Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama pada bulan Rejab, Nisfu Rejab (15hb Rejab) dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka dibawa beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Ibnu Rajab di dalam al-Mughni:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat.
Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.
Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: “Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: “Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif
Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab
Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854.
Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:
Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152.
Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan