Sent from my Samsung Galaxy Tab
-------- Original message --------
Subject: [sim] RENUNGAN : Perjalanan terakhir...
From: BawangGoreng® <bawangoreng@gmail.com>
To: SIM <SahabatInteraktif@yahoogroups.com>
CC:
Perjalanan terakhir...
Assalamualaikum warahmatullah,
Sudah agak lama Laman-Seri tidak berkongsi tazkirah yang begitu terkesan di hati. Ðalam entry kali ini disediakan tazkirah dari favourite Laman-Seri, Ðr Azhar Hj Sarip. Mudah-mudahan mendapat walau sekelumit manfaat daripada entry kali ini.
Setiap daripada kita akan merasai apa yang sering mahu dihindarkan oleh manusia iaitu kematian. Biar di ceruk mana kita berada, biar di dasar laut mana kita sembunyi, kematian adalah satu hal yang pasti.
Segala perkara yang kita lakukan di dunia ini belum pasti jadinya, kecuali satu hal yakni kematian. Bezanya antara setiap manusia itu adalah waktunya. Adakah ia datang sebentar sahaja lagi atau mungkin setahun lagi atau boleh jadi lama lagi. Kita tidak tahu waktu yang pasti saatnya akan tiba.
Kita tidak perlu mengucapkan yang kita tidak mahu meninggal di awal usia kerana masih belum bersedia, kerana hakikatnya kita sering tidak bersedia. Mereka yang bersedia adalah mereka yang sering mengingati akan datangnya kematian.
Hidup ini penuh dengan ketidakpastian namun mati itu adalah sesuatu yang sudah pasti terjadi. Ðisebabkan terleka dengan kesibukan dunia, maka kita sering terlupa untuk menyediakan bekal kehidupan yang tidak berteman, tanpa saudara dan jauh pula dari harta.
Apa yang ada di samping kita, ketika itu hanyalah bekal yang kita siapkan, sama ada cukup atau tidak, itu bukan persoalan kerana kita juga tidak tahu apa yang dikatakan cukup itu. Apa yang pasti adalah, adanya bekalan. Bekalan yang perlu kita sediakan bukan hanya setiap hari, bahkan setiap saat. Saat datangnya kematian maka terbukalah segala hijab.
Jika kita sombong mengatakan yang kita bersedia, pada saat itu terjawablah segalanya. Kita mungkin memilih jalan yang salah. Kita mungkin terpesona dengan apa yang ada di sisi. Pesan seorang guru, sehebat mana kita di dunia, sedalam mana ilmu yang kita pelajari, ketahuilah bahawa di saat kematian menjelma, banyak perkara tidak terjangka boleh berlaku. Maka katanya lagi, jauhilah kesombongan dengan mengingati saat yang bakal datang itu.
Tersalah langkah ketika 'pulang'
Terdapat dua perkara yang membuatkan kita tersalah langkah dalam kembali pulang kepada-Nya. Pertama, sebab musabab yang datangnya daripada kita sendiri. Kita tidak menitikberatkan kedatangan malaikat maut.
Bagi kita, dalam usia yang muda, kebarangkalian untuk pergi dahulu itu lebih kecil. Tetapi kita mungkin terlupa yang malaikat maut tidak mengira tahap umur. Ðia akan datang mengikut jadual yang ditetapkan, tidak kurang walau sesaat dan tidak pula lebih walau sesaat.
Mungkin benar dikatakan bahawa umur adalah kadar nafas. Angka hanyalah satu simbol kematangan fikiran tetapi umur nyawa terletak pada rangkaian nafas. Apabila nafas terhenti, maka di situ titik nyawa.
Apabila kita dapat bernafas, maka panjanglah umur nyawa sedetik lagi. Memahami hakikat itu, maka kita perlu mensyukuri nikmat setiap saat, bukan hanya pada ketika kita gembira mendapatkan sesuatu.
Kedua, adalah sebab musabab dari mereka yang berada di sisi. Bagaimana yang dikatakan orang-orang di sekeliling kita menyebabkan kita tersalah jalan 'pulang'? Tahukah kita, secara tidak sedar, kita yang menghantar mereka dalam perjalanan terakhir ini sering merosakkan perjalanan mereka.
Mereka yang sudah berada dalam lorong perjalanan terakhir seakan tahu waktunya semakin hampir. Tetapi mereka mungkin juga tidak memikirkan akan hal perjalanan mereka kerana memikirkan mereka yang bakal ditinggalkan pergi.
Mereka mungkin memikirkan bagaimana kehidupan seseorang yang dikasihi itu apabila mereka tidak lagi berada di sisi. Fikiran mereka berada di lorong perjalanan terakhir tentang kehidupan mereka yang dikasihi ini menjadikan satu hijab tebal antara mereka dan Allah SWT.
Menyesali tingkah laku
Ketahuilah, mereka sudah nampak jalan untuk kembali tetapi dek sikap kita yang hidup ini menyebabkan mereka alpa untuk 'pulang'. Mereka risau tentang kehidupan orang yang dikasihi nanti, sedangkan orang yang dikasihi tidak pula memikirkan kelangsungan perjalanan terakhir ini dengan lancar.
Lancar bermaksud mereka pulang dalam husnul khatimah. Mereka pulang dalam keredhaan Allah SWT. Pernahkah kita terfikir yang kita juga bertanggungjawab dalam membantu perjalanan terakhir orang yang kita kasihi? Jika benarlah kita ingin mereka pulang dengan sempurna, maka janganlah kita jadikan diri kita ini hijab antara dia dan Tuhannya.
Jangan biarkan mereka risau tentang kehidupan yang mereka tinggalkan. Jangan biarkan mereka sedih dengan perlakuan kita hingga jalan yang tadinya terang kini kelam. Akhirnya mereka pulang dalam kecelaruan.
Adakah itu tanda kasih sayang kita yang hidup terhadap mereka yang pergi? Adakah setelah perjalanan terakhir sampai ke destinasi baru kini menyesali setiap tingkah laku yang menyebalkan mereka yang pergi hingga perginya tidak seindah yang diminta?
Bagi kita yang masih hidup, kita masih boleh memperbaiki diri tetapi bagi mereka yang sudah bertukar alam, apa sahaja bekalan itu sahajalah yang ada. Justeru, kita perlu menginsafi diri agar perjalanan terakhir kita berlaku dengan lancar dan kita tidak pula membuatkan perjalanan terakhir orang yang kita kasihi, kucar kacir.
Jika kita menjadi penyebabnya, maka mahukah kita apabila saat kita tiba nanti, orang lain menjadi penyebabnya hijab kita pula. Hidup ini cukup mudah tetapi kita yang menyukarkannya. Kita hanya perlu menjadi hamba Allah SWT yang taat dan kerja sebenar kita hanyalah beribadah kepada Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita menyusahkannya apabila kita mengecilkan skop ibadah itu hanya pada ibadah khusus serta ritual tertentu, sedangkan ibadah dan kehidupan itu seiring.
Semoga kita melengkapi perjalanan terakhir dengan sempurna dan kembali kepada-Nya dengan penuh kecintaan.
Sumber : Ðr Azhar Hj Sarip
Tiada ulasan:
Catat Ulasan