 2.4 juta warga emas yang berusia lebih 60 tahun di negara ini. Penemuan itu adalah hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke 4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010.

Warga emas Selangor ramai diabai

Timbalan Ketua Pengarah (Ðasar) LPPKN, Ðr Anjli Doshi-Ghandi, berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan warga emas paling ramai tidak mendapat bantuan kewangan daripada anak, iaitu 94,720, diikuti Sarawak 69,267 dan Johor 63,919. Ia dipercayai berlaku akibat beberapa faktor, antaranya peningkatan taraf hidup, kesempitan hidup anak dalam menampung kehidupan sendiri, tiada hubungan mesra antara anak dan ibu bapa serta tiada kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Kajian di 18,875 kediaman pula mendapati 60% daripada warga emas meneruskan kehidupan secara berdikari dengan menghabiskan duit simpanan atau skim pelaburan, manakala 28% terpaksa bekerja, terutama dalam sektor pertanian, perikanan, perkhidmatan, jurujual, buruh dan tukang sapu untuk menyara hidup.

Selain itu, 62% warga emas dikesan mempunyai pendapatan kurang RM500, sekaligus menunjukkan mereka sukar meneruskan kehidupan tanpa bantuan kewangan daripada anak masing-masing. Malah, lebih menyedihkan ada yang mengharapkan bantuan kerajaan bagi meneruskan kehidupan, termasuk menjadi penghuni Pusat Penjagaan Orang Tua sebagai pilihan terakhir.

Namun, 28% ibu bapa mengakui menerima wang daripada anak, tetapi sekali dalam beberapa bulan, manakala sebahagian lagi membantu dari segi lain seperti memberi keperluan makanan. Anak seharusnya memberi perhatian kepada ibu bapa warga emas dengan memberi bantuan kewangan serta meluangkan masa daripada membiarkan kerajaan mengambil alih tugas itu.

Fenomena itu harus diberi perhatian kerana ia akan meningkat setiap tahun, selaras dengan pertambahan bilangan warga emas yang dijangka mencecah 3.4 juta menjelang 2020.

Hemm... bagaimanakah nasib kita di masa akan datang? Adakah kita juga akan mengalami nasib yang serupa? Tidak dinafikan, kerap juga saya mendengar atau membaca keluhan dan rungutan anak yang kurang sabar menjaga ibu bapa mereka yang uzur. Beban kerja di pejabat, urusan membina rumahtangga dan mendidik anak menjadi tekanan bagi mereka. Apalagi jika ditambah dengan tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tua.

Jika ditanya pada generasi yang hidup pada zaman moden ini terhadap suatu pilihan, adakah mereka suka hidup serumah dengan ibu bapa atau berpisah - mungkin kebanyakan mereka memilih untuk berpisah daripada bercampur serumah dengan ibu bapa atau mentua. Tidak salah jika mereka mempunyai keinginan untuk hidup mandiri. Tetapi, yang menjadi masalah adalah bagaimana jika ibu bapa kita telah uzur dan perlukan penjagaan dan perhatian anaknya.

Sesiapa saja yang menerima kehadiran ibu bapa di dalam rumah mereka tentu memerlukan kekuatan dan kekentalan jiwa iaitu 'kesabaran'. Kita hendaklah sentiasa ingat kepada ganjaran yang Allah berikan sebagai balasannya. Untuk memastikan niat itu sentiasa terjaga dalam batas ikhlas kerana Allah, eloklah diperhatikan beberapa panduan untuk mendapatkan kekuatan dalaman bagi memelihara ibu bapanya yang uzur.

Yakin dengan keikhlasan menjaga mereka akan menjadi teladan yang baik untuk anak. Tangan yang membelai dengan penuh kasih, pandangan mata yang menghantar sinar kegembiraan, kata-kata yang manis dan wajah yang reda lahir dari hati yang ikhlas. Begitulah gambaran ideal adab seorang anak. Tunjukkan kepada anak kita begitulah cara melayan orang tua. Kelak mereka akan terbiasa dengan ajaran itu. Pepatah mengatakan, "bagaimana acuan, begitulah bentuk kuihnya" atau "bagaimana kuih, begitulah acuannya". Maksudnya, perlakuan ibu bapa menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Jika ibu bapa memberi contoh yang baik, maka itulah yang menjadi ikutan anak-anak, begitulah sebaliknya. Namun, tidak dapat kita nafikan, kadang-kala ada juga kuih yang tidak menjadi, sama ada hangus terbakar ataupun tak naik dengan sempurna a.k.a kuih 'bantat'. Jika ini yang berlaku, janganlah kita menyalahkan takdir yang telah tertulis untuk kita, mungkin ada hikmah sebalik ketentuan-Nya yang tidak kita ketahui.

Kita hendaklah menguruskan ibu bapa kita yang telah uzur dengan baik dan sempurna serta jangan terlalu berkira berapa wang tinggit yang telah dikeluarkan untuk mereka. TIdak salah jika anak-anak berkorban untuk ibu bapanya, malah ia satu tuntutan agama. Berkorban di sini bukan sahaja setakat wang ringgit, malah melibatkan masa dan tenaga.

Peruntukanlah dirimu untuk mereka

Ada sesetengah anak yang jijik melihat ibu bapa yang telah tua dengan muka yang berkedut, buang najis merata tempat dan mempunyai karenah yang memeningkan dan mahu dilayan sepenuh masa. Disebabkan itu, ada yang menghantar ayah dan ibu ini ke rumah kebajikan.

Apabila kita kenang kembali zaman kecil kita, ayah dan ibu tidak pernah jijik membasuh najis kita. Mereka juga sabar melayan dan memantau karenah kita yang lasak. Mereka sibuk mencari nafkah untuk kelaurga dan pelbagai kerja lain lagi yang perlu dilakukan. Namun, mereka tidak cuai memastikan supaya ada masa dan perhatian diperuntukkan untuk kita. Buktinya, hari ini kita mampu membesar dan berjaya. Kita membesar kerana meraka menjaga dan menyuapkan kita makanan dengan izin Allah SWT. Adilkah pengorbanan itu dibalas dengan keluhan dan perbuatan mengungkitapabila tiba saat kita pula yang perlu menjaga mereka?

__,_._,___

INFO : 7 Sebab Kenapa Anda Selalu Letih

Selalu letih dan tidak bermaya?.... Tidur cukup tetapi masih terasa mengantuk dan keletihan? Sebelum anda cuba menyalahkan cara hidup anda yang sibuk dan urusan rumahtangga, cuba selami sebab-sebab ini yang mungkin menjadi dalang terhadap masalah keletihan anda itu.

Sebab 1: Kekurangan darah

Sekiranya anda masih muda dalam usia reproduktif dan mengalami haid yang 'heavy' setiap bulan, atau anda baru sahaja melahirkan anak beberapa miggu yang lepas, atau anda di diagnoskan mengalami fibroid, kehilangan darah mungkin penyebab terhadap keletihan anda.
Pendarahan haid atau faraj mengurangkan sel-sel darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke sistem dan organ badan anda yang lain. Kekurangan oksigen pada organ menyebabkan anda cepat letih dan tidak bermaya.
Lain-lain sebab yang yang mendorong kepada kekurangan darah termasuklah: kekurangan vitamin seperti zat besi, folik dan vitamin B. Kekurangan darah juga mungkin berasal dari penyakit buah pinggang.
Gejala kekurangan darah yang lain termasuk: pening, kesejukkan dan rasa mudah terganggu. Ujian darah dengan senang dapat membuat diagnosa ini. Rawatan termasuk makan sayuran hijau seperti brokoli, bayam dan daging merah dan supplement yang diberi oleh doktor.

Sebab ke 2 : Kekurangan Hormon Tiroid

Sekiranya anda terasa lembab secara fizikal atau mental dan sedikit murung, anda mungkin mengalami hypotiroidism, satu masalah kekurangan hormon tiroid yang mengurangkan metabolisma badan dan memperlahan sistem badan untuk beroperasi.
Dikatakan 17% wanita mengalami hypotiroidism dan mereka langsung tidak mengetahuinya. Ujian darah T3 dan T4 dengan mudah dapat mengesan masalah ini dan selepas rawatan, anda akan merasa bertenaga semula.

Sebab ke 3: Jangkitan Kuman air kencing (UTI)

Walaupun kebanyakkan dari simtom lebih kepada sakit semasa kencing dan kerap ke tandas, keletihan memanjang juga merupakan salah satu gejala kencing berkuman. Tidak semua yang mempunyai simtom yang jelas seperti pedih semasa kencing dan segelintir yang lain mungkin tidak mengalami gejala langsung.
UTI disebabkan oleh jangkitan bakteria yang mungkin terdorong oleh amalan penjagaan faraj yang tidak sihat. Hubungan seks juga meninggikan risiko UTI kerana kuman dari faraj mungkin ditolak ke salur kencing semasa seks.
Ujian air kencing adalah mudah dan cepat dalam membuat diagnosa dan rawatan termasuklah ubat anti-biotik. Sekiranya simtom berulang, anda mungkin mengalami masalah UTI kronik. Berbincanglah dengan doktor tentang pencegahannya.

Sebab ke 4: Terlebih caffeine

Sesetengah orang menganggap caffeine boleh memberi rasa cergas, tapi bagi sesetengh wanita, caffeine boleh memberi kesan yang sebaliknya. Caffeine bertindak sebagai stimulant tetapi sekiranya mengambil terlalu banyak, ia akan menyebabkan keletihan.
Cara untuk mencegah adalah dengan mengelakkan caffeine sebanyak mungkin, bukan sahaja kopi malahan tea, coklat, minuman ringan atau apa-apa ubat yang mengandungi caffeine.

Sebab ke 5: Alahan makanan.

Makanan selalunya memberikan tenaga tetapi bagi sesetengah orang yang alah kepada makanan, ia boleh memberi kesan sebaliknya. Keletihan mungkin salah satu mereka alah kepada makanan. Sekiranya anda mengesaki yang makanan punca mengantuk dan keletihan anda, cuba elak makanan yang anda syakki itu dari suapan harian anda.

Sebab ke 6: Sleep Apnea

Sekiranya anda tidak mendapat tidur yang cukup, ada kemungkinan ia penyebab masalah anda. Tapi apa kata kalau anda sendiri tidak menyedari yang anda tidak cukup tidur?
'Sleep Apnea adalah satu keadaan dimana anda secara tidak sengaja berhenti bernafas semasa tidur, yang menyebabkan anda terbangun secara tiba-tiba tetapi cukup lama untuk menganggu kitaran tidur anda. Ia lebih kerap terjadi kepada mereka yang berbadan gemuk dan berkait rapat dengan tidur yang berdekur.
Sekiranya anda pengidap 'Sleep Apnea' doktor selalunya akan menyarankan pengurangan berat badan dan menasihatkan anda berhenti merokok.
Dalam kes serius, pembedahan mungkin diperlukan untuk memastikan laluan pernafasan udara yang baik. Sekiranya tidak dirawat, Sleep Apnea boleh meninggikan risiko stroke dan serangan jantung.

Sebab No 7: Lemah Jantung

Sekiranya anda merasa cepat penat selepas aktiviti ringkas yang selalunya senang dibuat, mungkin ini masa yang baik untuk anda berjumpa dengan doktor. Keletihan selalunya bukan tanda awal sakit jantung tetapi sekiranya ia keterlaluan sifatnya selepas aktiviti ringkas dan anda dapati tiada jawapan jelas terhadap masalah tersebut, jumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut. Rawatan awal boleh menyelamatkan anda dari serangan jantung yang lebih serius.

__,_._,___